Khansa’: Ibu para syuhada’.
Seperti apakah susuk tauladan yang baik bagi seorang ibu dalam menunaikan kewajipan mendidik anak-anak? Ada satu rangkap kata-kata yang tidak asing lagi di telinga kita iaitu tangan yang disangka lembut menghayun buaian telah menggoncang dunia mencipta sejarah. Sesuailah rangkap kata-kata ini untuk kita mengenali siapakah gerangan hamba Allah yang telah melahirkan dan mendidik empat orang Mujahid perang al-Qadisiyyah yang terkenal dalam sejarah Islam.
Dialah al-Khansa’. Al Khansa’ adalah gelaran seorang wanita yang bernama Tumazhir binti ‘Amru bin Sulami. Lafazh al-Khansa’ (muannats) diambil dari kata kha-na-sa (al-Khanas), artinya hidung yang pipih, dan agak naik ke atas. Jadi,al-Khansa’ adalah gelaran bagi wanita yang hidungnya seperti itu.. Al-Khansa’ dilahirkan pada zaman jahiliyah dan membesar di tengah suku bangsa Arab yang mulia, iaitu Bani Mudhar. Sehingga banyak sifat mulia yang terdapat dalam diri Al-Khansa’. la adalah seorang yang fasih, mulia, murah hati, tenang, pemberani, tegas, tidak pernah berpura-pura, suka berterus terang dan dialah wanita Arab pertama yang pandai bersyair.
Pandai bersyair.
Para sejarawan sepakat bahawa sejarah tidak pernah menceritakan wanita yang lebih pandai bersyair berbanding al-Khansa’, sebelum ataupun selepas beliau meninggal dunia. Pada mulanya beliau tidak pandai bersyair tetapi hanya boleh melantunkan dua atau tiga bait sahaja.
Diriwayatkan bahawa ketika Adi bin Hatim dan saudara perempuannya, Safanah binti Hatim datang ke Madinah dan menghadap Rasulullah SAW, maka mereka berkata, “Ya Rasulullah, dalam golongan kami ada orang yang paling pandai dalam bersyair dan orang yang paling pemurah hati, dan orang yang paling pandai berkuda.” Rasulullah SAW bersabda, “Siapakah mereka itu. Sebutkanlah namanya.” Adi menjawab, “Adapun yang paling pandai bersyair adalah Umru’ul Qais bin Hujr, dan orang yang paling pemurah hati adalah Hatim Ath-Tha’i, ayahku. Dan yang paling pandai berkuda adalah Amru bin Ma’dikariba.” Rasuluilah SAW membalas, “Apa yang telah engkau katakan itu salah, wahai Adi. Orang yang paling pandai bersyair adalah Al-Khansa’ binti Amru, dan orang yang paling murah hati adalah Muhammad Rasulullah, dan orang yang paling pandai berkuda adalah Ali bin Abi Thalib.”
Di zaman jahiliyyah, beliau terkenal dengan syair-syairnya yang menceritakan kenangan tentang orang-orang yang dikasihi terutamanya dua saudara lelakinya, yaitu Mu’awiyah dan Sakhr yang telah meninggal dunia. Ketika Mu’awiyah terbunuh, beliau meratapi kematiannya dalam beberapa bait syair. Tidak lama selepas itu, Shakhr pula terbunuh. Al-Khansa’ amat mencintai saudaranya ini, karena dia amat penyabar, penyantun, dan bertanggungjawah terhadap keluarga. Kematiannya menyebabkan al-Khansa’ sangat tersentak, lalu muncullah bakat bersyairnya yang selama ini terpendam.
Jarir ra. pernah ditanya, “Siapakah yang paling pandai bersyair?” Jarir ra. menjawab, “Kalau tidak ada Al-Khansa’, tentu aku.” Al-Khansa’ selalu bersyair tentang kedua-dua saudaranya, sehingga beliau pernah ditegur oleh Umar bin Khattab ra. Umar ra. pernah bertanya kepada Khansa’, “Mengapa matamu bengkak-bengkak?” Khansa menjawab, “Karena aku terlalu banyak menangis atas pejuang-pejuang Mudhar yang terdahulu.” Umar berkata, “Wahai Khansa’, mereka semua ahli neraka.” Sahut Khansa’, “sebab itulah yang membuatkan aku lebih kecewa dan lebih sedih. Dahulu aku menangisi Sakhr atas kehidupannya, sekarang aku menangisinya kerana dia adalah ahli neraka.”
Dan Khansa’ pun terus menangis di hadapan Umar sampai khalifah itu merasa kasihan, kemudian beliau menoleh kepada para sahabatnya lalu berkata, “Biarkan dia dengan urusannya.” Selepas keluar daripada menghadap Khalifah Umar, Khansa’ pergi menemui Aisyah Ummul-Mukminin dan meluahkan segala kesedihannya. Beliau merasa seperti mendapat ubat dan hiburan daripada Aisyah yang menambahkan kesabaran dan ketaqwaannya sehingga kemudiannya beliau ikut serta bersama para wanita muslimah lain menyebarkan syiar ajaran Islam dan berjihad di jalan Allah.
Keislaman al-Khansa’ dan Kaumnya
Tatkala mendengar mengenai dakwah Islam, al-Khansa’ pergi menemui Rasulullah bersama kaumnya, Bani Sulaim, dan menyatakan keislaman mereka. Ahli-ahli sejarah menceritakan bahawa pernah suatu ketika Rasulullah menyuruhnya melagukan syair, kemudian kerana kagum dengan keindahan syairnya, baginda mengatakan, “Ayuh teruskan, tambah lagi syairnya, wahai Khansa’!” sambil mengisyaratkan dengan jari telunjuk baginda.
Khansa’ telah banyak menitiskan duka hatinya menerusi syair. Kedukaannya semakin lama semakin reda, dan hatinya menjadi damai setelah beliau bersama kaumnya pergi menemui Rasulullah untuk menyatakan bai’at masuk Islam. Baliau keluarlah dari tempat duduk Rasulullah dengan rasa penuh keimanan dan kesabaran, walaupun masih meratapi kedua saudaranya. Cuma, kini beliau tidak meratap sambil menampar pipi dan mengoyakkan baju seperti yang dilakukan dulu. Islam sebagai agama yang baru saja dipeluknya, mengharamkan perbutan tersebut. Begitulah kuatnya umat Islam terdahulu berpegang pada ajaran Islam seperti firman Allah SWT:
“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, ialah ucapan: “Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang untung. Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.” [TMQ an-Nuur (24): 51-52]
Wasiat al-Khansa’ Bagi Keempat-empat Anaknya
Al-Khansa’ berkahwin dengan Rawahah bin Abdul Aziz As Sulami. Dari pernikahan itu beliau dikurniakan empat orang anak lelaki. Setelah melalui pembinaan dan pendidikan tangan-tangannya, keempat-empat anak lelakinya itu telah menjadi pahlawan-pahlawan Islam yang terkenal dan Khansa’ sendiri terkenal sebagai ibu dari para syuhada kerana dorongannya terhadap keempat-empat anak lelakinya yang telah gugur syahid di medan Qadisiyah . Dalam sebuah riwayat disebutkan, bahwa al-Khansa’ dan keempat-empat puteranya ikut serta dalam perang al-Qadisiyyah.
Sebelum peperangan itu bermula, terjadilah perdebatan yang sengit di rumah Al-Khansa’. Keempat-empat puteranya berdebat untuk menentukan siapakah yang patut diberi peluang untuk ikut berperang melawan tentara Parsi, dan siapakah yang patut tinggal di rumah bersama ibu mereka. Keempat-empatnya saling tunjuk menunjuk kepada yang lain untuk tinggal di rumah. Masing-masing ingin turut berjuang melawan musuh fi sabilillah. Rupa-rupanya, pertengkaran mereka itu telah didengari oleh ibu mereka. Maka Al-Khansa’ mengumpulkan keempat-empat anaknya, dan berkata,
“Wahai anak-anakku, sesungguhnya kalian memeluk agama ini tanpa paksaan. Kalian telah berhijrah dengan kehendak sendiri. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kalian ini putera-putera daripada seorang lelaki dan daripada seorang perempuan yang sama. Tidak patut bagiku untuk mengkhianati bapamu, atau memalukan bapa saudaramu, atau menconteng arang di kening keluargamu. Jika kalian telah melihat perang, singsingkanlah lengan baju dan berangkatlah, majulah ke barisan paling depan niscaya kalian akan mendapatkan pahala di akhirat, negeri keabadian. Wahai anakku, sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah. lnilah kebenaran sejati, maka untuk itu berperanglah dan demi itu pula bertempurlah sampai mati. Wahai anakku, carilah maut nescaya dianugerahi hidup.”
“Kalian semua tahu betapa besar pahala yang Allah janjikan bagi orang-orang yang beriman ketika berjihad melawan orang-orang kafir. Ketahuilah bahawa negeri akhirat yang kekal itu jauh lebih baik dari negeri dunia yang fana. Allah Azza wa Jalla berfirman,“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” [TMQ ali Imran (3): 200] Andaikata esok kalian masih diberi kesihatan oleh Allah, maka perangilah musuh kalian dengan gagah berani, mintalah kemenangan ke atas musuhmu dari Ilahi. Apabila pertempuran mulai sengit dan api peperangan mulai menyala, terjunlah kalian ke jantung musuh, bunuhlah pemimpin mereka saat perang tengah berkecamuk, mudah-mudahan kalian meraih ghanimah dan kemuliaan di negeri yang kekal dan penuh kenikmatan.”
Kepahlawanan Keempat-empat Anaknya
Terdorong oleh nasihat ibunya, keempat-empat puteranya tampil dengan gagah berani. Mereka bangkit demi merealisasikan impian si ibu. Dan tatkala fajar menyingsing, majulah keempat-empat puteranya menuju kem-kem musuh. Sesaat kemudian, anak pertama memulakan serangannya dengan pedang terhunus sambil bersyair,
Saudaraku, ingatlah pesan ibumu tatkala ia menasihatimu di waktu malam..
Nasihatnya sungguh jelas dan tegas, “Majulah dengan geram dan wajah muram!”
Yang kalian hadapi nanti hanyalah anjing-anjing Sasan yang mengaum geram..
Mereka telah yakin akan kehancurannya, maka pilihlah antara kehidupan yang tenteram
atau kematian yang penuh keberuntungan
Ibarat anak panah, anak pertama terus meluru ke tengah-tengah musuh dan berperang mati-matian hingga akhirnya gugur. Semoga Allah merahmatinya. Berikutnya adalah giliran anak yang kedua maju menyerang sambil bersyair,
Ibunda adalah wanita yang hebat dan tabah, pendapatnya sungguh tepat dan bijaksana
Ia perintahkan kita dengan penuh bijaksana, sebagai nasihat yang tulus bagi puteranya
Majulah tanpa memikirkan jumlah mereka dan raihlah kemenangan yang nyata
Atau kematian yang sungguh mulia di jannatul Firdaus yang kekal selamanya
Kemudian dia bertempur hingga ke titisan darah yang terakhir mengikuti saudaranya ke alam baqa’. Semoga Allah merahmatinya. Lalu yang ketiga mengambil bahagian. Dia maju mengikuti jejak saudaranya, lalu bersyair,
Demi Allah, takkan kudurhakai perintah ibu perintah yang sarat dengan rasa kasih sayang
Sebagai kebaktian nan tulus dan kejujuran maka majulah dengan gagah ke medan perang..
Hingga pasukan Kisra terpukul mundur atau biarkan mereka tahu, bagaimana cara berjuang
Janganlah mundur kerana itu tanda kelemahan , raihlah kemenangan walaupun maut menghadang
Kemudian dia terus bertempur hingga mati terbunuh. Semoga Allah merahmatinya. Seterusnya, tibalah giliran anak yang terakhir menyerang. Ia maju lantas bersyair,
Aku bukanlah anak si Khansa’ maupun Akhram , tidak juga Umar atau nenek moyang yang mulia,
Jika aku tak menghalau pasukan Ajam, melawan bahaya dan menghancurkan barisan tentera
Demi kemenangan yang menanti, dan kejayaan ataulah kematian, di jalan yang lebih mulia
Lalu dia pun bertempur habis-habisan hingga gugur. Semoga Allah meredhainya bersama ketiga-tiga saudaranya. Ketika berita gugurnya keempat-empat anaknya tadi sampai telinga al-Khansa’, beliau hanya tabah sambil mengatakan,“Segala puji bagi Allah yang memuliakanku dengan kematian mereka. Aku berharap kepada-Nya agar mengumpulkanku bersama mereka dalam naungan rahmat-Nya.”
Wahai ibu-ibu yang menghayunkan buaian!
Memang telah menjadi kewajipan kalian mendidik anak-anak, tetapi apakah matlamat yang harus kalian tetapkan dalam proses pendidikan tersebut? Jawapannya adalah untuk menjadikan anak-anak kalian hamba-hamba Allah yang bertaqwa sehingga sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan Islam di bawah pimpinan Khalifah Islam dan untuk terus menyebarkan Islam ke setiap pelosok dunia dengan jalan jihad. Jadi, al-Khansa’, ibu para syuhada’ ini, adalah salah satu susuk peribadi seorang ibu yang boleh dijadikan teladan oleh ibu-ibu masa kini. Sesungguhnya kewajipan menyebarkan Islam melalui jihad adalah tanggungjawab Daulah Khilafah dan telah menjadikan kewajipan kita semua berusaha mewujudkannya serta mendidik anak-anak kita berjuang dengannya. wallahu ‘alam