Kes Sebar Risalah: Kemenangan berpihak kepada HTM!

KUALA KUBU BHARU, 4 Mei – Mahkamah memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan kedua-dua syabab Hizbut Tahrir Malaysia yang dituduh di bawah Seksyen 8 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Keputusan tersebut dibacakan oleh hakim Mahkamah Kuala Kubu Bharu setelah terdapat keraguan ditimbulkan di pihak pendakwaan.

Kedua-dua tertuduh, Ustaz Darukhutni bin Zainal Abidin dan Sdr Mohamad al-Hafiq bin Mohamad Khairudin telah didakwa di bawah akta tersebut atas pertuduhan mengedar risalah Sautun Nahdah bertajuk “LGBT: Kudis-Kudis Daripada Peradaban Barat” dan juga “5 Tahun Syria Diratah – Apakah Tiada Penyelesaian?” di Masjid Nurul Iman, Serendah pada 20 Mei 2016.

Keputusan tersebut disambut dengan kegembiraan dan kesyukuran oleh kira-kira 20 orang syabab HTM dan ahli keluarga yang turut hadir bagi menyatakan sokongan terhadap kedua-dua pihak tertuduh.

Dalam temubual yang diadakan sejurus tamat perbicaraan, Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman yang turut sama hadir mengikuti sesi perbicaraan ini mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kemenangan yang berpihak kepada HTM ini. Beliau mengharapkan agar dengan kemenangan ini, semangat juang para syabab HTM sudah pastinya akan semakin meningkat.

“Tetapi jika kalah sekalipun, kita tidak akan pernah berundur dan luntur semangat daripada perjuangan” ujar beliau.

Ketika ditanya mengenai kes mahkamah lain yang melibatkan syabab-syabab HTM termasuk beliau sendiri, Ust Hakim menyatakan bahawa kes-kes tersebut adalah cukup kuat di pihak HTM dari sudut perundangan, sekiranya tiada campurtangan politik daripada pihak-pihak yang berkepentingan dalam mempengaruhi keputusan mahkamah.

“Apapun, kita tetap akan melawan kebatilan dengan kebenaran. Kita akan tetap melawan segala fitnah dan cabaran yang dikenakan ke atas Hizbut Tahrir ini. Dan kita akan menzahirkan kebenaran itu di mahkamah” tegas beliau.

Ust Hakim serta tiga orang pimpinan pusat HTM turut berhadapan dengan kes perbicaraan di Mahkamah Syariah Hulu Langat. Ust Hakim dituduh di bawah Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atas kesalahan menghina kuasa yang sah atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Mufti, dengan mengadakan sidang media di pejabat HTM di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor. Manakala tiga orang pimpinan pusat HTM didakwa bersubahat mengikut Seksyen 46 (b) Enakmen yang sama.