Kepincangan Solusi Kapitalis Tangani Implikasi COVID-19 Terhadap Ekonomi Negara

Penularan wabak Covid-19 yang telah menjadi pandemik pastinya memberikan kesan bukan sahaja kepada kesihatan umat manusia, bahkan turut menggugat ekonomi dunia termasuklah di negara ini. Dalam usaha yang dijalankan bagi memutuskan rantaian jangkitan, antara langkah yang terpaksa diambil adalah dengan mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan (PKP). Langkah ini diharapkan mampu “meratakan lekuk epidemiologi” bagi memberikan ruang kepada sektor penjagaan kesihatan untuk mencapai kapasiti yang mencukupi bagi menghadapi wabak ini.

Namun, dalam masa yang sama langkah tersebut turut menjejaskan sebilangan pihak terutamanya mereka yang tidak mempunyai pendapatan bulanan tetap, atau para peniaga kecil dan penjaja yang terpaksa menghentikan operasi mereka di sepanjang tempoh PKP. Justeru, penularan wabak ini bukan sahaja boleh menggugat ekonomi pada skala makro, bahkan turut membebankan orang kebanyakan yang sememangnya sudah terhimpit dek peningkatan kos sara hidup dan penurunan kuasa membeli.

Sesungguhnya respon kerajaan terhadap wabak Covid-19 sewajarnya dibuat dengan meletakkan nilai kemanusiaan terlebih dahulu tanpa menjadikan pertimbangan ekonomi semata-mata sehingga boleh menggugat keselamatan dan kesihatan rakyat. Namun, tidak dinafikan bahawa faktor ekonomi juga perlu diberikan perhatian oleh negara.

Hal ini kerana, ketidakstabilan ekonomi boleh mencetuskan krisis kesihatan dan sosial yang akhirnya akan menimbulkan masalah yang lebih parah. Kemerosotan ekonomi juga boleh menyebabkan negara kekurangan dana untuk menampung kos perkhidmatan kesihatan, termasuklah proses pemulihan sumber-sumber dalam sektor kesihatan sewaktu pasca krisis Covid-19 kelak.

Pastinya keadaan ini mendatangkan cabaran getir kepada kerajaan memandangkan krisis Covid-19 ini tercetus dengan berlatarbelakangkan suasana ketidaktentuan ekonomi global ekoran perang perdagangan AS-China sebelum ini, serta kejatuhan harga minyak akibat perang minyak antara Arab Saudi dan Rusia. Minyak merupakan salah satu sumber pendapatan utama negara, dan kejatuhan harga ini pastinya menggugat kestabilan ekonomi Malaysia.

Di samping itu, pandemik Covid-19 juga memberikan kesan langsung terhadap perkembangan ekonomi negara. Ia antara lain menyebabkan perdagangan dengan China selaku salah satu rakan dagang utama Malaysia terganggu. Di samping itu, penularan wabak ini juga menggugat sektor pelancongan yang turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara, sehingga menyebabkan kerajaan membatalkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 pada 18 Mac lalu.

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020

Sepertimana kebanyakan negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis, antara langkah penyelesaian yang diambil adalah dengan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bagi menghadapi kesan buruk Covid-19 kepada ekonomi negara.

Pada 27 Februari lalu, Perdana Menteri interim pada waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamed telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi (PRE) sebagai langkah untuk menghadapi wabak Covid-19 serta menangani implikasinya terhadap rakyat di negara ini. Tiga strategi utama yang dilaksanakan dalam PRE tersebut merupakan:

  1. Strategi I: Menangani impak Covid-19;
  2. Strategi II: Memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat; dan
  3. Strategi III: Menggalakkan pelaburan berkualiti

Secara umumnya, strategi-strategi yang dirancang dalam PRE 2020 ini merangkumi dua pendekatan utama iaitu melalui polisi kewangan dan polisi fiskal. Setelah berlakunya peralihan tampuk pemerintahan yang menyaksikan kerajaan diterajui oleh Perikatan Nasional, Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya mengumumkan empat langkah tambahan bagi memperkukuhkan PRE tersebut pada 16 Mac lalu. Namun, secara keseluruhannya strategi yang menjadi asas kepada PRE tetap tidak berubah.

Polisi Kewangan (Monetary Policy)

Melalui polisi kewangan, fokus utama yang diberikan adalah untuk menggalakkan pinjaman wang dibuat oleh industri dan orang ramai. Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM 3.5 bilion sebagai dana pinjaman merujuk terutamanya kepada dana yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk pinjaman mudah.  Di samping itu, beban kewangan peminjam juga cuba diringankan melalui langkah penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman perniagaan.

Terdahulu, BNM telahpun mengumumkan penurunan Kadar Asas Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, kadar terendah dalam tempoh sepuluh tahun. Langkah tersebut bertujuan untuk mengerakkan ekonomi yang sedang dilanda kelembapan, dengan cara menggalakkan orang ramai untuk berbelanja dengan cara berhutang. Kaedah ini akan membolehkan duit dapat dicetak dan diputarkan dalam ekonomi agar ekonomi kembali aktif.

Galakan berhutang yang disertakan riba ini merupakan antara pendorong yang menjana industri perbankan yang menjadi tunjang dalam sistem ekonomi kapitalis. Namun langkah tersebut boleh mendatangkan malapetaka kerana ia menghasilkan gelembung ekonomi yang apabila sampai masanya, pasti akan meletup. Pada waktu itu, ia pasti akan mencetuskan krisis ekonomi yang parah.

Pada skala yang lebih besar, badan kewangan dunia seperti IMF turut mengambil peluang untuk mengetengahkan solusi pinjaman ribawi kepada negara-negara dunia dalam menghadapi wabak Covid-19 serta implikasi buruk ekonomi akibat penularannya. Pinjaman daripada luar pula menyebabkan negara terpaksa memperuntukkan sebahagian pendapatan negara untuk membayar hutang pada masa akan datang, dan ini diburukkan lagi dengan adanya riba.

Kesannya negara terpaksa mengambil langkah mengurangkan peruntukan kepada sektor-sektor tertentu bagi membayar hutang tersebut. Langkah tersebut berpotensi menjejaskan kualiti perkhidmatan dan juga kebolehcapaian rakyat kepadanya. Lebih membimbangkan sekiranya sektor seperti kesihatan dan pendidikan turut terkesan dengan pengurangan peruntukan ini. Meskipun buat masa ini, kerajaan belum lagi memutuskan untuk membuat pinjaman luar, namun kemungkinannya tetap ada seandainya negara sudah kekurangan dana.

Langkah tersebut bukanlah suatu yang bersifat lestari, bahkan bakal membinasakan kerana ia merupakan penyelesaian singkat bersifat ‘survival’ yang boleh memberikan kesan buruk di kemudian hari.

Polisi Fiskal (Fiscal Policy)

Sementara itu, strategi-strategi yang terangkum di bawah polisi fiskal pula termasuklah langkah-langkah pengecualian atau potongan cukai, dan perbelanjaan dalam pembangunan infrastruktur.

Secara teorinya, pemberian insentif cukai (sama ada dalam bentuk potongan mahupun pengecualian cukai-cukai tertentu) membolehkan pemain industri mempunyai lebihan dana untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui perbelanjaan atau pelaburan, sekali gus meningkatkan lagi permintaan dalam industri.

Bagi memenuhi permintaan yang meningkat ini, secara tidak langsung diharapkan supaya peluang pekerjaan turut bertambah. Di samping itu, persaingan bagi mendapatkan tenaga kerja turut berlaku dan kemudiannya mendorong kepada kenaikan kadar gaji pekerja. Namun, realitinya tidak selalunya terjadi sedemikian rupa. Golongan pemodal tidak semestinya cenderung untuk mengambil lebih banyak pekerja meskipun mempunyai lebihan dana, terutamanya tatkala berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi.

Selain itu, terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhi peluang pekerjaan. Antaranya termasuklah keserasian antara ‘bekalan’ (supply) di pihak universiti / institusi pengajian dengan ‘permintaan’ (demand) di pihak industri dalam menentukan kebolehpasaran graduan.

Sementara itu, perbelanjaan kerajaan dalam projek-projek pembangunan infrastruktur berskala kecil turut dirancang untuk dilaksanakan. Projek-projek berskala kecil yang mencecah jumlah sebanyak RM2 bilion tersebut akan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur luar bandar dan akan dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor Bumiputera kecil.

Sungguhpun demikian, kerajaan tidak pula meletakkan keutamaan dalam pembangunan infrastuktur kesihatan yang sewajarnya perlu diberikan perhatian dalam menghadapi wabak Covid-19 yang sedang melanda. Dalam inisiatif tambahan yang diumumkan oleh Muhyiddin pada 23 Mac, peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta telah disediakan bagi mengambil 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, manakala RM500 juga lagi untuk membeli peralatan bantuan pernafasan (ventilator), peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) dan keperluan makmal untuk saringan Covid-19.

Namun, sejauh manakah infrastruktur kesihatan yang ada pada masa kini mempunyai kapasiti untuk menampung pertambahan tenaga kerja dan peralatan tersebut? Bagaimana pula keperluan khusus dari segi infrastruktur bagi merawat pesakit Covid-19 seperti bilik isolasi dan pembesaran kapasiti unit rawatan rapi?

Setakat pengetahuan penulis, sewaktu penulisan artikel ini, belum ada lagi pengumuman dibuat bagi membangunkan dan membaiki infrastruktur kesihatan bagi meningkatkan kapasiti sektor tersebut dalam menghadapi peningkatan kes Covid-19 di negara ini. Mungkin sahaja perkara ini sudah dirancang atau sedang dalam pelaksanaan. Namun, sekiranya tidak, maka sewajarnya perkara ini diberikan lebih perhatian oleh kerajaan berbanding pembangunan dan pembaikan infrastruktur lain yang kurang penting buat masa ini.

Bantuan Langsung Kepada Rakyat

Dalam PRE yang diumumkan Mahathir, beberapa langkah telah diambil bagi menyalurkan wang tunai dalam bentuk bantuan mahupun elaun kepada rakyat, pekerja sektor pelancongan, dan penjawat awam yang terlibat secara langsung dalam menangani Covid-19. Bantuan Sara Hidup (BSH) telah diawalkan di samping tambahan bayaran tunai sebanyak RM100 secara one-off.

Selain itu, kerajaan juga telah mengumumkan pengurangan kadar caruman pekerja KWSP bagi meningkatkan jumlah simpanan wang yang berada di tangan pencarum.

Beberapa hari setelah PKP dikuatkuasakan, Muhyiddin kemudiannya mengumumkan inisiatif-inisiatif tambahan pada 23 Mac bagi meringankan beban rakyat dan membantu usaha menangani wabak Covid-19. Inisiatif-inisiatif tersebut menerima kritikan daripada pihak-pihak tertentu yang melihatnya sebagai tidak menyeluruh.

Terdapat pihak yang mempertikaikan sebarang pihak yang mempersoalkan langkah-langkah yang diambil kerajaan, dan menyuruh rakyat supaya bersyukur dengan “pemberian” kerajaan ini. Namun, mereka gagal memahami bahawa sememangnya sudah menjadi tanggungjawab negara untuk memastikan kebajikan warganya terjamin. Bahkan sepatutnya rakyat berhak untuk menerima lebih lagi bantuan dan santunan daripada negara. Malangnya, dalam sistem ekonomi kapitalis, negara seakan-akan berkira dan ‘kedekut’ untuk melaksanakan kewajipannya dalam mengurus rakyat dan memastikan hak-hak mereka tidak dinafikan. Lebih menyedihkan lagi apabila negara seolah-olah ‘berniaga’ dengan rakyat pula.

Bagaimana sepatutnya negara menguruskan rakyat? Nantikan penulisan akan datang yang bakal mengupas mengenai pandangan syarak berhubung tanggungjawab negara dalam mengurus kebajikan rakyat serta mekanisme sistem Islam mengelola dana menghadapi wabak dan bencana. Insya Allah.

 

Dr. Muhammad Fauzi

 

Rujukan:

  1. Booklet Pakej Rangsangan Ekonomi 2020. Dimuat turun pada 23/3/2020 dari https://www.treasury.gov.my/index.php/belanjawan/pre2020.html
  2. ‘Empat Langkah Perkukuh Pakej Rangsangan Ekonomi – PM’, BH Online, 16/3/2020. Diakses pada 24/3/2020. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/665883/empat-langkah-perkukuh-pakej-rangsangan-ekonomi-pm
  3. Kenyataan Sidang Media YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia, bertarikh 23 Mac 2020. Diakses pada 23/3/2020