Kesejahteraan Politik Daulah Khilafah

Politik atau siyasah adalah sebahagian daripada Deen al-Islam yang syumul, dan sistem politik Islam atau Siyasah Syariah yang berasaskan kepada hukum Allah adalah berbeza sama sekali dengan sistem politik masa kini yang berasaskan kepada fahaman sekular demokrasi. Bermula dari Madinah setelah tegaknya Daulah Islam, sehinggalah ke 28 Rajab 1342H (runtuhnya Khilafah), politik Islam yang diamalkan dalam negara telah memberikan kesejahteraan menyeluruh kepada seluruh warganegara. Kesejahteraan tersebut wujud kerana Rasulullah (saw) dan para Khalifah setelah baginda, berpolitik dengan memerintah dan menguruskan kemaslahatan umat Islam mengikut ketentuan syarak.

Maksud siyasah Ialah mengurusi urusan umat Islam, baik dalam mahu pun luar negeri, dengan Islam. Setiap Muslim, apatah lagi pemerintah, wajib mengambil tahu urusan umat Islam. Rasulullah (saw) bersabda:

“Barang siapa yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya sahaja, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa bangun di pagi hari dan tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka (kaum Muslimin)” HR Thabrani].

Oleh yang demikian, politik sebenarnya mencakupi segala aspek baik pemerintahan, ekonomi, pendidikan, sosial kemasyarakatan, luar negeri dan lain-lain. Selama mana aspek-aspek tersebut perlu diuruskan, maka ia termasuk dalam urusan politik.

Pemerintahan dalam Islam adalah bertujuan untuk menegakkan hukum Allah dan melaksanakan amanah-Nya sekali gus membawa rahmat ke seluruh alam. Firman Allah (swt):

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam” [Al-Anbiya’ (21): 107].

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

“Mereka yang Kami berikan kekuasaan di muka bumi, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada mungkar dan kepada Allah-lah kembali segala urusan” [Al-Haj (22): 41].

Dengan demikian, politik Islam bertujuan memperolehi kemaslahatan kepada umat Islam dan menghilangkan kemudaratan daripada mereka. Inilah yang disebut sebagai Maqasid asy-Syariah bagi menjaga keturunan, akal, kehormatan, jiwa, harta, agama, keamanan dan negara. Syariat Islam tidak akan dapat dilaksanakan atau ditegakkan dalam kehidupan melainkan dengan kuasa politik pemerintahan, terutamanya perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang dan sistem hidup dalam seluruh aspek kehidupan. Pemerintahan Islam iaitu Khilafah sebagai kepimpinan umum bagi seluruh kaum Muslimin akan melaksanakan seluruh hukum-hakam Islam yang sekali gus akan menyebabkan tercapainya Maqasid Syariah yang akan menatijahkan kesejahteraan hakiki buat umat Islam.

Siapa pun yang mencari kesejahteraan hakiki dalam pemerintahan pada hari ini tidak akan dapat menemuinya umpama seorang kehilangan emas di bilik tidurnya, tetapi ia mencarinya di hutan belantara.

Sejarah mencatatkan betapa kesejahteraan hakiki telah diraih oleh umat Islam tatkala urusan negara diatur oleh syariah. Semasa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khaththab selama 10 tahun, kesejahteraan dapat dirasakan di segenap penjuru Daulah Islam. Abu Ubaid dalam kitabnya Al-Amwal menjelaskan bahawa dalam tiga tahun pertama pemerintahan Khalifah Umar, di wilayah Yaman sahaja, setiap tahun Muadz bin Jabal mengirimkan separuh bahkan kadang-kadang seluruh hasil zakat yang beliau pungut kepada Khalifah Umar. Harta zakat itu tidak dibahagikan kepada kalangan fakir-miskin. Ini kerana kata Muadz, “Aku tidak menjumpai seorang (miskin) pun yang berhak menerima bahagian zakat.” Khalifah Umar juga pernah memberikan harta bantuan dari Baitul Mal kepada para petani di Iraq agar mereka dapat mengusahakan tanah pertanian mereka.

Kesejahteraan dan kestabilan politik juga banyak dikecapi di sepanjang pemerintahan Daulah Khilafah. Dunia Islam pernah mendapat tempat istimewa daripada kawan mahu pun lawan kerana kehebatan yang dimilikinya. Pernah suatu ketika Raja Sepanyol, Ardoun Alfonso pada tahun 351H mengunjungi Khalifah Al-Mustansir. Takjub dengan keadaan peradaban Islam pada waktu itu, ketika menghadap Khalifah, Alfonso merebahkan diri bersujud sesaat kemudian berdiri tegak, lalu maju beberapa langkah dan kembali bersujud. Dia melakukannya berulang-ulang kali sehingga dia berdiri tegak di hadapan Khalifah, kemudian membongkokkan lagi untuk mencium tangan khalifah.

Begitu juga orientalis dan sejarawan Kristian, T.W. Arnold dalam bukunya, The Preaching of Islam: A History of Propagation of The Muslim Faith, banyak menuliskan fakta-fakta kesejahteraan kehidupan dalam Daulah Khilafah. Antaranya adalah  “layanan terhadap warga Kristian oleh pemerintahan Khilafah Uthmaniah selama lebih kurang dua abad setelah penaklukan Greece telah memberikan contoh toleransi keyakinan yang sebelumnya tidak pernah dikenali di benua Eropah.”

Penulis Karen Amstrong juga mengatakan bahawa kaum Yahudi menikmati zaman keemasan di Andalusia dengan mengatakan “Under Islam, the Jews had enjoyed a golden age in al-Andalus” (Di bawah Islam, kaum Yahudi telah menikmati era keemasan di Andalusia). Ini membuktikan bahawa Khilafah tidak pernah mendiskriminasi warganya, dan memberikan hak mereka sesuai dengan kehendak syariah.

Betapa stabilnya keadaan politik sehingga infrastruktur dalam negara Khilafah dapat dimajukan dan mempunyai keagungan yang luar biasa berbanding peradaban lainnya di zamannya. Pada masa pemerintahan Bani Umaiyyah, Cordoba menjadi ibukota Andalusia yang mempunyai penduduk lebih 1 juta orang. Kota ini dikelilingi  dengan taman-taman awam yang hijau. Pada malam harinya diterangi dengan lampu-lampu sehingga pejalan kaki memperolehi cahaya sepanjang sepuluh batu tanpa terputus. Lorong-lorongnya dialaskan dengan jubin, dan sampah-sampah diasingkan dari jalan-jalan.

Dalam bidang pendidikan, Daulah Khilafah sangat menitik-beratkan agar rakyatnya cerdas dan sihat. Semuanya diberikan pendidikan percuma dan selesa. Daulah membayar gaji setiap guru yang mengajar dengan lumayan. Selain 80 sekolah awam Cordoba yang dibina oleh Khalifah Al-Hakam II pada 965 M, terdapat 27 sekolah khas kanak-kanak dari keluarga yang kurang berada. Di Kaherah, Al-Mansur Qalawun mendirikan sekolah anak-anak yatim. Dia juga menyediakan bantuan makanan yang cukup setiap hari serta kelengkapan baju untuk musim sejuk serta musim panas. Bahkan orang-orang badwi yang berpindah-randah, mereka disediakan guru-guru yang juga bersedia berpindah randah mengikuti mereka.

Dalam bidang kesihatan pula, Khilafah mendirikan hospital di hampir semua kota dan bandar besar di seluruh negara. Pada tahun 800 M, Baghdad sudah mempunyai hospital untuk pesakit mental yang pertama di dunia. Sebelumnya pesakit mental hanya diasingkan dan diberikan terapi dengan ruqyah. Kesemua hospital dalam Khilafah telah menarik minat para pelancong yang ingin menikmati sedikit kemudahan tanpa berbayar, kerana seluruh hospitalnya adalah percuma.

Apa yang pasti, kesejahteraan hakiki hanya akan dapat dikecapi dalam negara Khilafah yang mengamalkan siyasah syariah dan menerapkan Islam secara kaffah. Politik demokrasi yang berlandaskan sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan) yang diamalkan pada hari ini hanya membawa kesengsaraan yang tak berkesudahan ke atas umat manusia. Maka apakah kita ingin terus hidup dalam kesengsaraan di bawah sistem kapitalisme, atau untuk hidup sejahtera di bawah naungan Khilafah? Pilihan di tangan kita, dan beruntunglah mereka yang membuat pilihan yang bertepatan dengan haq.

Wallahu a’lam.