Kenyataan rasmi Hizbut Tahrir Malaysia mengenai fatwa Jabatan Mufti Selangor
Berhubung dengan fatwa ke atas Hizbut Tahrir yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bertarikh 17 September 2015 dan telah disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan sejak semalam dan hari ini, kami dengan ini menegaskan:
1. Fatwa tersebut sarat dengan fitnah dan kekeliruan yang dilontarkan oleh Jabatan Mufti Selangor ke atas Hizbut Tahrir;
2. Kami sebelum ini pada 3 September 2015 telah pun mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Mufti Selangor untuk meminta penjelasan tentang fitnah yang mereka dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) lontarkan ke atas kami. Namun demikian, baik Jabatan Mufti mahupun JAIS gagal membuktikan satu pun daripada dakwaan (fatwa) tersebut dan lebih malang, perjumpaan ditutup tanpa memberi ruang yang adil kepada kami dengan Jabatan Mufti terus membuat kesimpulan sendiri bahawa semua dakwaan (fatwa) mereka adalah benar;
3. Fatwa tersebut jelas mengandungi unsur-unsur untuk menghalang dan menghentikan dakwah yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir dalam usaha Hizbut Tahrir untuk menegakkan hukum Allah secara kaffah dengan jalan menegakkan kembali Negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah di muka bumi ini;
4. Jabatan Mufti yang merupakan salah satu institusi agama yang sepatutnya dihormati di negara ini, seharusnya bersikap adil, tepat, benar dan profesional dalam mengeluarkan sesuatu fatwa, dan bukannya mengeluarkan fitnah seumpama ini, apatah lagi ke atas sebuah gerakan Islam yang berjuang untuk mengembalikan semula kehidupan Islam seperti Hizbut Tahrir;
5. Kami menggesa agar Jabatan Mufti menarik balik fatwa (fitnah) tersebut dan memohon maaf secara terbuka serta menasihati mereka agar bertaubat dari kesalahan fitnah yang mereka lakukan;
6. Kami bersedia untuk berbincang, bermuzakarah atau berdebat dengan Jabatan Mufti di atas isu ini, baik secara tertutup mahupun terbuka, dengan syarat perbincangan, muzakarah atau perdebatan dilakukan dengan adil dan saksama dan mengikut lunas-lunas Islam.
Sehubungan dengan fatwa ini, Hizbut Tahrir Malaysia akan mengadakan satu Sidang Media Khas pada hari Jumaat 4 Disember 2015 jam 3 petang di Khilafah Centre, No. 47-1, Jalan 7/7A, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor. Semua media dijemput hadir.
ABDUL HAKIM OTHMAN
Jurucakap
Hizbut Tahrir Malaysia
03/12/2015