Kerajaan langsung tak berniat nak susahkan kita..

Tiada niat susahkan rakyat

KOTA KINABALU 17 Jun – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tidak sesekali berniat untuk menyusahkan rakyat dengan menaikkan harga petrol dan diesel sehingga menyebabkan kehidupan mereka menjadi lebih sukar dan tertekan.

Perdana Menteri berkata, keputusan menaikkan harga bahan api itu sebenarnya adalah satu tindakan paling sukar terpaksa dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan projek-projek pembangunan rakyat dapat terus dilaksanakan.

”Kenaikan harga minyak tinggi menyebabkan rakyat susah, kita memahami perkara ini, bukan kita nak menyusahkan rakyat. Buat apa kerajaan sengaja nak menyusahkan rakyat.
”Tetapi tentu ada sebab mengapa tindakan ini diambil, yang penting usaha dijalankan untuk meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.

Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif 2008 (ICC2008), di sini hari ini.

Hadir sama pada program anjuran Kumpulan Yayasan Sabah itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, menteri-menteri Kabinet Sabah serta lebih 500 delegasi ketua pegawai eksekutif dari dalam dan luar negara.

Abdullah berkata, kerajaan pada masa ini berusaha sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat kerana memahami kenaikan harga minyak menyebabkan harga barangan keperluan harian termasuk makanan turut meningkat.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh menanggung subsidi petrol dan diesel yang semakin bertambah berikutan kenaikan harga minyak mentah dunia, hanya kerana mahu mempertahankan harga bahan api daripada turut meningkat.

Jelas Perdana Menteri, wang hasil keuntungan jualan minyak tidak boleh dihabiskan semata-mata untuk menanggung subsidi kerana kerajaan turut mempunyai tanggungjawab melaksanakan projek-projek pembangunan.

”Satu pihak kita ada perbelanjaan pembangunan yang kita nak laksanakan, minyak yang kita perolehi bukan 100 peratus nak dibayar bagi tujuan subsidi. Kita perlu juga ada sekian banyak wang untuk pembangunan, itu yang penting.

”Memang kita ada hasil minyak tetapi kena tengok juga hasil minyak itu untuk apa, jika 100 peratus untuk subsidi selepas itu kita tidak ada wang lagi untuk pembangunan, sedangkan pembangunan mesti dijalankan dan kenaikan harga minyak juga perlu diberi perhatian.

”Ini adalah perkara yang perlu difikirkan masak-masak tentang pengagihan subsidi. Kalau semua belanja untuk beri subsidi tentu harga minyak dapat dikurangkan tetapi bagaimana dengan hal lain. Itu kita kena fikir,” katanya.

Perdana Menteri berharap rakyat dapat memahami betapa kerajaan berdepan dengan masalah paling mencabar dengan kenaikan harga minyak dan pada masa sama turut merasai keperitan yang ditanggung oleh rakyat.

Abdullah turut melahirkan rasa bangga apabila ada pihak sudi menulis surat memberikan pandangan dan cadangan mengenai apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan.

Sumber: Utusan Malaysia 18/06/08

Ulasan:

Tiada niat susahkan rakyat??? Betul ke? Betul la agaknya, memang kerajaan tak pernah berniat nak susahkan rakyat, cuma kerajaan berniat nak senangkan kerajaan sahaja!!!

Umat Islam terkadang menilai buruknya politik kerana dipenuhi penipuan, kekotoran kejijikan dan sebagainya, adalah kerana kata-kata yang sebegini yang keluar dari mulut orang politik. Tidak berniat susahkan rakyat konon…, walhal hakikatnya rakyat terus susah dan terus menderita. Siapa yang akan percaya kepada pemimpin sebegini?

Niat ke tak niat ke, ini bukan soalnya. Soalnya sekarang adalah rakyat sedang susah, sedang menderita. Jadi, tugas pemimpin sekarang ialah mengeluarkan rakyat dari kesusahan.

Dalam pada menyatakan kerajaan tidak berniat nak susahkan rakyat, projek-projek mega terus dilancarkan satu per satu. Pemimpin terus hidup mewah, termasuklah kroni yang hidup kaya raya dengan projek yang diberi pemimpin, manakala rakyat terus dihimpit kesusahan. Semasa merasmikan projek mega yang berbilion harganya, pemimpin lalu berkata, saya tidak berniat nak susahkan rakyat, cuma saya perlu agihkan wang negara untuk pembangunan.

Jika rakyat berkata, “kami tidak mahu pembangunan berbilion-bilion sekarang, kami mahu keluar dari kesusahan ini, harga minyak naik melambung, harga barangan dapur tinggi menggunung, kos saraan hidup semakin meningkat, hak kami seperti minyak dan gas dirompak kerajaan, kami mahu kerajaan kembalikan hak kami dan hentikan semua pembaziran”. Persoalannya , apakah kerajaan akan menghentikan semua ini dan mengembalikan hak rakyat? Atas niat tidak mahu menyusahkan rakyat, apakah kerajaan akan mendengar rintihan rakyat? Anda semua tahu jawapannya…

Jadi, kepada para pemimpin – berhentilah berbohong! Allah Maha Mendengar apa yang kalian katakan dan Allah Maha Menyaksikan segala kesengsaraan yang kalian akibatkan kepada rakyat kalian. Allah telah pun menyediakan tempat perbicaraan kalian di padang mahsyar nanti…maka, teruskanlah kezaliman yang kalian lakukan sekarang!!!