Kenali Mata wang Syarie – Dinar dan Dirham (Bahagian 3)
Oleh : Yusuf Muhammad
Kelebihan Mata wang Emas dan Perak
Keempat: Sistem emas dan perak mempunyai kelebihan yang luar biasa iaitu berapa banyak atau sedikit kuantitinya di dalam negara sekalipun, ia tetap dapat mencukupi keperluan pasaran tempatan dalam pertukaran matawang. Ini kerana, pertukaran di antara emas atau perak dengan komoditi yang lain akan berlaku berdasarkan nilai intrinsik emas/perak dengan nilai intrinsik barang/perkhidmatan.
Sebagai contoh; Negara A memiliki simpanan emas sebanyak 400 tan metrik. Perdagangan di dalam negara A berjalan seperti biasa dengan menggunakan mata wang dinar yang disandarkan kepada jumlah simpanan emas yang ada. Dengan jumlah simpanan emas sebanyak 400 tan metrik itu serta dengan faktor penawaran dan permintaan yang konsisten, harga seekor lembu di negara A ialah 4 dinar. Sekiranya jumlah simpanan emas negara A menurun sehingga 200 tan metrik (bererti kuantitinya sedikit), serta penawaran dan permintaan lembu adalah konsisten, ini akan menyebabkan permintaan ke atas emas (dinar) menjadi meningkat. Pada waktu itu, harga lembu di negara A adalah sekitar 2 dinar kerana daya beli dinarnya meningkat lantaran sedikitnya jumlah simpanan emas yang ada.
Hal ini tidak berlaku pada wang kertas kerana sekiranya negara mencetak semakin banyak wang kertas, daya beli wang tersebut akan turun dan akan terjadilah inflasi. Ini jelas menunjukkan, sistem emas dan perak akan menghapuskan inflasi, sedangkan sistem wang kertas akan menyuburkan inflasi.
Kelima: Sistem emas dan perak akan melancarkan kadar tukaran antara matawang asing dengan stabil. Ini kerana setiap matawang asing akan diukur dengan satuan yang sama iaitu berat emas dan perak. Dengan demikian, dunia secara keseluruhannya akan memiliki matawang tunggal yang terbit daripada emas dan perak, walaupun jenis matawangnya berbeza-beza. Dunia akan menjalani perdagangan yang bebas, kelancaran peredaran barang dan harta di pelbagai negara di seluruh dunia, termasuklah berkurangnya kesulitan yang timbul terhadap kadar tukaran matawang asing. Para peniaga tidak akan risau dengan meluasnya perdagangan antara negara kerana nilai tukar matawang adalah stabil.
Sebagai contoh; Dengan mengandaikan Ringgit Malaysia (RM) disandarkan kepada emas dan nilai Yen Jepun (¥) turut disandarkan kepada emas, meskipun kedua-dua negara memiliki jenis mata wang yang berbeza iaitu RM dan ¥, kadar tukaran matawang asing antara kedua-dua negara ini tetap akan sama kerana ia disandarkan kepada berat emas yang sama. Ini kerana, 4.25 gram emas di Malaysia (yang bernilai RM748) adalah setara dengan berat 4.25 gram emas di Jepun (yang bernilai ¥18,391), meskipun jenis mata wang kedua-dua negara ini berbeza kerana sandaran pertukaran matawang asing adalah berdasarkan berat emas dan bukan selain daripada itu. Para peniaga tidak akan risau dengan kadar tukaran matawang asing seperti mana sekarang, kerana mereka akan mendapat kadar tukaran yang sama iaitu berdasarkan berat emas dan bukannya berdasarkan nilai nominal mata wang sesebuah negara.
Keenam: Sistem emas dan perak akan memelihara kekayaan emas dan perak yang dimiliki oleh setiap negara. Oleh itu, emas dan perak tidak akan lari daripada sesebuah negara ke negara lain. Negara mana pun tidak memerlukan pengawasan untuk menjaga emas dan peraknya kerana emas dan perak itu tidak akan berpindah secara percuma ataupun secara haram. Emas dan perak tidak akan berpindah kecuali menjadi harga bagi barang atau perkhidmatan di mana hal ini dibolehkan oleh syarak.
Sebagai contoh; 1000 dinar emas yang berada di dalam negara A tidak akan berpindah ke negara B tanpa ada pertukaran komoditi mahupun perkhidmatan daripada negara B. Kompensasi yang berlaku adalah setara dengan nilai matawang yang digunakan dan bukannya berdasarkan faktor-faktor lain seperti spekulasi dalam pasaran matawang yang tidak mencerminkan perdagangan dalam pasaran sebenar (real market).
Inilah antara kelebihan yang ada dengan matawang emas dan perak dalam negara serta dalam perdagangan global. Sudah pasti kelebihan yang ada ini adalah jauh lebih banyak mengatasi kelemahan yang ada pada sistem wang fiat yang diamalkan pada ketika ini. Kadar inflasi sahaja sudah cukup untuk “memiskinkan” pemilik wang fiat ini berbanding dengan mata wang emas dan perak yang nilai intrinsiknya tetap terpelihara. Selain penggunaan emas dan perak sebagai matawang, yang turut perlu ditekankan ialah segala praktik riba serta segala pasaran kewangan (financial market) yang tidak syarie mesti dihapuskan terlebih dahulu. Ini kerana, keunggulan mata wang emas dan perak ini tidak akan dapat dicapai sepenuhnya sekiranya praktik yang haram ini masih berjalan dalam sesebuah negara.
Bersambung ke bahagian akhir…
Nota: Sebarang komen serta cadangan mengenai tulisan ini bolehlah berhubung terus dengan penulis melalui email [email protected].