Kenapa umat semakin menjauhi politik?

Bagi sebahagian masyarakat, politik dilihat sebagai sesuatu yang kotor, tidak penting, dan tidak ada kebaikan langsung. Mereka merasakan politik itu suatu yang buruk dan keji, yang sentiasa penuh dengan amalan kronisme, nepotisme, ketirisan, politik wang, salah guna kuasa, tamak, rasuah, kepura-puraan para politikus dan fitnah-memfitnah antara mereka demi menjatuhkan pihak lawan dan mendapatkan kekuasaan duniawi. Ada juga yang melihat politik itu penuh dengan tipu daya dan penipuan demi untuk memenangi undi. Ada pula yang kecewa dengan janji-janji manis sebelum pilihan raya, yang akhirnya hanya tinggal janji. Isu rasuah dan lompat parti juga lumrah dan tidak dapat dipisahkan dengan politik.

Dalam politik, boleh dikatakan tiada istilah mustahil. Musuh menjadi kawan, kawan menjadi musuh adalah normal kehidupan orang politik apatah lagi dalam senario politik tanah air. Segalanya sukar diramal. Tiada musuh yang kekal dan tiada kawan yang setia dalam politik. Itulah ungkapan yang sering didendangkan oleh mereka yang bergelumang dalam dunia politik seantero dunia.

Dalam permainan politik demokrasi, peranan utama rakyat marhaen hanyalah sekadar mengundi wakil yang dicalonkan, iaitu bagi mewakili parti yang mereka sokong. Calon yang mendapat majoriti undi, walaupun melebihi satu undi, dikira sebagai wakil yang menang bagi kawasan yang ditandinginya. Di Malaysia khususnya, yang mengamalkan sistem politik pelbagai parti sejak kemerdekaan pada tahun 1957 lagi, pilihan raya umum dilakukan setiap 5 tahun sekali, apabila Parlimen atau DUN dibubarkan atau terbubar sendiri selepas tamat tempoh 5 tahun.

Dalam kes-kes tertentu, diadakan pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen atau DUN, boleh jadi disebabkan oleh kematian wakil rakyat, peletakan jawatan, hilang kelayakan, atau disebabkan oleh pembatalan keputusan pilihan raya oleh mahkamah. Bagi majoriti rakyat, tugas politik sudah dianggap selesai dengan terpilihnya wakil rakyat dan selepas itu setiap tindakan diserah bulat-bulat kepada wakil yang dipilih. Rakyat dianggap mewakilkan kehendak mereka kepada wakil yang telah dilantik. Untuk menukar kepimpinan, bermakna perlu menunggu lagi selepas tamat tempoh sepenggal iaitu 5 tahun.

Parti atau gabungan parti yang menang, setelah mendapat majoriti kerusi Parlimen, boleh membentuk kerajaan persekutuan, manakala parti yang memenangi majoriti di peringkat negeri akan menubuhkan kerajaan negeri. Pada PRU ke-14 lalu, Malaysia telah melakar sejarah apabila kekuasaan gabungan parti-parti sejak kemerdekaan dan diteruskan di bawah Barisan Nasional (di tubuhkan pada tahun 1973), yang telah berkuasa selama ini, kalah kepada gabungan parti baru iaitu Pakatan Harapan (PH), di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun umur kerajaan baru tersebut hanya mampu bertahan selama 22 bulan sahaja apabila berlaku perpecahan di dalam PH. Pada bulan Februari 2020, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), iaitu satu dari parti komponen dalam PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah membawa keluar Bersatu daripada PH, manakala Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula membawa keluar bersamanya 10 ahli Parlimen PKR untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Muhyiddin. Kesannya, PH tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat, sekali gus membawa kepada kejatuhan sebuah kerajaan yang memerintah tidak sampai satu penggal. Muhyiddin akhirnya berjaya membentuk kerajaan bersama parti komponen utama iaitu PAS dan UMNO, di bawah gabungan baru yang dinamakan Perikatan Nasional (PN).

Kejatuhan PH bukan berlaku sekelip mata atau kesan faktor sehari dua. Asas berdirinya gabungan PH itu sendiri adalah manfaat. Umum mengetahui tentang perebutan kuasa, perbalahan blok penyokong, dan perpecahan dalaman PKR, yang menjadi isu berpanjangan dan menjadi antara faktor kejatuhan PH. Kerajaan PN yang baru dibentuk juga tidak lari daripada asas perjuangan atas dasar manfaat individu dan parti.

Senario yang berlaku ini telah menjauhkan lagi rakyat daripada politik kerana meluat dan jijik melihat karenah para politikus dan parti politik. Sebilangan rakyat yang sebelum ini meraikan kemenangan wakil mereka membentuk kerajaan di bawah PH, hanya mampu melihat wakil yang sama keluar parti untuk membentuk gabungan lain. Dalam pada itu rakyat hanya mampu mengeluh apabila banyak janji-janji PRU14 yang tidak ditepati. Rakyat hanya mampu merungut melihat ahli politik dilantik menjawat jawatan GLC yang sudah pastinya menjanjikan habuan lumayan kepada ahli politik tersebut manakala rakyat tidak mendapat apa-apa.

Jika dilihat dari sudut ini, khususnya apa yang berlaku kat Malaysia kebelakangan ini, maka bertambahnya kebencian rakyat terhadap politik itu ada asasnya, sehingga ada yang melihat politik sebagai sesuatu yang kotor dan menjijikkan. Inilah realiti politik demokrasi. Sedangkan dalam Islam, politik adalah suatu yang tidak dapat dipisahkan daripada Islam, sebagaimana ekonomi, pendidikan, ibadah dan lain-lain yang tidak terpisah daripada Islam.

Politik Islam

Di sinilah umat perlu sedar bahawa politik dalam Islam adalah berbeza dengan politik dalam sistem demokrasi. Secara lughah (bahasa), perkataan siyasah (politik) berasal dari kata sasa, yasusu, siyasatan yang bererti “memelihara, mengurus atau mengatur”. Perkataan siyasatan menurut pengertian bahasa adalah ‘pemeliharaan/pengurusan/pengaturan’. Dalam kamus Al-Muhits dikatakan – sustu ar-ra’iyata siyasatan, ai amartuha wa nahaituha, ai ra’itu syu’naha bi al-awamir wa an-nawahi (aku memimpin rakyat dengan sungguh-sungguh, atau aku memerintah dan melarangnya, atau aku mengurusi urusan-urusan mereka dengan perintah-perintah dan larangan-larangan). Ini maksud politik dari segi bahasa.

Adapun maksud siyasah menurut istilah/syarak adalah ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri) [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur]. Pengertian ini diambil dari beberapa hadis di mana Rasulullah (saw) menggunakan lafaz ‘siyasah’ untuk menunjukkan maksud pengurusan/pemeliharaan urusan umat, antaranya hadis riwayat Bukhari dan Muslim,

“Adalah Bani Israel dahulu yang mengatur urusan mereka adalah nabi-nabi (tasusuhum al-anbiya’). Bila wafat seorang Nabi, maka diganti dengan Nabi yang berikutnya. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi sesudahku tetapi akan ada Khulafa’ dan jumlahnya banyak. Para sahabat bertanya, ‘Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?’ Nabi bersabda, ‘Penuhilah ba’iat yang pertama, yang pertama sahaja, berikanlah kepada mereka hak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa saja yang mereka urus/pelihara,”

Berkenaan lafaz tasusuhum al-anbiya, Ibn Hajar al-‘Ashqalani berkata, “Dalam hal ini terdapat isyarat bahawa mesti ada bagi rakyat, orang yang mengatur urusan mereka, membimbing mereka ke jalan yang baik, dan memberikan keadilan kepada orang yang dizalimi daripada orang yang zalim” [Fath al-Bari, VI/497].

Kewajipan berpolitik menjadi tanggung jawab pemerintah, jemaah/gerakan Islam dan juga individu. Tanggung jawab politik yang dibebankan oleh Allah (swt) ke atas bahu pemerintah, adalah jelas berdasarkan maksud politik (siyasah) menurut Islam di atas. Nabi (saw) bersabda,

Imam (pemimpin) itu pemelihara dan dia bertanggung jawab di atas orang yang dipelihara (rakyat)nya

[HR Muslim].

Hadis ini dengan jelas menekankan akan kewajipan mengurus/memelihara, mengambil berat/peduli tentang kepentingan-kepentingan umat yakni menunaikan segala hak dan kewajipan rakyat mengikut ketentuan yang telah Allah (swt) perintahkan ke atas mereka (pemerintah).

Bagi setiap individu Muslim dan gerakan Islam pula, mereka juga wajib berpolitik dengan maksud wajib ke atas mereka memerhatikan urusan atau kepentingan umat Islam. Wajib bagi mereka memastikan bahawa mereka ‘diatur’ (oleh pemerintah) dengan hukum-hakam Islam dan wajib pula bagi mereka memuhasabah pemerintah sekiranya pemerintah tidak menerapkan hukum Islam ataupun mengabaikan kemaslahatan kaum Muslimin. Dalam hal ini, Allah (swt) telah mewajibkan adanya segolongan (jemaah/gerakan) dari kalangan umat Islam agar mengajak manusia kepada Islam dan melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Firman Allah (swt),

Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (Islam), dan menyuruh kepada yang ma’ruf serta mencegah dari yang mungkar dan mereka itulah orang-orang yang menang.” [TMQ Ali Imran (3):104].

Inilah tanggungjawab politik umat Islam yang telah diwajibkan oleh Allah (swt). Peri pentingnya muhasabah dari rakyat kepada pemerintah yang zalim, yang tidak menerapkan Islam sehingga Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw) meletakkan satu darjat yang tinggi kepada mereka yang melakukan aktiviti politik (muhasabah) ini, yakni dengan status sebagai sayid asy-syuhada (penghulu para syahid). Sabda Nabi (saw),

Penghulu syuhada adalah Hamzah ibn Abdul Muttalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang jahat/zalim, lalu menyerunya berbuat baik dan mencegahnya berbuat mungkar, kemudian dia dibunuh (oleh penguasa tersebut)” [HR Hakim].

Dari pengertian politik ini, tidak hairanlah jika ada ulama menekankan bahawa politik dan agama adalah ibarat dua saudara kembar [Lihat: Imam al-Ghazali, Al-Iqtishad fî al-I‘tiqad, hlm. 199]. Dikatakan juga, “Jika kekuasaan (as-sulthan) terpisah daripada agama atau jika agama terpisah dari kekuasaan, nescaya keadaan manusia akan rosak” [Lihat: Ibn Taimiyah, Majmu‘ al-Fatawa, 28/394]. Ulama-ulama yang ikhlas, baik yang salaf mahupun yang khalaf memahami pengertian politik dari perspektif ini dan mereka adalah golongan yang selalu melakukan amar ma’ruf nahi mungkar terhadap pemerintah sehingga ada yang dipenjarakan dan dibunuh.

Penutup

Kekeliruan dan kekecewaan umat yang muncul akibat suasana politik di negara ini sewajarnya dijernihkan. Umat juga perlu disedarkan akan peranan dan tanggungjawab mereka dalam melakukan muhasabah terhadap pemerintah atas kelalaian mereka (pemerintah) dalam menguruskan umat serta pengabaian mereka terhadap penerapan hukum syarak. Usaha muhasabah merupakan sebahagian daripada aktiviti politik Islam berdasarkan kepada makna politik itu sendiri yang terkait rapat dengan aktiviti melakukan amar makruf nahi mungkar. Manakala pemerintah pula menanggung dosa sekiranya mereka tidak melakukan tugas politik yang sebenar menurut Islam yakni memelihara urusan umat dengan Islam dan menerapkan hukum Islam. Tindakan politikus sekular hari ini yang sering berebut kuasa, saling menjatuhkan, saling memfitnah, mementingkan diri sendiri dan parti, menipu rakyat, merampas harta rakyat dan melakukan pelbagai kezaliman serta keburukan – semua ini telah menjadikan politik itu suatu yang kotor dan jijik, sebagaimana kotor dan jijiknya peribadi mereka.

Wallahu a’lam.