Kesan Krisis Pandemik Terhadap Rumahtangga: Penceraian Era Pandemik

Perkahwinan merupakan instrument primer kepada pembinaan sesebuah keluarga dan merupakan sunnah yang amat dianjurkan dalam Islam. Sepertimana dalam hadis Rasulullah s.a.w:

عَائِشَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُوْلُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “النِّكَاحُ مِنْ سُنَّتِيْ فَمَنْ لَمْ يَعْمَلْ بِسُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي وَتَزَوَّجُوا فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمْ الْأُمَمَ وَمَنْ كَانَ ذَا طَوْلٍ فَلْيَنْكِحْ وَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَعَلَيْهِ بِالصِّيَامِ فَإِنَّ الصَّوْمَ لَهُ وِجَاءٌ” رواه ابن ماجه

Dari Aisyah r.a., ia berkata, Rasulullah saw. bersabda, “Menikah itu termasuk dari sunnahku, siapa yang tidak mengamalkan sunnahku, maka ia tidak mengikuti jalanku. Menikahlah, kerana sungguh aku membanggakan kalian atas umat-umat yang lainnya, siapa yang mempunyai kekayaan, maka menikahlah, dan siapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa, kerana sungguh puasa itu perisai baginya.” [HR Ibnu Majah]

Tatkala dunia dilanda pandemik Covid-19, banyak institusi rumahtangga yang terkesan, retak dan akhirnya mengalami keruntuhan berbanding sebelum era pandemik melanda.  Pendedahan mengejutkan telah dilakukan oleh Dewan Rakyat pada 12 Oktober 2021, dimana lima permohonan cerai diterima daripada pasangan Islam dalam tempoh satu jam setiap hari. Seperti yang dilaporkan oleh akhbar Kosmo, ledakan ini berlaku 12 peratus lebih tinggi berbanding sewaktu di luar masa pandemik. Melihat kepada angka tersebut, sudah pasti ada sesuatu yang boleh dirungkaikan mengapa fenomena penceraian ini meningkat dengan agak ketara sewaktu era pandemik melanda.

Merujuk kepada statistik yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula, antara punca utama menyumbang kepada penceraian sewaktu pandemik ini adalah faktor kewangan. Penutupan operasi sebahagian perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan kepada kehilangan pekerjaan dan menyebabkan ramai yang hilang punca pendapatan. Natijahnya, kadar pengangguran semakin meningkat. Malah ia merupakan satu isu serius yang boleh mengundang kepada masalah sosial lainnya. Akibat PKP yang dikuatkuasakan, ramai yang tertekan akibat masalah kewangan dan desakan ekonomi yang semakin menghimpit dan akhirnya mengalami tekanan hidup hingga berlaku pertelingkahan antara suami isteri sehingga ada yang bertindak mencederakan pasangan atau ahli keluarga. Tekanan yang dihadapi dalam institusi keluarga menjadi lebih parah dengan ekonomi acuan kapitalis yang diamalkan pada hari ini. Sistem kapitalisme yang ditunjangi oleh perbankan yang berkembang subur melalui ‘industri’ hutang yang berasaskan riba menjadikan rakyat makin terbeban. Ramai yang ‘terjebak’ dengan pinjaman ini, terutamanya untuk mendapatkan rumah dan kereta, namun apabila kehilangan punca pendapatan, akhirnya mereka sukar untuk melakukan pembayaran hutang tersebut. Hutang berasaskan riba ini bukan sekadar perlu membayar hutang pokok, bahkan dipaksa membayar riba yang berlipat kali ganda. Bukan sedikit peminjam yang menjadi muflis kerana gagal melangsaikan hutang yang beranak-pinak akibat adanya riba. Sedangkan Islam dengan jelas telah mengharamkan riba.

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” (TMQ Al Baqarah [2]: 275)

Faktor lain yang turut menyumbang kepada peningkatan runtuhnya institusi kekeluargaan di era pandemik ialah kurangnya penghayatan agama Islam dalam kalangan umat islam itu sendiri. Realiti saat ini ialah rakyat tidak diatur dengan sistem Islam, malah diterapkan sistem kufur oleh Barat yang jelas bertentangan dengan Islam. Inilah buah daripada pokok kapitalisme dan sekularisme yang diamalkan oleh pemerintah hari ini. Hasilnya kita dapat lihat kerosakan umat Islam pada hari ini, dimana umat Islam bukan sahaja tidak mengamalkan Islam secara kaffah (keseluruhan), malah tiang agama iaitu solat pun diabaikan. Jadi tidaklah menghairankan sekiranya solat lima waktu sehari semalam tidak dilaksanakan, sudah tentu dapat kita bayangkan bahawa mereka juga akan sukar melaksanakan peranan dan tanggungjwab sebagai suami isteri seperti yang dituntut dalam Islam.

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ   ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ   ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِى الْأَمْرِ   ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ   ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampun untuk mereka, dan bermusyawaralah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal.” (TMQ Ali Imran [3]: 159)

Teknologi dan media massa yang pesat berkembang turut dikenalpasti antara punca kepada kenaikan penceraian. Leka menonton TV atau bermain dengan telefon bimbit sehingga ramai yang mengabaikan peranan sebagai suami isteri. Pada zaman canggih ini, teknologi yang disalahgunakan akan mendorong kepada perbuatan curang yang mana perkenalan biasa antara lelaki dan wanita menerusi aplikasi media sosial boleh membawa kepada perhubungan mesra sehingga melupakan batas pergaulan. Sedangkan didalam Islam diatur dengan baik pergaulan antara lelaki dan perempuan bagi mengelakkan berlakunya fitnah dan kerosakan yang lebih besar di kemudian hari, sepertimana dalam firman Allah,

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا۟ مِنْ أَبْصَٰرِهِمْ وَيَحْفَظُوا۟ فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ

 “Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, ‘Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan’. Katakanlah kepada wanita yang beriman; ‘Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya’.” (TMQ An-Nur [24]: 30)

Walaupun penceraian dibolehkan dalam Islam, namun ia merupakan perkara halal paling dibenci oleh Allah. Impak daripada penceraian banyak memberi kesan buruk terutamanya kepada mental anak-anak. Pelbagai masalah yang melanda umat Islam sekarang tidak pernah surut selagi mana sistem yang diterapkan pada hari ini masih berlandaskan sistem kufur yang jelas rosak dan merosakkan. Kapitalisme telah terbukti gagal dan akan terus gagal untuk melahirkan institusi keluarga yang baik dan utuh. Satu-satunya sinar harapan bagi umat Islam ialah dengan adanya negara Khilafah yang akan menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah, yang mana manusia akan pasti hidup dalam kesejahteraan dan rahmat, insya Allah.

Nurul Hazirah

(Aktivis Muslimah HTM)

 

Rujukan

  1. https://www.buzzkini.com/news/2021/09/17/76000-pasangan-bercerai-sejak-pandemik-covid-19-landa-negara/
  2. https://www.hmetro.com.my/utama/2021/10/765364/lima-pasangan-islam-mohon-cerai-dalam-satu-jam-metrotv
  3. https://www.hmetro.com.my/utama/2021/10/765364/lima-pasangan-islam-mohon-cerai-dalam-satu-jam-metrotv
  4. https://www.malaysiakini.com/news/599413