Kenapa Demokrasi Masih Tersangkut di Laman Belakangnya?

بسم الله الرحمن الرحيم

“SEMPENA 100 TAHUN KEJATUHAN KHILAFAH…AYUH TEGAKKANNYA WAHAI KAUM MUSLIMIN”

UCAPAN 2

“Kenapa Demokrasi Masih Tersangkut di Laman Belakangnya?”

Mahmut Kar

Ketua Pejabat Media Hizbut Tahrir Wilayah Turki

(Terjemahan)

Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

Para penonton dan pengunjung sekalian,

Muslimin dan Muslimat yang dimuliakan,

Kini genap 100 tahun semenjak Khilafah Uthmaniyyah dihancurkan oleh British dan agen-agen dalaman mereka. 75 tahun berlalu semenjak penjajahan Masjid al-Aqsa oleh entiti Yahudi. Lebih 30 tahun telah berlalu semenjak berakhirnya Perang Dingin. Boleh dikatakan bahawa era Amerika juga menandakan keruntuhan Zaman Perindustrian Eropah, kerana tiada apa yang tersisa dari tangan-tangan kuffar Barat untuk ditawarkan kepada umat manusia melainkan demokrasi yang rosak.

Mereka fikir bahawa dengan demokrasi, mereka akan membuai manusia dalam tidur yang lena selama bertahun-tahun, dan mereka mengimpikan untuk menubuhkan peradaban demokratik di negeri-negeri kaum Muslimin. Hakikatnya, mereka tahu dengan pasti bahawa mimpi mereka tidak akan menjadi realiti, dan mereka tidak mempunyai sebarang kawalan dalam hal ini. Apa yang tersisa di tangan mereka tidak lain hanyalah satu – demokrasi yang rosak. Mereka menjajah Afghanistan, Iraq dan Syria, mengusung janji-janji demokrasi, dan meletakkan rejim boneka mereka di Tunisia, Mesir dan Libya, menjanjikan demokrasi bagi memastikan kelangsungan pengaruh mereka. Untuk itu juga, mereka mendukung Barisan Penyelamat Islam di Algeria, Parti Rafah di Turki, Ikhwanul Muslimin di Mesir, dan Hamas di Palestin untuk menyertai pilihanraya demokrasi, tetapi apabila mereka mendapatinya tidak sesuai buat mereka di Mesir, mereka melancarkan rampasan kuasa ke atas Morsi, yang telah memenangi pilihanraya, dan mereka menyokong rampasan kuasa Sisi ke atasnya.

Para penonton yang dimuliakan! Inilah apa yang dilakukan oleh Amerika dan Barat terhadap Islam dan kaum Muslimin. Inilah tindakan sejagat mereka yang telah berlarutan selama seratus tahun, dan kini, apa yang masih tersisa di tangan-tangan kuffar adalah senjata tsaqafah, yakni senjata demokrasi yang lapuk. Namun, apa yang sangat memedihkan ialah terdapat di tengah-tengah kita, penguasa-penguasa boneka pengkhianat yang diperalatkan oleh Barat sebagai senjata ke atas umat Islam. Para penguasa ini memandang penjajahan Amerika terhadap Iraq sebagai usaha untuk memperkenalkan demokrasi ke rantau tersebut, dan antaranya termasuklah Presiden Erdogan dari Turki, yang ikhlas berusaha selama bertahun-tahun mempengerusikan Kumpulan Projek Timur Tengah Raya (Greater Middle East Project Group). Malang buat mereka, usaha-usaha mereka tidak dipedulikan semasa musim Arab Spring.

Sama seperti penguasa-penguasa tersebut, terdapat juga para ulama dan ahli akademik moden yang mengatakan bahawa Islam tidak mempunyai sistem tersendiri, dan bahawa Khilafah ialah idea utopia (khayal). Sedangkan hakikatnya idea utopia itu terdapat pada demokrasi, yang merupakan sistem penuh ilusi serta penerapannya yang jauh panggang dari api. Mengapa? Kerana hakikatnya tiada seorang rakyat pun boleh terlibat dalam pengurusan atau pentadbiran negara, dan kehendak majoriti hakikatnya tidak pernah wujud dalam mana-mana sistem seperti ini. Kebanyakan negara yang kononnya melaksanakan proses demokrasi ini, negara tersebut sama ada ditadbir oleh minoriti atau oleh kerajaan yang terdiri daripada pakatan antara parti-parti. Justeru, ungkapan bahawa “dalam negara-negara yang menerapkan demokrasi, parlimen mencerminkan pandangan majoriti” merupakan sebuah pembohongan dan penipuan.

Antara contoh yang paling ketara berhubung perkara ini dapat dilihat di negara-negara Barat. Di Amerika sebagai contoh, siapa pun yang menjadi presiden atau anggota Senat, jika dilihat pada asas pemilihan mereka, penentu dalam terpilihnya mereka bukanlah atas kehendak majoriti penduduk, sebaliknya menurut kehendak syarikat kapitalis. Atas dasar itu, kesemua presiden dan senator Amerika, sehingga ke hari ini, merupakan wakil kepada kehendak pemilik-pemilik syarikat minyak dan senjata, yang mendanai segalanya, termasuklah kempen pilihanraya mereka.

Demokrasi yang disuburkan Amerika untuk mendapatkan manfaat daripadanya, telah lama layu dan menuju kehancuran saban hari. Bagi menyelamatkannya, alasan-alasan hak asasi manusia telah diketengahkan dalam rangka menutup mitos-mitos mantan presiden Trump demi memelihara kelangsungan pentadbirannya. Kini, Biden pula berusaha untuk membersihkan kesan-kesan peninggalan Trump. Dengan berbuat demikian, ia, sebenarnya ingin membalas dendam. Oleh itu, Amerika akan terus terbelenggu dengan masalah dalaman dan kerosakannya.

Amerika telah sampai ke tahap tidak lagi boleh menggunakan mantera pembohongannya “Kami membawakan kepada anda demokrasi”, dalam rangka mengekalkan penjajahannya di negara-negara lain. Ini kerana rakyatnya, dan penduduk di negara-negara lain kini telah berkata: “Biarlah Amerika mencari demokrasi di wilayahnya sendiri dahulu dan biarlah Barat menerapkan demokrasi di wilayah dan dalam kalangan warganya sendiri terlebih dahulu”.

Mereka sama sekali tidak akan dapat menemuinya dan menerapkannya, kerana demokrasi tidak lain hanyalah penipuan terbesar dalam tempoh 100 tahun ini yang dihamburkan oleh negara-negara kolonial dan syarikat korporat untuk membohongi manusia.

Anda telah melihat reaksi Amerika terhadap siri demonstrasi pada 25 Mac 2020, ekoran pembunuhan George Floyd di Minnesota oleh seorang anggota polis. Trump mengugut untuk menggunakan pasukan bersenjata berat ke atas penunjuk perasaan sekiranya mereka menceroboh pagar-pagar Rumah Putih, tetapi Trump sendiri setelah ia kalah dalam pilihanraya, tidak pula menghalang penyokong-penyokongnya daripada menyerbu Capitol Hill! Dapatkah anda bayangkan? Penduduk Amerika, yang menyebarkan demokrasi ke seluruh dunia, melihat pilihanraya mereka sebagai tidak sah, memecah masuk bangunan pentadbiran negara, dan menabur debu-debu kotor pada mimpi Amerika.

Dan sekiranya demokrasi itu benar, Amerika sepatutnya menghulurkan tangan kepada penduduknya terlebih dahulu, tetapi ia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, ia mengacukan senjata ke dada-dada mereka.

Demokrasi tidak lain hanyalah sebuah sistem yang hodoh, memualkan, rosak dan lapuk. Hakikatnya, kebebasan dalam sistem demokrasi mengheret seluruh manusia menuju kehancuran. Dalam sistem ini, manusia ingin memiliki segala perkara, dan sekiranya mereka tidak memperolehinya, mereka akan menjadi tertekan, lalu berkata bahawa wang adalah asas kepada kehidupan. Hakikatnya wang dalam sistem demokrasi dalam mana-mana negara pun, hanya tertompok di tangan segelintir sahaja pihak sahaja dalam masyarakat. Pihak minoriti inilah yang memanfaatkan kehendak orang ramai demi kepentingan sendiri, dan merekalah yang memberi kuasa penentu kepada rejim-rejim yang mereka danai. Berikut ini sebahagian fakta:

– Separuh daripada populasi dunia, yakni lebih daripada 3 bilion orang, hidup dengan pendapatan kurang daripada dua dolar sehari.

– 1.5 bilion orang hidup dengan pendapatan kurang daripada satu dolar sehari.

– Justeru, hanya 10% daripada populasi dunia memiliki 70% daripada keseluruhan pendapatan dunia secara tidak adil.

– Jumlah orang yang hidup dalam paras kemiskinan tegar ialah 1.1 bilion.

– Lebih daripada 10 juta kanak-kanak kehilangan nyawa setiap tahun akibat kebuluran.

Untuk menggambarkan betapa dahsyatnya kerosakan di negara-negara Barat yang menerapkan sistem demokrasi, saya ingin berkongsi dengan anda sebahagian data tambahan seperti berikut:

– Di Amerika, seorang membunuh diri setiap 11 minit; dan pada penghujung Jun tahun lepas, 40% daripada orang dewasa di AS dilaporkan menghadapi masalah mental dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

– Di Amerika, seorang dibunuh setiap 23 minit; seorang wanita dirogol setiap 2 minit; dan seorang diserang setiap 49 saat.

Para penonton sekalian:

Kebenaran atau kebatilan sesebuah sistem itu terkait sepenuhnya dengan kebenaran atau kebatilan qa’idah fikriyyah (kaedah berfikir)nya, dan pada hari ini, demokrasi yang dahulunya telah dicuba di Amerika dan Eropah, dihiaskan dan dihidangkan ke tangan-tangan umat Islam. Jika kita melihat sejenak kepada pengalaman manusia dalam sistem demokrasi, kita tidak akan melihat apa-apa kecuali kebusukan dan korupsi. Jika kita melihat ke sisi lain, iaitu kepada pengalaman politik Islam yang telah berlangsung selama 13 abad, kita akan menemui pencerahan dan perluasan (yang dibawa oleh Islam). Namun malangnya, para pengkhianat (yakni) para penguasa umat Islam, idea-idea mereka sungguh aneh, dan para ulama mereka berkiblatkan Barat. Lantas, penyebaran demokrasi Barat di negara kita menjadi keutamaan bagi mereka, seolah-olah tidak ada projek khusus untuk kita, dan seolah-olah Islam tidak menentukan aspek pemerintahan dan pentadbiran untuk kita!

Bagaimana pun, kami (Hizbut Tahrir) dengan lantang menyatakan bahawa: Ya! Kami adalah penyeru kepada Khilafah, kerana kita (umat Islam) mempunyai projek kita yang tersendiri. Kami menegaskan bahawa Islam adalah akidah dan syariat yang sempurna, yang menuntut kepada penerapannya dalam segenap aspek kehidupan tanpa kecuali.

Allah (swt) berfirman:

﴿الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِيناً

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kalian agama kalian, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kalian, dan Aku telah redhai Islam itu menjadi agama kalian” [Al-Ma’idah (5): 3].

Kerana ini jugalah kami menyatakan bahawa: Kami mempunyai projek yang benar, yakni projek Khilafah Rasyidah. Khilafah Rasyidah merupakan satu-satunya pemerintahan yang mana Islam akan dapat diterapkan di dalamnya. Menegakkan Khilafah Rasyidah merupakan satu kewajipan yang amat jelas.

Saya akhiri ucapan saya dengan berkongsi kepada anda satu perenggan ringkas daripada ucapan yang disampaikan oleh Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah kepada umat Islam, dalam Persidangan Khilafah yang dianjurkan enam tahun lalu di Istanbul yang bertajuk “Model Demokrasi Berpresiden atau Khilafah Rasyidah?” yang di dalamnya Amir kami yang dimuliakan telah berkata:

“Khilafah yang sebenar bukanlah suatu yang tidak diketahui. Ia adalah sebuah sistem tersendiri yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) dan diikuti oleh Khulafa’ ar-Rasyidin sesudah baginda. Khilafah bukanlah sebuah empayar atau monarki. Ia bukanlah republik berpresiden atau berparlimen. Ia juga bukan kediktatoran atau demokrasi (yang) tidak menuruti peraturan Allah, dan juga bukan mana-mana sistem buatan manusia, tetapi ia adalah Khilafah yang adil, dan pemerintahnya adalah para Khulafa’, Imam-imam, yang mana umat berperang di belakang mereka dan dilindungi oleh mereka…Ia adalah Khilafah yang melindungi darah dan kehormatan serta memelihara kekayaan umat Islam, dan memenuhi akad-akad perlindungan untuk Ahlu Zimmah. Ia mengambil baiah dengan jalan ridha wa ikhtiar (persetujuan dan pilihan dari umat), bukan melalui tekanan atau paksaan. Manusia berhijrah kepadanya dengan aman, dan mereka tidak melarikan diri daripadanya dalam keadaan panik…”

Wassalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuhu

أقيموا_الخلافة#

#TegakkanKhilafah

#EstablishTheKhilafah