Kenali Mata wang Syarie – Dinar dan Dirham (Bahagian Akhir)

Oleh : Yusuf Muhammad 

dinar-dirhamEmas dan Perak Sebagai Mata wang Adalah Tuntutan Syarak 

Melihat kepada kelebihan yang ada pada penggunaan emas dan perak sebagai mata wang, hal ini semata-mata sudah cukup untuk menjadikannya sebagai matawang negara. Namun, tuntutan syarak adalah pertimbangan utama untuk dilihat, berbanding pertimbangan kelebihan-kelebihan lain yang bakal diperoleh setelah pelaksanaannya.

Kewajipan penggunaan sistem mata wang dinar dan dirham adalah berdasarkan syariat Islam semata-mata, bukan atas dasar kestabilan nilai, manfaat dan sebagainya, melainkan ia merupakan perintah daripada Allah SWT yang telah memerintahkan kita untuk mengambil emas dan perak sebagai matawang. Inilah satu-satunya alasan dan sebenar-benar sebab kenapa kita perlu kembali kepada dinar dan dirham.

Peri pentingnya emas dijadikan standard ukuran di dalam Islam dapat diperhatikan berdasarkan ketetapan-ketetapan yang telah digariskan oleh Islam, antara lain adalah seperti berikut:

Pertama; Islam melarang praktik penimbunan harta (kanzul mal). Islam hanya mengkhususkan larangan penimbunan harta untuk emas dan perak. Larangan ini merujuk pada fungsi emas dan perak sebagai wang atau alat tukar (medium of exchange). Firman Allah SWT;

Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya sebahagian besar daripada orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benar-benar memakan harta orang dengan jalan yang batil dan mereka menghalang-halangi (manusia) daripada jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih” [TMQ Al-Taubah (9):34]. 

Kedua: Zakat wang yang ditentukan Allah SWT adalah berkaitan dengan emas dan perak. Islam telah menentukan nisab zakat tersebut dengan emas dan perak. Nisab zakat emas ialah 20 mitsqal atau 20 dinar yang setara dengan 85 gram emas. Jumlah zakat yang perlu dikeluarkan untuk jumlah ini ialah ½ dinar. Manakala untuk nisab zakat perak pula ialah sebanyak 200 dirham yang setara dengan 595 gram perak. Jumlah zakat untuk 200 dirham ini pula ialah 5 dirham.

Ketiga: Selain zakat, Islam juga mengaitkan emas dan perak dengan hukum-hukum yang lain seperti diyat, kafarah, pencurian dan lain-lain. Islam menentukan diyat dengan ukuran tertentu dalam bentuk emas. Islam juga mengenakan hukuman potong tangan terhadap pencurian dengan ukuran melebihi emas sebanyak ¼ dinar. Rasulullah SAW bersabda,

“Dalam (pembunuhan) jiwa itu terdapat diyat berupa 100 ekor unta dan terhadap pemilik emas (ada kewajipan) sebanyak 1000 dinar” [HR an-Nasa’i dan Amru bin Hazam].

Baginda SAW juga bersabda,

Tangan itu wajib dipotong, (jika mencuri) 1/4 dinar atau lebih” [HR al-Bukhari].

Pelaksanaan emas dan perak sebagai matawang syarie tidak akan dapat dilaksanakan selagi ideologi yang menguasai dunia ketika ini bukan ideologi Islam.  Ini kerana, ideologi kapitalisme yang banyak mendominasi dunia pada hari ini akan sentiasa didukung oleh negara yang mengembangkannya terutamanya Amerika Syarikat.

Oleh itu, untuk menggantikan wang fiat yang digunakan secara menyeluruh di seluruh dunia sekarang, pastinya mesti dimulai dengan meruntuhkan ideologi kapitalisme ini dan menggantikannya dengan ideologi Islam. Dengan terhapusnya ideologi kapitalis dan penggunaan wang fiat, penggunaan mata wang emas dan perak dalam perdagangan global akan memastikan keadilan dalam perniagaan tanpa ada unsur monopoli yang terhasil daripada penguasaan sesebuah negara terhadap kebergantungan mana-mana negara terhadap matawang negara lain.

Kembali kepada dinar dan dirham, bukanlah itu sahaja yang menjadi kewajipan umat Islam. Setiap Muslim wajib berusaha mengembalikan keseluruhan sistem ekonomi Islam dan juga sistem lain merangkumi sistem pemerintahan, sistem hukuman (uqubat), sistem pergaulan (ijtimaie), polisi luar negara serta polisi pendidikan yang kesemuanya mesti berjalan selari dengan pelaksanaan dinar dan dirham, sebagai sistem Islam yang syumul (sempurna) dan kaffah (menyeluruh).

Penerapan Islam secara kaffah akan memastikan setiap perjalanan urusan negara adalah pada landasan yang benar lagi syarie dan diredhai oleh Allah SWT, bukannya seperti sekarang yang dipenuhi dengan kerosakan, kepincangan dan kemurkaan Allah SWT. Ini kerana, keindahan yang ada pada sistem-sistem Islam itu hanya akan dapat menjelma sekiranya kesemua sistem Islam diterapkan secara sekali gus dan menyeluruh tanpa sebarang kelompangan. Justeru, hanya dengan penegakan syariah di bawah naungan Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah sahajalah pelaksanaan Islam secara menyeluruh akan dapat direalisasikan serta keadilan yang dibawa oleh Islam akan dapat dijelmakan di hadapan mata.

Wallahu a’lam. 

 

Nota: Sebarang komen serta cadangan mengenai tulisan ini bolehlah berhubung terus dengan penulis melalui email [email protected].