Kenali Mata wang Syarie – Dinar dan Dirham (Bahagian 1)
Oleh : Yusuf Muhammad
Sejarah Dinar Dan Dirham
Keperluan seharian untuk setiap individu manusia adalah berbeza. Begitu juga dengan apa yang dimiliki mereka juga adalah berbeza di antara satu sama lain. Untuk mendapatkan keperluan yang dihajati, pada awal perdagangan manusia, mereka menggunakan sistem barter dengan menukarkan barang yang dimiliki, dengan barang milik orang lain yang mereka kehendaki, atas asas suka sama suka. Namun, proses pertukaran seperti ini sering menimbulkan masalah untuk mendapatkan persetujuan mengenai barang yang hendak ditukarkan, selain masalah penilaian kuantiti yang sepadan dengan barang yang ditukarkan.
Oleh itu, dalam usaha menangani masalah ini, maka wujudnya barang perantara yang dijadikan sebagai medium pertukaran (medium of exchange) di antara dua barang mahupun perkhidmatan yang diberikan atau diperoleh. Dengan kedua-dua pihak yang terlibat bersetuju menggunakan medium pertukaran ini, maka alat pertukaran ini digunakan dalam aktiviti perdagangan seharian. Di sinilah lahirnya “wang” yang digunakan pada hari ini yang merupakan medium pertukaran yang kita gunakan sehari-hari.
Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam kitabnya, Al-Amwal Fi Daulatil Khilafah (2004), dinar dan dirham telah dikenali oleh orang Arab sebelum datangnya Islam, kerana aktiviti perdagangan yang dilakukan mereka dengan negara-negara sekitarnya. Ketika pulang dari Syam, mereka membawa dinar emas Romawi (Byzantium) dan dari Iraq mereka membawa dirham perak Parsi (Sassanid). Kadang-kadang mereka membawa pula sedikit dirham Himyar dari Yaman. Jadi saat itu banyak mata wang asing masuk ke Hijaz; bagaimanapun yang paling banyak adalah berupa dinar emas Romawi dan dirham perak Parsi.
Namun begitu, orang Arab saat itu tidak menggunakan dinar dan dirham tersebut menurut nilai nominalnya melainkan menurut beratnya. Ini adalah kerana matawang yang ada hanya dianggap sebagai kepingan emas atau perak. Mereka tidak menganggapnya sebagai matawang yang dicetak, di mana bentuk dan timbangannya yang tidak sama dan kerana kemungkinan terjadinya penyusutan berat akibat peredarannya. Kerana itu, untuk mencegah terjadinya penipuan, mereka lebih suka menggunakan piawaian timbangan khusus yang telah dimiliki mereka iaitu auqiah, nasy, nuwah, mitsqal, dirham, daniq, qirath dan habbah.
Setelah Islam datang, Rasulullah men-taqrir (mengakui) berbagai muamalat yang menggunakan dinar Romawi dan dirham Parsi. Taqrir (pengakuan) dari Rasulullah inilah yang telah memperjelaskan kepada kita bahawa inilah sistem mata wang Islam dan sekali gus menjadi hukum syarak tentang kewajipan penerapannya. Sehubungan dengan dinar dan dirham ini, Rasulullah juga telah mengakui standard timbangan yang wujud pada waktu itu hendaklah diukur dengan menimbang berat dinar dan dirham. Tentang ini Rasulullah SAW bersabda,
“Takaran adalah takaran penduduk Madinah dan timbangan adalah timbangan penduduk Makkah” [HR Abu Daud, an-Nasa’i, al-Baihaqi].
Kaum Muslimin terus menggunakan dinar Romawi dan dirham Parsi ini dalam bentuk, cop dan gambar aslinya sepanjang hidup Rasulullah SAW dan diteruskan semasa kekhilafahan Abu Bakar As-Siddiq dan awal kekhilafahan Umar Al-Khattab. Pada tahun ke-20 H (tahun ke 8 pemerintahan Umar), Umar telah mencetak wang dirham baru berdasarkan bentuk dirham Parsi. Berat, gambar mahupun tulisan Bahlawinya (huruf Parsi) masih tetap ada, cuma ditambah dengan lafaz yang ditulis dengan huruf Arab gaya Kufi, seperti lafaz ‘Bismillah’ dan ‘Bismillahi Rabbi’ yang terletak pada lingkaran tepi. Hal ini diteruskan oleh kaum Muslimin selama berdekad-dekad kemudian.
Pada tahun 75 H (695M), Khalifah Abdul Malik Bin Marwan mencetak dirham khusus yang bercorak Islam, dengan lafaz-lafaz Islam yang ditulis dengan huruf Arab gaya Kufi. Bentuk dirham Parsi tidak dipakai lagi. Dua tahun kemudian, Khalifah Abdul Malik mencetak dinar khusus yang bercorak Islam setelah meninggalkan dinar Romawi. Selain itu, beliau mengarahkan pula untuk menghapuskan gambar-gambar manusia dan haiwan pada dinar dan dirham dan diganti dengan lafaz-lafaz Islam. Lafaz-lafaz Islam yang tercetak itu misalnya kalimat ‘Allahu Ahad’ dan ‘Allahu Baqa’’. Ada dinar dan dirham yang ditulis ‘La ilaha illallah’, manakala pada sisi sebelahnya terdapat tarikh cetak serta nama Khalifah atau Wali (Gabenor) yang memerintah pada masa percetakan mata wang tersebut. Sejak saat inilah kaum Muslimin mempunyai dinar dan dirham yang tersendiri yang digunakan sebagai matawang rasmi negara.
Penggunaan emas dan perak sebagai mata wang bukanlah suatu yang baru bagi umat Islam, bahkan bagi dunia sekalipun. Emas memang telah lama digunakan sebagai piawai matawang di seluruh dunia sehinggalah pada 15 Ogos 1971 apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Richard Nixon, secara unilateral mengumumkan bahawa AS membatalkan Perjanjian Bretton Woods yang dibuat pada 1 Julai 1944.
Semasa perjanjian Bretton Woods yang berlangsung sekitar lebih 20 tahun (1944 – 1971), mata wang dolar Amerika telah ditambat dengan nilai yang tetap iaitu USD35 untuk setiap 1 auns Troy emas. Dengan tambatan ini, nilai mata wang asing akan disandarkan kepada dolar Amerika dan dolar Amerika pula ditambat dengan nilai emas. Sejak berjalannya sistem Bretton Woods ini, dunia mengalami kestabilan mata wang dan kurangnya turun-naik (volatility) ini telah mengurangkan ketidakpastian (uncertainty) dalam perdagangan antarabangsa. Ini telah merancakkan pertumbuhan ekonomi dunia secara umumnya dan mengurangkan risiko ketidaktentuan dalam kadar tukaran wang asing sebagaimana yang berlaku ke atas wang fiat pada hari ini. Sebagai contoh, nilai matawang ringgit pada ketika ini telah menyusut sebanyak lebih 30% daripada nilainya berbanding pada 6 tahun lepas. Semasa tahun 2010 kadar tukaran untuk USD1 adalah bersamaan RM3.06 berbanding pada ketika ini (September 2016), kadar tukarannya adalah sebanyak RM4.13 berbanding USD1.
Namun sistem tersebut telah dibubarkan oleh AS. Ini kerana AS perlu mencetak dolar untuk meningkatkan belanja fiskalnya yang terus bertambah, di antaranya untuk membiayai perang Vietnam. Pada ketika itu, nisbah antara pengeluaran dolar dan jumlah simpanan emas yang dimiliki AS semakin ketara. Pada waktu itu, simpanan emas AS merosot daripada 20 bilion dolar kepada hanya 9 bilion dolar. AS kemudiannya mengalami defisit simpanan emas berbanding wang dolar yang dikeluarkan.
Negara-negara lain khususnya negara-negara Eropah Barat dan Jepun sebagaimana yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut diwajibkan menjaga simpanan dolarnya dan menggunakannya sebagai dasar untuk meningkatkan pengeluaran mata wang dan kredit di dalam negara. Padahal semakin hari nilai dolar terus merosot (undervalue) sementara nilai mata wang mereka terus mengukuh (overvalue). Keadaan ini merugikan mereka kerana nilai eksport mereka menjadi lebih mahal sehingga pertumbuhan ekonomi mereka merosot.
Akibat daripada beban tersebut, negara-negara Eropah secara beramai-ramai menukarkan simpanan dolar mereka dengan emas. Atas tindakan ini, AS tidak mampu untuk memenuhi permintaan ini sebagaimana yang telah dipersetujui dalam perjanjian Bretton Woods iaitu untuk menukarkan USD35 kepada 1 auns Troy emas. Pada awal tahun 1971, komitmen dolar telah mencapai sebanyak lebih daripada 70 bilion dolar, sedangkan jumlah simpanan emas mereka hanya sebanyak 12 bilion dolar. [1]
Sejak pemansuhan perjanjian Bretton Woods itu, emas tidak lagi menjadi piawai matawang dunia dan dunia mula mengamalkan wang ‘fiat’
Bersambung ke bahagian 2…
Nota: Sebarang komen serta cadangan mengenai tulisan ini bolehlah berhubung terus dengan penulis melalui email [email protected].
Rujukan :
1. Hammes and Wills. Black Gold: The End of Bretton Woods and the Oil-Price Shocks of the 1970s, The Independent Review, v. IX, 2005