Kesihatan Bukan Komoditi: Inflasi Kos Perubatan di Malaysia – Impak, dan Penyelesaiannya

Isu kesihatan adalah urat nadi kesejahteraan sesebuah negara dan masyarakat. Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat di seluruh dunia, terutamanya di Malaysia, terpaksa mendepani impak kerosakan sistemik akibat lonjakan kos sara hidup. Salah satu pemangkin utama himpitan ekonomi ini ialah peningkatan mendadak kos rawatan kesihatan, atau lebih dikenali sebagai inflasi kos perubatan (medical inflation). Industri kesihatan dunia hari ini menyaksikan peningkatan kos yang luar biasa, jauh melampaui kadar inflasi umum indeks harga pengguna (CPI).

Di peringkat global, laporan daripada firma penyelidikan antarabangsa seperti Willis Towers Watson (WTW) dan Mercer Marsh Benefits mencatatkan kadar inflasi perubatan purata dunia berada pada julat dua digit, iaitu sekitar 10.4% hingga 10.7% setahun. Di rantau Asia Pasifik, kadarnya lebih parah, melepasi julat 12% hingga 13%.

Namun, situasi Malaysia jauh lebih membimbangkan: kadar inflasi perubatan nasional melonjak sekitar 15% pada tahun 2024, dan diunjurkan terus meningkat melebihi 15% hingga 16% pada 2025 dan 2026 — hampir lima hingga enam kali ganda berbanding kadar inflasi umum negara yang hanya 2% hingga 3%. Faktor pendorongnya termasuklah teknologi perubatan yang semakin canggih dan mahal, monopoli ubat-ubatan, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD), krisis penuaan penduduk, serta permintaan tinggi terhadap fasiliti swasta akibat kesesakan hospital kerajaan.

Krisis ini mendapat perhatian meluas apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Kelima Belas membentangkan laporan bertajuk “Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta Dan Impak Kepada Kesihatan Awam”, yang melibatkan siasatan terhadap Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Laporan itu mendedahkan bahawa premium insurans dan caruman takaful perubatan telah dinaikkan secara mendadak oleh syarikat insurans, menyebabkan ratusan ribu pemegang polisi terpaksa membatalkan atau membiarkan polisi mereka luput kerana tidak mampu lagi menanggung kos bulanan yang kian menjerut.

Persoalan ini bukan sekadar angka statistik semata-mata, tetapi mencerminkan realiti harian jutaan rakyat yang terpaksa memilih antara membayar premium insurans atau memenuhi keperluan asas kehidupan yang lain. Apabila kos kesihatan terus melonjak tanpa kawalan yang berkesan, bebanan ini bukan sahaja menghimpit golongan berpendapatan rendah, malah turut mula meragut ketenangan golongan pertengahan yang selama ini dianggap mampu menanggung kos perlindungan kesihatan sendiri.

Hakikatnya, krisis ini bukanlah sekadar isu teknikal pengurusan atau isu pelarasan harga pasaran belaka. Ia merupakan simptom nyata daripada kegagalan ideologi Kapitalisme yang menjadikan sektor perubatan sebagai medan komoditi dan sumber memaksimumkan keuntungan. Kesihatan yang sepatutnya merupakan hak asasi dan keperluan asas (al-hajat al-asasiyah) bagi setiap individu yang wajib dijamin oleh negara, kini telah bertukar menjadi barang dagangan mewah yang diukur dengan kepingan ringgit dan sen.

Laporan PAC: Simptom Kepincangan Sistemik Acuan Kapitalisme

Proses siasatan PAC melibatkan 21 orang saksi daripada MOF, KKM, BNM, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), ahli akademik, NGO, serta wakil industri insurans dan takaful. Beberapa punca kritikal dikenal pasti:

Pertama, punca utama kenaikan bil hospital swasta bukan yuran perundingan doktor pakar semata-mata, tetapi caj komponen bukan profesional yang dikawal secara bebas oleh pengurusan hospital — seperti caj utiliti, kejururawatan, penggunaan peralatan, pentadbiran, bilik, serta margin keuntungan berlipat ganda atas bekalan ubat.

Kedua, laporan mendedahkan amalan ketelusan yang meragukan menerusi cross-subsidization dan mark-up harga ubat yang melampau. Ketiadaan mekanisme kawalan harga ubat di sektor swasta membolehkan hospital mengenakan caj berlipat ganda daripada harga borong sebenar demi menampung kos operasi dan sasaran keuntungan perniagaan mereka. Amalan mencatut (profiteering) ini menyebabkan bil hospital melambung, lalu tuntutan insurans meningkat secara drastik, dan syarikat insurans pula mengambil jalan mudah dengan menaikkan kadar premium secara berkelompok ke atas semua pemegang polisi bagi menjaga margin keuntungan korporat mereka, tanpa mengambil kira kemampuan sebenar setiap individu pemegang polisi.

Ketiga, impak rantaian ini amat parah kepada sistem kesihatan awam. Kenaikan premium memaksa golongan M40, B40, dan warga emas menamatkan perlindungan insurans swasta, mencetuskan gelombang perpindahan pesakit kembali ke sektor awam. Hospital kerajaan menghadapi kesesakan kritikal, tempoh menunggu rawatan pakar memanjang, beban petugas perubatan melonjak, dan kualiti perkhidmatan awam terjejas.

Sebagai respons, PAC mengemukakan 17 syor penambahbaikan — antaranya peningkatan pelaburan awam dalam kemudahan kesihatan kerajaan, semakan perundangan industri insurans, cukai lebih tinggi ke atas hospital swasta yang mengaut keuntungan melampau, pembekuan kenaikan caj hospital universiti awam, serta pengenalan sistem Diagnosis-Related Group (DRG) dan Price Marking Order untuk ubat.

Walaupun cadangan-cadangan PAC ini kelihatan mempunyai niat yang baik, hakikatnya ia hanya bersifat tambal sulam (piecemeal reform) yang hanya memberikan sedikit kelegaan dalam kepompong kapitalisme. Ia sama sekali gagal merawat akar penyakit sebenar yang membarah dalam sistem ini.

Dampak Sistem Kapitalis ke atas Perkhidmatan Kesihatan

Sekiranya diteliti secara mendalam dan kritis, segala kemelut yang berlaku—daripada kenaikan kos rawatan, manipulasi harga ubat, eksploitasi syarikat insurans, sehinggalah kesesakan hospital awam—berakar umbi daripada satu punca utama: penerapan sistem ekonomi dan ideologi Kapitalisme dalam pentadbiran negara. Dalam pandangan (worldview) Kapitalisme, penjagaan kesihatan tidak dipandang sebagai satu kewajipan mutlak negara untuk memelihara nyawa dan kesejahteraan rakyat, sebaliknya ia dipandang sebagai satu sektor ekonomi, pasaran perniagaan, dan medan komersial untuk mengaut keuntungan (commodification of healthcare).

Falsafah ini mendorong dasar penswastaan dan liberalisasi perkhidmatan asas, melahirkan hospital swasta korporat yang dimiliki syarikat pelaburan berorientasikan keuntungan, di mana pemegang saham hanya mementingkan pulangan pelaburan (ROI) dan dividen. Dalam ekosistem ini, pesakit tidak lagi dilayan sebagai insan yang memerlukan rawatan, tetapi sebagai “pelanggan” yang dinilai berdasarkan kemampuan kewangan.

Mekanisme insurans dan takaful komersial turut lahir daripada sistem kewangan Kapitalisme, dibina atas konsep pemindahan risiko (risk transfer) — peserta membayar premium berkala untuk “perlindungan” daripada krisis kewangan perubatan masa depan. Namun syarikat insurans bukan badan kebajikan; apabila kos tuntutan melonjak akibat inflasi perubatan, mereka memindahkan beban kerugian kepada pemegang polisi menerusi pelarasan semula premium (repricing) berulang kali.

‘Perkahwinan toksik’ antara industri hospital swasta yang dahagakan keuntungan dan industri insurans korporat ini akhirnya memeras darah rakyat marhaen. Golongan pekerja terpaksa memperuntukkan sebahagian besar pendapatan bulanan mereka semata-mata untuk membayar kad perubatan. Ini merupakan satu kezaliman ekonomi yang nyata. Pada masa yang sama, kerajaan yang mengamalkan sistem sekular-kapitalis tampak melepaskan tangan daripada tanggungjawab utamanya dengan membiarkan kuasa pasaran (market forces) menentukan harga kesihatan rakyat, sambil membiarkan sektor awam terus kekurangan dana dan fasiliti.

Secara tegasnya, sistem pengurusan kesihatan yang berasaskan ideologi Kapitalisme ini adalah satu sistem yang fasad (rosak), zalim, dan bertentangan secara keseluruhannya dengan fitrah manusia serta syariat Islam. Kesihatan merupakan antara keperluan asas manusia (al-hajat al-asasiyah) yang setaraf dengan keperluan terhadap jaminan keselamatan dan pendidikan. Menyerahkan urusan kesihatan rakyat kepada pasaran bebas ibarat menyerahkan nyawa dan maruah manusia kepada kerakusan para pemilik modal (kapitalis).

Pandangan Fiqh Berhubung Insurans Kesihatan dan Takaful Komersial

Jika ditelusuri perbahasan fiqh Islam secara mendalam, kita akan mendapati bahawa akad insurans (ta’min) konvensional adalah akad yang batil dari sudut syarak.

Pertama, akad insurans (ta’min) konvensional dianggap batil kerana gagal memenuhi rukun akad pertukaran (uqud al-mu’awadhah) — dalam Islam, pertukaran wang mesti berbalas dengan barangan (‘ain) atau manfaat/perkhidmatan (manfa’ah) yang jelas. Dalam kontrak insurans, peserta membayar premium bukan untuk membeli barangan atau menyewa perkhidmatan perubatan secara langsung, tetapi semata-mata untuk membeli “jaminan” atau “perlindungan” daripada risiko — sesuatu yang bukan objek akad yang sah dari sudut syarak, sekali gus membatalkan akad tersebut.

Kedua, dari segi syarat jaminan (dhamaan), insurans melanggar syariat kerana mengenakan bayaran premium sedangkan jaminan syar’i wajib diberikan secara percuma. Selain itu, insurans tidak menggabungkan tanggungjawab (dhimma) dengan pihak yang dijamin (madhmun ‘anhu) serta menjamin kerosakan sebelum wujud sebarang hak kewangan sebenar. Oleh sebab kegagalan rukun dan syarat ini, akad insurans adalah terbatal secara mutlak dan sebarang perolehan daripadanya tergolong sebagai harta haram (mal as-suht).

Bagaimana pula dengan takaful perubatan komersial? Walaupun menggunakan istilah Arab (“takaful”) dan disertakan dengan istilah-istilah fiqh yang lain seperti tabarru’, mudharabah, dan wakalah, hakikat operasinya tetap dalam kerangka ekonomi kapitalis yang tidak berbeza daripada insurans konvensional — syarikat takaful tetap beroperasi sebagai pengurus dana yang mengaut keuntungan korporat, dan caruman turut dinaikkan apabila berlaku inflasi perubatan. Ini membuktikan bahawa takaful komersial masa kini hanyalah sekadar bentuk ‘penyesuaian’ atau peng-Islam-an instrumen kapitalis (Islamization of capitalist instruments) yang masih berada di dalam kerangka Kapitalisme.

Oleh itu, jalan keluar bagi umat Islam bukan mencari alternatif insurans berlabel Islam, tetapi meruntuhkan kebergantungan kepada sistem insurans komersial sepenuhnya — kerana dalam sistem Islam yang hakiki, insurans perubatan tidak lagi diperlukan sama sekali kerana jaminan kesihatan ditanggung secara terus, percuma, dan menyeluruh oleh negara.

Bagaimana Islam menyelesaikan isu kos perubatan dan jaminan perkhidmatan kesihatan?

Penyelesaian tuntas dan mendasar bagi kemelut kesihatan ini hanya boleh dicapai dengan kembali kepada akidah dan syariat Islam secara kaffah melalui penegakan Daulah Khilafah Rasyidah ‘ala minhaj an-nubuwwah. Sistem Islam menyediakan struktur pengurusan kesihatan yang sangat kukuh, adil, dan manusiawi berasaskan empat tonggak utama:

Tonggak Pertama — Kesihatan Adalah Tanggungjawab Negara. Khalifah wajib menjalankan fungsi ri’ayah (mengurus/menjaga) dan menjamin keperluan asas rakyat. Kesihatan bukan barang dagangan, sebagaimana sabda Rasulullah (saw):

“Imam (pemerintah) itu adalah pemelihara dan bertanggungjawab ke atas pemeliharaan (rakyat)nya” (HR Bukhari dan Muslim).

Justeru, Khilafah wajib membina fasiliti kesihatan lengkap serta melatih dan menggaji tenaga perubatan dengan kos yang murni datang dari negara.

Tonggak Kedua — Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti Tinggi Secara Percuma Untuk Semua, tanpa diskriminasi kepada kaya atau miskin, Muslim atau bukan Muslim (Ahlu Dzimmah). Perkara ini telah dipraktikkan secara nyata oleh Rasulullah (saw) apabila Raja Muqawqis dari Mesir menghadiahkan seorang doktor perubatan kepada Baginda. Rasulullah SAW tidak mengambil doktor tersebut untuk kegunaan peribadi Baginda, sebaliknya menempatkan doktor berkenaan sebagai perawat awam yang memberikan perkhidmatan perubatan secara percuma kepada seluruh penduduk Madinah.

Rekod sejarah Khilafah Abbasiyah dan Uthmaniyyah turut membuktikan bagaimana hospital-hospital awam yang dikenali sebagai Bimaristan dibina dengan tersergam indah, menyediakan rawatan dan ubat-ubatan bertaraf dunia secara percuma. Malah, pesakit yang dibenarkan keluar dari Bimaristan diberikan pakaian baharu dan sejumlah wang saku agar mereka dapat berehat di rumah tanpa perlu tergesa-gesa bekerja sehingga benar-benar pulih.

Tonggak Ketiga — Pemansuhan Monopoli dan Pengkomersialan Melampau Sektor Perubatan. Sektor swasta dibenarkan wujud hanya sebagai pelengkap, bukan tonggak utama. Negara tidak akan membiarkan syarikat farmaseutikal gergasi mengeksploitasi harga ubat menerusi hak cipta paten. Khilafah akan mengambil alih R&D ubat-ubatan secara besar-besaran, memansuhkan monopoli korporat, dan memastikan ubat disediakan secara percuma kepada rakyat.

Tonggak Keempat — Pembiayaan Melalui Baitul Mal dan Milkiyyah ‘Ammah (Pemilikan Umum). Persoalan lazim yang sering diutarakan oleh para pendukung Kapitalisme ialah: “Daripada manakah negara akan memperoleh dana yang begitu besar untuk menampung seluruh kos rawatan dan ubat-ubatan secara percuma?” Jawapannya: Islam terletak pada keagungan sistem kewangan Baitul Mal dan hukum Pemilikan Harta dalam Islam. Sumber utama untuk membiayai perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan infrastruktur percuma adalah hasil daripada pengurusan harta Pemilikan Umum (Milkiyyah ‘Ammah). Sabda Rasulullah (saw):

“Kaum Muslimin itu berkongsi dalam tiga perkara: air, padang rumput, dan api” (HR Abu Daud, Ahmad, dan Ibn Majah).

Islam menetapkan bahawa kekayaan alam seperti minyak, gas, arang batu, emas, dan lain-lain sumber galian sebagai milik bersama rakyat, tidak boleh dimiliki oleh negara dan tidak boleh diswastakan. Berbeza dengan sistem sekular-kapitalis hari ini yang menjadikan semua itu sebagai milik negara, dan dalam banyak situasi negara menyerahkan pula kekayaan ini kepada korporat multinasional dengan negara hanya mengutip cukai atau royalti. Dalam Khilafah, seluruh keuntungan bersih dikembalikan 100% kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan keselamatan percuma.

Khatimah

Pendedahan laporan PAC hanyalah sebahagian kecil daripada simptom kerosakan sistemik ideologi Kapitalisme. Selagi perkhidmatan kesihatan rakyat dijadikan komoditi untuk mengaut keuntungan, isu kenaikan harga, kezaliman syarikat insurans, dan kesesakan hospital awam akan terus berulang. Cadangan pembaikan daripada PAC, KKM, mahupun BNM tidak akan menyelesaikan masalah ini sehingga ke akar umbi kerana ia hanya berlegar dalam kerangka Kapitalisme yang sama.

Hanya dengan tertegaknya Khilafah, sistem kewangan Baitul Mal akan difungsikan semula, harta pemilikan umum akan diuruskan mengikut kehendak syarak, dan setiap warganegara—daripada saat mereka dilahirkan sehinggalah ke hembusan nafas terakhir—akan dijamin mendapat rawatan kesihatan yang terbaik, percuma, bermartabat, dan penuh dengan keberkahan.

Inilah janji penyelesaian Islam yang membawa rahmat dan keadilan bagi seluruh alam.

Wallahu a’lam bish-shawab.

Sumber:

  1. Laporan PAC Parlimen Kelima Belas (DR.12/2026). “Penyata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Berhubung Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta Dan Impak Kepada Kesihatan Awam Di Bawah MOF, KKM dan BNM”. Parlimen Malaysia, 2026.
  2. Willis Towers Watson (WTW) & Mercer Marsh Benefits (2024/2025). “Global Medical Trends Survey Report & Health Trends 2025”.
  3. Bank Negara Malaysia (BNM) & Ministry of Health Malaysia (2024/2025). Laporan Kaji Selidik Inflasi Kos Perubatan Nasional dan Langkah Interim Pelarasan Premium Insurans/Takaful.
  4. An-Nabhani, Taqiyuddin. “An-Nidzam al-Iqtishadi fil Islam (Sistem Ekonomi Islam)”. Dar al-Ummah, Beirut, Lubnan.
  5. Zallum, Abdul Qadim. “Al-Amwal Fi Daulatil Khilafah (Sistem Kewangan dalam Negara Khilafah)”. Dar al-Ummah, Beirut.
  6. An-Nabhani, Taqiyuddin. “Muqaddimah ad-Dustur aw al-Asbab al-Mujibah Lahu (Pengantar Perlembagaan Negara Khilafah)”. Dar al-Ummah, Beirut.