“Kenyataan akhbar seorang pejuang Khilafah di Pakistan”

Siaran Akhbar
 
Kenyataan daripada seorang pendakwah Khilafah:
Para penguasa sedang membalas dendam dengan cara memalukan dengan memfailkan kes jenayah yang direka-reka yang mencerminkan kebankrapan intelektual mereka
 
Assalamualaikum,
     
      Nama saya ialah Arshad. Saya adalah bapa kepada tiga orang anak dan berasal dari kalangan keluarga kelas pertengahan. Dari segi profesion, saya adalah seorang konsultan I.T. dan saya menyumbang kepada masyarakat sesuai dengan kepakaran saya sejak 10 tahun dahulu.
 
      Saya telah ditangkap oleh polis daerah SHO pada 11 Ogos 2012 semasa pergi ke balai polis untuk mengeluarkan motosikal saya dari balai. Saya dikurung di dalam sebuah bilik kecil selama 24 jam agar para penguasa yang patuh kepada boneka-boneka Amerika, para pembelot di kalangan masyarakat dan pasukan tentera, dapat menggertak saya. Pada masa yang sama, rakan saya dan beberapa orang lain yang datang ke balai untuk mendapat maklumat mengenai saya telah diberikan berita palsu tentang penahanan saya dan pihak polis menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai maklumat tentang keberadaan saya.
 
      Pada 12 Ogos, suatu FIR telah difailkan terhadap saya dan saya telah dihadapkan kepada media dengan muka saya ditutup seolah-olah senjata api telah dijumpai bersama-sama saya. Mereka memasukkan ke dalam FIR tersebut, antara lain adalah dakwaan khianat dan jahat (treason and notorious) di bawah Akta Ketenteraan Pakistan [PAA Seksyen ii (D)] yang tidak boleh diikat-jamin, yang membolehkan para penguasa untuk membicarakan saya di mahkamah tentera – yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan – sekiranya mereka dapat membuktikan fakta-fakta palsu tersebut di mahkamah. Semasa prosiding mahkamah berjalan, satu lagi FIR telah dikeluarkan terhadap saya pada minggu yang sama di balai polis yang sama. Dakwaan di dalam FIR tersebut adalah lebih keras. Dua setengah bulan telah berlalu sejak saya dikenakan tuduhan palsu sambil dikenakan tahanan di dalam penjara dan seterusnya dibebaskan oleh mahkamah. Peristiwa tersebut adalah salah satu contoh kes balas dendam penguasa terhadap para pendakwah yang ikhlas.
 
      Tindakan balas dendam terhadap saya adalah disebabkan oleh tindakan saya yang memfailkan petisyen bertulis terhadap para penguasa yang telah melancarkan kempen penculikan, penderaan dan ancaman bunuh terhadap anggota parti politik Hizbut Tahrir. Semasa kempen tersebut, para penguasa telah menyeksa cendekiawan muda seperti Imran Yousafzai dan juga warga tua yang dihormati Dr. Abdul Qayyum. Terdapat senarai panjang individu-individu yang baik yang telah dikenakan tindakan kejam oleh para penguasa.
 
      Antara tindakan penguasa yang lebih buruk adalah mereka mula menyerbu tempat-tempat pertemuan dan perbincangan walaupun di kediaman peribadi. Walhal dalam perbincangan ini, isu-isu penting dalam negara dan antarabangsa serta topik-topik intelektual dibincangkan dan penyelesaian daripada Quran dan Sunnah dibentangkan. Para peserta di dalam perbincangan ini termasuklah ahli perniagaan, guru, doktor, jurutera, pakar IT, ejen hartanah, pengurus, akauntan, pelajar dan orang-orang daripada pelbagai bidang yang berbeza. Mereka ditahan serta dihadapkan ke pihak media untuk diaibkan. Ada sebahagian daripada mereka yang kehilangan pekerjaan, pembelajaran mereka turut diganggu dan ada di antaranya yang mengalami kerugian di dalam perniagaan. Mereka dizalimi oleh penguasa oleh sebab mereka mahukan perubahan yang sebenar di dalam masyarakat dan mereka sedar bahawa perubahan tersebut tidak mungkin berlaku tanpa adanya Khilafah, lalu mereka menganggotai sebuah parti politik ideologis, Hizbut Tahrir, untuk tujuan ini – satu parti yang mana aktiviti politik dan intelektualnya membawa ketakutan kepada ramai penguasa umat Islam.
 
      Hizbut Tahrir yang merupakan sebuah parti yang menolak kekerasan, telah diharamkan oleh General Musharraf pada tahun 2003 dalam rangka Musharraf menyenangkan hati Amerika Syarikat (AS) disebabkan oleh Hizbut Tahrir membongkar kejahatan dan pengkhianatan boneka setia AS ini. Berselindung di sebalik pengharaman ini, propaganda jahat terhadap Hizb dan para anggotanya masih berterusan.
 
      Tipu daya pertama mereka terhadap Hizb adalah dengan mendakwa Hizb sebagai parti yang tiada tolak ansur agama, memecah-belahkan rakyat dan mempromosikan idea-idea berbahaya.
 
      Manakala usaha terkini mereka adalah membuat tuduhan jahat ke atas Hizb sebagai sebuah parti yang menimbulkan kacau bilau dan cuba melemahkan tentera Pakistan.
 
      Padahal realiti adalah sebaliknya di mana Hizbut Tahrir-lah yang sebenarnya menyeru kepada penyatuan umat Islam di bawah negara yang satu (Khilafah) dan menyeru agar melenyapkan segala sempadan palsu di antara negeri-negeri umat Islam yang membelenggu umat Islam selama ini. Inilah Negara (Khilafah) di mana rakyatnya dari pelbagai warna kulit, keturunan, agama dan asal-usul dapat menikmati hak masing-masing dan negara ini akan mengembangkan konsep Islam yang sempurna ini ke seluruh dunia.
 
      Hizbut Tahrir menerangkan konsep negara (Khilafah) yang mana pemerintahannya bersifat sepusat (centralized) dan penuh bertanggungjawab. Sistem ekonominya bukan sahaja bertujuan untuk mengurangkan kemiskinan malah untuk menghapuskannya. Sistem pengadilannya memberikan keadilan yang cepat dan bebas (daripada sebarang campur tangan pihak tertentu). Sistem pendidikannya akan mencetak insan yang berkebolehan tinggi seperti pada masa-masa lalu. Polisi luar negaranya akan melahirkan  order baru dunia yang adil dan pasukan tenteranya akan membebaskan Kashmir, Afghanistan, Palestine, Afghanistan dan kesemua wilayah Muslim yang terjajah. Kesemua langkah ini tentunya akan mengubah dominasi politik dan ekonomi oleh AS. Inilah sebabnya kenapa Barat sungguh takut dengan kembalinya Khilafah dan cuba mengelakkan hal ini dari berlaku dengan mengarahkan boneka-boneka mereka di negara umat Islam untuk mengharamkan Hizbut Tahrir di negara masing-masing, yang mana Hizbut Tahrir akan menjadi titik tolak kepada berdirinya semula Khilafah.
 
      Pakistan telah diperolehi atas nama Islam, bukan untuk berkhidmat kepada kepentingan AS. Makna لا الہ الا اللہ “ kepada Pakistan adalah bahawa nenek moyang kita telah berkorban nyawa, harta dan maruah mereka kerana kalimah ini. Mereka telah mencurahkan darah mereka demi tumbuhnya sebuah pokok yang bernama Pakistan yang akarnya berasal dari kalimah ini. Justeru, kenapakah menjadi satu jenayah besar untuk menyeru kepada Islam di negara yang korup ini? Mereka yang menyeru kepada penegakan sebuah Negara Islam telah diculik dan diseksa hanya kerana mereka mengingatkan para penguasa untuk takutkan Allah. Para penguasa ini perlu ingat bahawa di Hari Kiamat nanti mereka akan berdiri di hadapan Allah, hari di mana kesemua para pengkhianat akan dikenal melalui bendera pengkhianatan masing-masing yang tingginya bergantung kepada setinggi manakah pengkhianatan mereka.
 
      Kami, para pemuda Hizbut Tahrir telah dikenakan pelbagai tuduhan sebagai balasan dendam penguasa terhadap kami kerana kami telah memuhasabah penguasa yang kehabisan modal intelektual ini dengan bersungguh-sungguh. Kami diaibkan hanya kerana kami sayangkan Islam dan kerana kami berusaha untuk mengembalikan Islam daripada golongan yang menentang kembalinya Islam sebagai suatu kuasa politik.
 
      Saya ingin bertanya, apakah perlu dihalang perbincangan tentang pemikiran sejagat Islam, tentang sistem politik Islam dan tentang penegakan semula Khilafah ar-Rashidah? Saya ingin bertanya, apakah perlu dihalang usaha pembongkaran hubungan dan pakatan sulit mahu pun kerjasama di antara penguasa umat Islam dengan Barat, terutamanya AS? Apakah perlu dihalang segala pembongkaran terhadap pengkhianatan yang dilakukan oleh masyarakat atau tentera ke atas umat Islam dan tentera Pakistan?
 
      Hizbut Tahrir melakukan perjuangannya secara politik tanpa kekerasan. Jadi kenapakah Hizbut Tahrir dihalang?
 
Saya menuntut seperti berikut:
 
a) Dari pihak media yang bebas, agar mendedahkan pengharaman yang tak berasas ke atas Hizbut Tahrir dan memberikan hak kepadanya untuk menyampaikan pemikiran-pemikirannya.
b) Dari organisasi hak asasi manusia, agar berkempen menghalang pengharaman Hizbut Tahrir yang mana para anggotanya diperlakukan hingga ke tahap dinafikan hak-hak sebagai rakyat.
c) Dari pihak kehakiman, agar menyiasat tuduhan palsu ke atas para shabab Hizbut Tahrir dan mengumumkan bahawa pengharaman aktiviti Hizbut Tahrir adalah tidak adil dan tidak berasas.
 
Saya mahu memperingatkan para kaki tangan yang menjadi pelaksana undang-undang termasuk agensi perisikan, bahawa Allah SWT di Hari Kiamat, tidak akan menerima alasan mereka -bahawa mereka hanya melaksanakan tugas yang telah diamanahkan- kerana mereka mengetahui sepenuhnya yang arahan tersebut diterima daripada para pengkhianat di kalangan masyarakat dan tentera yang hanya menjaga kepentingan AS. Rasulullah (SAW) bersabda,
 
  “السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ”
 
“Seseorang (wajib) mendengar dan taat selama mana tidak diperintah kepada maksiat. Apabila diperintah kepada maksiat, maka tidak (wajib) mendengar dan taat” [HR Muslim].
 
            Semasa menulis penulisan ini, saya mendapat tahu bahawa satu lagi tuduhan palsu telah difailkan terhadap saya iaitu tuduhan sebagai pengganas. Saya tidak pasti berapa banyak lagi tuduhan palsu yang akan dikenakan ke atas saya hanya kerana saya bercakap benar dan (saya tidak pasti berapa banyak lagi tuduhan palsu yang akan dikenakan ke atas saya) tatkala penulisan ini sampai ke pihak media.
 
 
Pejabat Media Hizbut Tahrir Wilayah Pakistan
 
26/12/2013