Kepentingan Geostrategik Terusan Suez

Halangan terhadap Terusan Suez oleh kapal kontena pada hari Selasa 23 Mac telah menyebabkan kesesakan lalu lintas laluan maritim melibatkan lebih daripada 200 kapal kontena. Kapal kontena mega ‘Ever Given’ yang terkandas ketika melalui terusan sempit itu telah memaksa kapal-kapal lain melakukan perjalanan alternatif yang mengambil masa lebih lama melalui Tanjung Harapan di Afrika.

Pihak berkuasa Mesir mengatakan mereka berharap dapat mengapungkan semula kapal ini dalam masa beberapa hari, tetapi harga minyak telah meningkat (disebabkan halangan ini, di mana kapal-kapal yang membawa bahan api tidak dapat sampai ke destinasinya pada waktu yang dijadualkan). Lloyd’s List (firma perkhidmatan analisis data maritim) menganggarkan kerugian harian melebihi USD 9 bilion akibat aktiviti kargo yang tergendala. Setelah terkandas selama beberapa hari, akhirnya kapal tersebut berjaya dialihkan pada Isnin, 29 Mac lalu.

Sejarah Kolonialisasi Dunia Islam dan Pembinaan Terusan Suez

Krisis Terusan Suez abad ke-21 ini memberi peringatan akan kelemahan yang mengancam rantaian bekalan global dan juga kepentingan pusat tumpuan laluan maritim. Idea untuk mencari jalan yang lebih dekat dari timur ke barat melalui Laut Merah adalah sesuatu yang sudah wujud sejak zaman sejarah kuno, walau bagaimanapun teknologi dan sumber daya yang diperlukan sentiasa menjadi cabaran besar yang tidak dapat dielakkan.

Selaras dengan kebangkitan Barat dan perjalanan maritim kolonial mereka di seluruh dunia, idea ini menjadi semakin penting kerana kapal-kapal mereka terpaksa menempuh perjalanan panjang di persisiran Barat Afrika untuk melakukan perjalanan dari Timur Jauh dan India ke Mediterranean. Menjelang abad ke-19 Britain menguasai laluan laut di sebahagian besar dunia dan terutamanya laluan yang menghubungkan Kepulauan Britain dengan India, melalui Tanduk Afrika.

Pada tahun 1854, konsul Perancis ke Kaherah, Ferdinand de Lesseps, memperolehi konsesi daripada Khedive Mesir dan Sudan, untuk menubuhkan syarikat bagi membina terusan sepanjang 100 batu di Segenting Suez untuk laluan kapal. Konsesi tersebut merangkumi Syarikat Terusan Suez yang mengendalikan operasi terusan tersebut selama 99 tahun setelah selesai kerja-kerja pembinaan terusan berkenaan.

Pembinaan Terusan Suez ini bermula pada tahun 1859 dan dijangka (pada waktu itu) memakan masa enam tahun. Walaubagaimanapun ia akhirnya mengambil masa sepuluh tahun untuk siap. Kerja-kerja penggalian dimulakan dengan penggalian yang dilakukan dengan tangan dan cangkul, kesemuanya melalui buruh paksa. Lebih daripada 30,000 orang melakukan kerja-kerja terusan ini dalam satu-satu masa, dan dipercayai sekitar 120,000 orang terkorban disebabkan kerja-kerja membina terusan dan wabak kolera yang menular pada waktu itu.

Ketika terusan itu dibuka pada tahun 1869, ia lantas memberi kesan besar pada perdagangan global disebabkan kapal melalui jarak perjalanan yang lebih pendek dari Laut Hindi ke Mediterranean tanpa perlu mengelilingi benua Afrika. Penambahbaikan lebih lanjut dibuat terhadap terusan ini terutamanya untuk mendalamkan kawasan-kawasan yang cetek.

British mengambil alih Mesir pada tahun 1888 akibat hutangnya, manakala pemegang saham Perancis dan Britain yang memiliki syarikat konsesi terus mengoperasikan terusan tersebut. Keadaan ini berlanjutan sehingga Presiden Mesir ketika itu, Jamal Abdul Nasser menasionalisasikan terusan ini pada tahun 1956. Pada tahun yang sama British dan Perancis bersama-sama dengan Israel menyerang Mesir dalam Perang Suez 1956 serta menawannya, Walau bagaimanapun campur tangan Kesatuan Soviet dan AS memaksa negara-negara itu berundur dan sejak dari itu, Terusan Suez ini dikendalikan oleh Lembaga Terusan Suez (SCA) Mesir.

Kepentingan Geopolitik Terusan Suez

Setelah mengalami beberapa kali pembesaran, kini Terusan Suez mempunyai panjang sejauh 120 batu dan kedalaman 24 meter. Walau bagaimanapun, ia dikategorikan sebagai terusan yang sangat sempit dan hampir sepanjang persisiran laluannya mempunyai lebar hanya 300 meter. Kesempitan ini mengakibatkan banyak kapal hanya berada sekitar 150 meter dari kedua-dua tebing. Oleh itu, lalu lintas di terusan ini hanya dapat bergerak dalam satu arah pada bahagian terusan yang besar. Lalu lintas kapal dikawal melalui tiga konvoi yang dijadualkan setiap hari (dua arah selatan dan satu arah utara) pada waktu yang ditetapkan.

Biasanya, kapal memerlukan masa 12 hingga 16 jam untuk transit di terusan. Tetapi laluan yang sempit pada terusan ini telah mewujudkan risiko keselamatan dengan kejadian serangan terhadap sejumlah kapal yang melaluinya. Mesir telah menghadapi pemberontakan di Sinai selama lebih dari satu dekad dan laluan terusan ini yang sempit di kebanyakan tempat menjadikan kapal-kapal yang melaluinya sebagai sasaran yang mudah.

SCA melaporkan bahawa 19,000 buah kapal dengan purata 52 kapal sehari – telah berlayar melalui perairannya pada tahun 2020. Lebih dari 900 juta tan kargo melalui terusan ini pada ketika ini, jumlah yang sekali ganda dari satu dekad yang lalu. Barangan yang melalui terusan ini termasuk barangan pengguna, kargo pukal kering seperti bijirin dan mineral serta produk minyak.

Apa yang menjadikan Terusan Suez sebagai pusat tumpuan laluan maritim terpenting adalah tujuan kewujudannya iaitu menjadikan jarak perjalanan lebih dekat dan lebih cepat dari timur ke barat tanpa perlu mengelilingi benua Afrika. Inilah yang menjadikannya pusat tumpuan laluan maritim utama lebih dari satu abad sejak ia dibina.

Terusan Suez juga merupakan pusat tumpuan laluan maritim yang kedua terpenting bagi industri bekalan tenaga minyak dan gas asli cecair menuju ke Eropah dan Amerika Utara setelah Selat Hormuz. Aliran kargo yang bergerak pantas ini bermaksud halangan sementara yang terjadi pada terusan ini juga memberi kesan kepada perdagangan global.

Terusan Suez mengendalikan 10% perdagangan global, dengan kadar 30% dari trafik kontena global harian. Prof Rocky Weitz, pengarah Program Pengajian Maritim Fletcher di The Fletcher School di Tufts University menjelaskan: “Laluan Cape of Good Hope (Afrika Selatan) akan menambahkan kira-kira 3,000 batu nautika dari laluan Terusan Suez iaitu mengikuti laluan Lautan Hindi ke Atlantik Utara, bergantung pada laluan spesifik yang diambil oleh kapal komersial”.

Ini melibatkan perjalanan hampir 8-10 hari. Implikasi terhadap kosnya juga adalah besar. Sebuah kapal tangki minyak akan menambahkan masa sehingga 300 jam dalam perjalanan, manakala kapal kontena yang lebih laju sekalipun akan menambah masa sehingga 150 jam. Kos tambahan untuk belayar melalui Cape of Good Hope juga adalah besar. Anoop Singh, ketua analisis kapal tangki yang berpusat di Singapura di Braemar ACM, menekankan perjalanan tersebut akan menambahkan sebanyak USD 450,000 daripada kos untuk laluan biasa.

Sehingga kaedah pengangkutan kapal kargo baru untuk perdagangan global ditemui, perdagangan global akan bergantung pada perkapalan, dan kapal bergantung pada laluan maritim untuk melakukan perjalanan dari satu lokasi dunia ke lokasi yang lain. Kedudukan geografi ini akan terus menjadikan Terusan Suez sebagai pusat tumpuan maritim global yang penting.

Malangnya, kepentingan Terusan Suez ini dari sudut geopolitik gagal digarap oleh Mesir dan negara-negara kaum Muslimin demi menjamin kedaulatan dan kesejahteraan umat Islam. Dunia Islam bukan sahaja kaya dengan hasil mahsul dan bilangan populasi yang besar, bahkan turut menguasai laluan-laluan strategik di laut mahupun di darat. Selain Terusan Suez, laluan-laluan strategik di Laut Merah, Laut Hindi, Selat Hormuz, Selat Melaka, dan Laut China Selatan juga berada berhampiran dengan negara-negara Muslimin.

Semua ini berpunca daripada perpecahan yang diwarisi daripada sejarah kelam kolonialisme dan disandarkan dengan sentimen negara bangsa. Keadaan ini menjadikan umat Islam lemah dan sering menjadi mangsa dalam percaturan geopolitik antarabangsa. Tanpa keazaman dan kepimpinan yang ikhlas bagi menyatukannya, umat Islam akan berterusan diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa kuffar tanpa sebarang pembelaan.