Khilafah Di Mata Para Ulama

Menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah merupakan kewajipan syarie bagi seluruh kaum Muslimin. Alasan-alasan mengapa kaum Muslimin wajib berjuang menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah adalah sebagaimana berikut:

1. Perintah untuk mentaati pemimpin. Al-Quran pada banyak ayat telah mewajibkan kaum Muslimin untuk mentaati seorang pemimpin (Ulil Amri). Allah (swt) berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil Amri (pemimpin) di antara kamu…” [An-Nisa’ (4): 59].

Ibnu ‘Athiyyah menyatakan bahawa ayat ini merupakan perintah untuk taat kepada Allah, Rasul-Nya dan para penguasa. Pendapat ini dipegang oleh jumhur ‘ulama: Abu Hurairah, Ibnu ‘Abbas, Ibnu Zaid dan lain-lain.1 Yang dimaksudkan dengan penguasa di sini adalah Khalifah atau Imam.

Ali Ash-Shabuni menyatakan bahawa ayat ini merupakan perintah untuk mentaati penguasa mukmin (Khalifah) yang selalu berpegang teguh kepada syariat Allah (swt). Sebab, tidak ada ketaatan kepada makhluk yang memaksiati Allah (swt).2

Meskipun manthuq ayat ini berisi perintah untuk mentaati pemimpin, namun ayat di atas menyiratkan dengan jelas akan kewajipan untuk melantik seorang pemimpin (Khalifah). Pengertian seperti ini boleh difahami dengan memperhatikan dalalah iltizam yang terdapat pada ayat tersebut3. Perintah untuk taat kepada penguasa sekali gus merupakan perintah untuk melantik seorang pemimpin. Ini kerana Allah (swt) tidak mungkin memerintahkan untuk mentaati pemimpin sementara pemimpin itu tidak ada atau belum dilantik. Atas dasar itu, ayat ini merupakan dalil kewajipan kaum Muslimin untuk melantik seorang pemimpin (Khalifah), agar mereka boleh memberikan ketaatan kepada Ulil Amri. Tanpa melantik Khalifah, mustahil mereka boleh memberikan ketaatan.

2. Perintah untuk berhukum dengan hukum Allah (swt) secara menyeluruh dan sempurna. Firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu” [Al-Baqarah (2): 208].

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Ibnu Katsir menyatakan: “Allah (swt) telah memerintahkan hamba-hamba-Nya yang Mukmin dan yang mempercayai Rasul-Nya, agar menerima pakai sistem keyakinan Islam (‘aqidah) dan syariat Islam, mengerjakan seluruh perintah-Nya dan meninggalkan seluruh larangan-Nya selagi mereka mampu.”4

Imam al-Nasafiy menyatakan bahawa, ayat ini merupakan perintah untuk sentiasa berserah diri dan taat kepada Allah (swt) atau Islam5.

Imam Qurthubiy menjelaskan bahawa, lafadz “kaffah” merupakan “hal” daripada dhamirMukminin’. Makna “kaffah” adalah “jami’an.”6

Diriwayatkan dari Ikrimah bahawa, ayat ini diturunkan dalam kes Tsa’labah, ‘Abdullah bin Salam, dan beberapa orang Yahudi. Mereka mengajukan permintaan kepada Rasulullah (saw) agar diberi izin merayakan hari Sabtu sebagai hari raya mereka. Selanjutnya, permintaan ini dijawab oleh ayat yang tersebut di atas.

Imam Thabariy menyatakan : “Ayat di atas merupakan perintah kepada orang-orang beriman untuk menolak selain hukum Islam; perintah untuk menjalankan syariat Islam secara menyeluruh; dan larangan mengingkari walau satu pun hukum yang merupakan sebahagian daripada hukum Islam.7

Penerapan syariat Islam hanya akan sempurna dengan adanya institusi Khilafah Islamiyyah. Atas dasar itu, kewujudan Khilafah Islamiyyah merupakan kemestian bagi menyempurnakan penerapan hukum-hukum Islam. Tanpa khilafah, syariat Islam tidak akan pernah boleh diterapkan secara menyeluruh dan sempurna. Dari sini pula kita boleh menyimpulkan bahawa hukum menegakkan kembali syariat Islam adalah wajib.

3. Persatuan dan kesatuan kaum Muslimin8 – Islam mewajibkan persatuan dan kesatuan kaum Muslim dan melarang umat Islam berpecah-belah (tafarruq). Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab sahihnya:

Uthman bin Abi Syaibah telah bercerita kepada kami bahawa Yunus bin Abi Ya’fur telah bercerita kepada kami dari bapanya dari Arfajah, ia berkata : Aku mendengar Rasulullah (saw) bersabda: “Siapa sahaja yang datang kepada kalian, sedangkan urusan kalian berada di tangan seorang (Khalifah), kemudian dia hendak memecahbelahkan kesatuan kalian, maka bunuhlah dia.”

Dalam hadis ini dituturkan dengan sangat jelas, bahawa kesatuan kaum Muslimin (jama’ah Muslim) dikaitkan dengan kepimpinan (Khalifah). Ertinya, kesatuan kaum Muslimin hanya akan tertegak jika telah dibai’at seorang Khalifah yang akan memimpin seluruh kaum Muslimin. Bahkan, Rasulullah (saw) mengancam siapa sahaja yang hendak memecah-belah kesatuan kaum Muslimin dengan hukuman bunuh.

4. Khilafah juga menjadi instrumen yang akan menyelesaikan persengketaan yang terjadi di tengah-tengah masyarakat. Persengketaan dan perselisihan di antara kaum Muslimin dalam masalah apa pun akan boleh dituntaskan jika ada pihak yang memutuskan perselisihan tersebut. Khalifah adalah pihak yang secara syarie akan menyelesaikan seluruh persengketaan dan perselisihan yang terjadi di tengah-tengah masyarakat. Dalam sebuah kaedah usul fiqh disebutkan “Amru al-Imaam yarfa’u al-khilaf (perintah Imam (Khalifah) dapat menyelesaikan perselisihan)”.9

5. Banyak riwayat yang menyiratkan kewajipan kaum Muslimin melantik seorang Khalifah yang akan mengatur urusan mereka.

Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab sahihnya: Zahir bin Harb dan Ishaq bin Ibrahim telah bercerita kepada kami, Ishaq berkata telah memberi khabar kepada kami dan Zahir berkata telah bercerita kepada kami Jarir daripada A’masy daripada Zaid bin Wahab daripada Abdurrahman bin Abdu Rabil Ka’bah berkata : Aku masuk dalam masjid, dan ketika Abdullah bin Amru bin ‘Ash duduk di naungan Kaabah dan manusia mengelilinginya, aku menghampirinya lalu aku duduk di hadapannya, kemudian dia berkata : Kami pernah bersama Nabi (saw) dalam suatu perjalanan, kemudian kami singgah di suatu tempat persinggahan, ketika seseorang menyeru untuk solat berjemaah, kami kemudian berkumpul di sekeliling Rasulullah (saw), lalu baginda bersabda: Sesungguhnya tiada seorang Nabi sebelumku kecuali mereka memiliki tanggung jawab untuk menunjukkan umatnya kepada kebaikan, dan mengingatkan tentang keburukan daripada apa diketahuinya bagi mereka. Sehingga kemudian Nabi (saw) bersabda: Siapa sahaja yang telah membai’at seorang Imam lalu memberikan uluran tangan dan buah hatinya, maka hendaklah dia mentaatinya. Jika datang orang lain hendak mengambil alih kekuasaannya, maka penggallah leher orang itu.”

Imam Muslim meriwayatkan di dalam kitab sahihnya: “Muhammad bin Basyar telah bercerita kepada kami bahawa Muhammad bin Ja’far telah bercerita kepada kami bahawa Syu’bah telah bercerita kepada kami daripada Faratul Qazaz dari Abi Hazm berkata: Aku telah mengikuti majlis Abu Hurairah selama lima tahun, dan suatu saat aku pernah mendengarnya menyampaikan sebuah hadis daripada Nabi (saw) yang bersabda: ‘Dulu Bani Israel selalu diurusi oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi wafat, maka digantikan oleh Nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi sesudahku, (tetapi) akan ada banyak Khalifah. Para sahabat bertanya, apakah yang engkau perintahkan kepada kami? Beliau menjawab : Penuhilah bai’at yang pertama dan yang pertama itu sahaja.

6. Ijma’ sahabat juga menunjukkan dengan jelas akan kewajipan untuk melantik seorang Imam (Khalifah) bagi kaum Muslimin.

Perhatian generasi awal Islam terhadap urusan pelantikan seorang Khalifah sangatlah besar. Sehinggakan mereka mendahulukan urusan pelantikan seorang Khalifah dan menunda pengebumian jenazah Rasulullah (saw). Sebahagian besar di antara mereka menyibukkan diri untuk melantik seorang Khalifah yang akan memimpin seluruh kaum Muslimin10. Sedangkan ada sahabat-sahabat lain yang bertugas mengurusi jenazah Rasulullah (saw),11 namun demikian, sahabat yang mengurusi jenazah Rasulullah (saw) itu juga turut menunda urusan tersebut hingga para sahabat yang ada di Saqifah Bani Sa’idah menyelesaikan urusan mereka (melantik seorang Khalifah).

Pada saat di Saqifah Bani Sa’idah, kaum Muhajirin dan Anshar saling berhujah menunjukkan kelebihan masing-masing. Mereka berusaha meyakinkan pihak yang satu lagi bahawa kaum mereka adalah lebih berhak menduduki jabatan keKhilafahan. Setelah melalui perdebatan yang panjang, akhirnya pertemuan di Saqifah telah melantik (membai’at) Abu Bakar as-Shiddiq sebagai Khalifah pengganti Rasulullah (saw). Setelah selesai melakukan pengangkatan Khalifah, mereka segera kembali ke kediaman Rasulullah (saw) dan segera menguruskan jenazah baginda (saw). Pada waktu itu, telah masuk hari yang kedua, sejak pemilihan di Saqifah Bani Sai’dah selesai.12

Fragmen sejarah di atas telah menunjukkan kepada kita betapa besar perhatian para sahabat terhadap pengangkatan seorang Khalifah sebagai pimpinan umum kaum Muslimin bagi menggantikan Rasulullah (saw). Ijma’ Sahabat ini membuktikan bahawa kaum Muslim benar-benar diwajibkan untuk melantik seorang Imam atau Khalifah, sehingga jenazah Rasulullah (saw) tertangguh selagi urusan pengangkatan Khalifah tidak selesai.

Seluruh hujah di atas dapat meyakinkan kita bahawa kewajipan menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah merupakan puncak tertinggi pengabdian seorang Muslim kepada Rabbnya. Ini kerana, dengan tertegaknya Khilafah Islamiyyah-lah, keseluruhan hukum Allah (swt) dapat diterapkan secara sempurna di tengah-tengah masyarakat. Selain itu, Khilafah Islamiyyah merupakan jaminan bagi tersebarnya risalah Islam ke seluruh penjuru dunia, terhapusnya seluruh kezaliman dan kejahilan, serta terwujudnya kesatuan kaum Muslimin dalam bentuk ummatan wahidah sebagaimana perintah Allah (swt).

Atas dasar itulah seorang Muslim diharamkan mengabaikan persoalan yang sangat penting ini. Mengabaikan, menganggap remeh, atau tidak mempedulikan kewajipan menegakkan kembali khilafah Islamiyyah, apatah lagi menentang penegakannya, boleh dianggap sebagai kejahatan terbesar yang akan dibalas seksa yang pedih.

Pendapat Ulama Tentang Kewajiban Menegakkan Khilafah Islamiyyah

a. Ulama-ulama Salaf

Ulama-ulama generasi awal Islam yang hidup pada kurun terbaik telah memberi perhatian yang sangat besar terhadap urusan keKhilafahan. Sahabat-sahabat besar seperti Abu Bakar, Umar, ‘Uthman, ‘Ali dan sahabat-sahabat lainnya bergegas melantik seorang Khalifah tatkala Khalifah sebelumnya meninggal atau kerana ada sebab-sebab syarie lainnya13.

Mereka juga banyak meriwayatkan hadis-hadis yang berbicara tentang Khilafah dan Khalifah. Perhatikan riwayat-riwayat berikut ini.

Sesungguhnya tidak ada Nabi setelahku, tetapi akan ada para Khalifah, dan jumlah mereka banyak.” Para sahabat bertanya, “Apa yang engkau perintahkan kepada kami? Nabi menjawab, “Penuhilah bai’at yang pertama, dan yang pertama sahaja, dan Allah akan bertanya kepada mereka darihal pimpinan mereka” [HR. Muslim].

Para sahabat mempertahankan kewujudan Khilafah Islamiyyah sepanjang hidup mereka. Jika seorang Khalifah meninggal, maka kaum Muslimin bersegera melantik Khalifah yang baru, sebagai bentuk manifestasi dari sabda Rasulullah (saw), ertinya, ““Barangsiapa yang mati sedangkan di pundaknya tidak ada baiat (kepada Khalifah) maka matinya (seperti ) mati Jahiliyah” [HR Muslim].

Mereka juga menuturkan sabda Rasulullah (saw), “Jika kalian menyaksikan seorang Khalifah, hendaklah kalian taat, walaupun (dia) memukul belakang kalian. Sesungguhnya jika tidak ada Khalifah, maka akan terjadi kekacauan” [HR. Thabaraniy].

‘Umar bin Khaththab (ra) sendiri bahkan melantik 50 orang untuk mengawasi enam orang calon Khalifah yang dicalonkannya. Umar berpesan, jika 5 orang telah bersetuju untuk melantik Khalifah, manakala seorang menolak, maka penggallah orang yang menolak tersebut. Umar melantik Suhaib sebagai amir sementara dan memerintahkan beliau memimpin solat selama 3 hari sementara para calon bermusyawarah. Padahal, calon-calon tersebut adalah sahabat-sahabat yang telah dijamin syurga. Tidak seorang pun sahabat yang mengingkari keputusan Umar, yang menunjukkan bahawa mereka rela mempertaruhkan segenap jiwanya untuk melantik seorang Imam atau Khalifah.14

Sebahagian sahabat, setelah berlalunya era Khulafa’ ar-Rasyidin tetap memilih untuk tidak melepaskan diri mereka daripada penguasa-penguasa fasiq dan zalim demi menjaga keutuhan dan kemaslahatan kaum Muslimin. Ini menunjukkan betapa mereka sangat memperhatikan urusan keKhilafahan dan berusaha menjaganya dengan sepenuh jiwa dan keyakinan. Dalam sebuah riwayat dituturkan bahawa Ibnu ‘Umar ra dan majoriti Ahlul Bait adalah termasuk orang-orang yang tidak menolak pembaiatan terhadap Yazid bin Mua’awiyyah. Mereka tidak pernah membaiat seorang pun setelah mereka menyerahkan baiat mereka kepada Yazid.15 Pendapat seperti ini juga dipegang oleh Mohammad bin Hanafiyyah.

Generasi kedua memiliki sikap yang sama dengan generasi-generasi sebelumnya. Banyak riwayat menunjukkan betapa besar perhatian mereka terhadap Khilafah Islamiyyah. Perhatian yang sangat besar terhadap urusan pemerintahan ini telah mendorong mereka untuk selalu menjaga kewujudan dan kelangsungan Khilafah. Mereka tetap taat kepada para Khalifah yang telah dibaiat oleh umat selama Khalifah itu memerintah dengan hukum-hukum Allah (swt), meskipun keperibadian beberapa orang Khalifah tersebut buruk dan rosak.

Generasi kedua, seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Mohammad bin Ismail, Mohammad bin Idris, Ahmad bin Nuh, Ishaq bin Raahawiyah dan lain-lain, memberikan perhatian yang sangat besar atas kelangsungan pemerintahan Islam. Mereka memahami bahawa tanpa Khalifah, agama ini tidak akan sempurna. Untuk itu, mereka lebih memilih untuk memberikan ketaatan kepada Khalifah, walaupun fajir, selagi mana para Khalifah itu masih menerapkan hukum-hukum Allah (swt).16 Hal ini kerana, tatkala para Khalifah masih menerapkan hukum Allah, maka kemaslahatannya adalah untuk dirinya dan kaum Muslimin. Sedangkan kefasikannya hanya membahayakan dirinya sendiri.17

Imam Hasan al-Bashriy dalam kitab as-Sunnah mengatakan, “Siapa sahaja yang diberi kekuasaan untuk menduduki jabatan Khalifah berdasarkan kesepakatan (ijma’) daripada umat, dan umat telah redha kepadanya, maka dia adalah pemimpin ke atas kaum Mukminin. Tak seorang pun boleh berdiam diri – meskipun semalam saja —, dalam keadaan ia tidak mengenal Imamnya, baik pemimpinnya itu berperilaku baik mahupun buruk…Pendapat seperti ini juga dikemukakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal18

Dalam kesempatan yang lain, Imam Hasan al-Bashri berkomentar mengenai penguasa-penguasa, “Mereka adalah pihak yang akan menjalankan lima urusan kita; menyelenggarakan solat Jumaat, solat jemaah, solat Eid, menjaga sempadan negara dan melaksanakan hudud. Demi Allah, agama ini tidak akan sempurna tanpa mereka (penguasa), meskipun mereka suka berbuat dosa dan zalim.”19

 b. Ulama-ulama Khalaf dan Muta’akhirin

Imam Abu Ya’la Mohammad al-Husain Al-Firaiy al-Hanbaliy menyatakan, “Melantik Khalifah merupakan kewajiban”.20

Imam Ahmad berkata, “Akan ada fitnah yang sangat besar jika tidak ada Imam (Khalifah) yang menguruskan urusan masyarakat.”21

Imam Ibnu Taimiyyah berkata, “Harus difahami bahawa wilayat an-nas (mengurus urusan manusia – tertegaknya Khilafah Islamiyyah) merupakan kewajipan teragung di antara kewajipan-kewajipan agama yang lain, bahkan agama ini tidak akan tegak tanpa adanya Khilafah Islamiyyah.”22

Imam Mawardiy menyatakan, “Khilafah berkedudukan sebagai wakil nubuwwah….ia juga bertugas menjaga agama dan kehidupan dunia…..ia adalah sistem pemerintahan yang harus ditegakkan berdasarkan ijma’……melantik seorang Khalifah hukumnya adalah wajib atas jamaah al-Islamiyyah..”23

Imam Al-Ghazaliy berkata, “Kita tidak mungkin boleh menetapkan sesuatu perkara ketika negara tidak lagi memiliki Imam dan kehakiman yang telah rosak…24

Pendapat-pendapat senada juga diketengahkan oleh ’ulama-‘ulama besar lain seperti mereka, Imam Ahmad, Bukhari dan Muslim, Tirmidzi, Thabarani dan ashhab al-sunan lainnya; Imam al-Zujaj, Abu Ya’la al-Firai, al-Baghawi, Zamakhsyari, Ibnu Katsir, Imam al-Baidlawi, Imam Nawawi, al-Thabari, Qurthubi, Ibnu Khaldun, Imam al-Qalqasyandi, dan lain-lain.25

Syaikh Taqiyyuddin al-Nabhani“Menegakkan Khilafah Islamiyyah merupakan fardhu kifayah ke atas kaum Muslimin di seluruh dunia Islam….Menegakkan Khilafah tidak ada beza dengan (menegakkan) kewajipan-kewajipan lain yang difardhukan oleh Allah (swt)…..mengabaikan kewajipan ini adalah kemaksiatan terbesar yang akan dibalas dengan azab yang sangat pedih..”26

Pendapat-pendapat senada juga diketengahkan oleh ‘ulama-ulama muta’akhirin yang lain, seperti al-Maududi, Abdul Qadim Zallum, Sayyid Quthub, dan lain -lain27.

Hampir-hampir tidak ada satu pun ulama mukhlish yang mengingkari kewajipan untuk menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah, meskipun mereka berbeza pendapat dalam menetapkan posisi Khalifah dan metode perjuangan untuk menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah. Para ulama sejak generasi awal Islam hingga muta’akhirin tidak pernah berselisih pendapat mengenai kewajipan untuk melantik seorang Khalifah atau Imam.

Hanya ‘ulama-ulama fajir dan fasiq sahaja, yang menghambakan dirinya kepada orang-orang kafir yang terus berusaha memalingkan umat Islam dari upaya menegakkan Khilafah Islamiyyah, misalnya Ali ‘Abdul Raziq, Syarif Husain, serta orang-orang yang menyebarkan pemikiran-pemikiran kufur barat atas nama Islam. ‘Ulama-ulama seumpama ini menyebarkan pemikiran-pemikiran rosak yang meracuni kejernihan ajaran Islam.

Dalam lintasan sejarah Islam tidak ada satu pun masa di mana kaum Muslim tidak diperintah oleh seorang Khalifah. Mereka selalu berusaha melantik seorang Khalifah apabila Khalifah sebelumnya meninggal atau kerana sebab-sebab syarie yang lain. Hal seumpama ini tidak pernah terhenti hinggalah kejumudan melanda sebahagian besar kaum Muslim. Dalam sejarah Islam, kaum Muslimin tidak pernah tidak diperintah oleh seorang Khalifah dalam waktu yang lama, kecuali sejak tahun 1924 hingga sekarang ini. Padahal, kesempurnaan dan kelangsungan Islam sangat bergantung kepada sistem pemerintahan yang agung ini. [Syamsuddin Ramadhan al-Nawiy]

 

(Footnotes)

  1. Ibnu ‘Athiyyah, al-Muharrir al-Wajiiz, juz 4/hal.158
  2. Ali Ash-Shabuniy, Shafwaat al-Tafaasir, juz I/285
  3. Lihat Taqiyyuddin Al-NabhaniAsy-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, juz III/173-176; bandingkan pula dengan Imam SyaukaniIrsyadul Fuhul ila Tahqiiq al-Haq min ‘Ilm Al-Ushul; al-Amidiy, Al-Ihkaam fi Ushul al-Ahkaam.
  4. Ibnu KatsirTafsir Ibnu Katsir I/247
  5. Imam al-NasafiMadaarik al-Tanzil wa Haqaaiq al-Ta’wiil, I/112
  6. Imam QurthubiTafsir Qurthubi, III/18
  7. Imam Thabari, Tafsir Thabari, II/337
  8. Mauqif Bani al-Marjah, Shahwah al-Rajul al-Mariidl, hal.376
  9. ibid, 376
  10. Ibnu Ishaqmeriwayatkan, “Ketika Rasulullah (saw) wafat, kaum Anshar berpihak kepada Sa’ad bin Ubadah di saqifah Bani Sa’idah, sedangkan Ali bin Abi Thalib bersama Zubair bin Awwam dan Thalhah bin Ubaidillah menyendiri di rumah Fathimah. Sedangkan kaum Muhajirin berkubu kepada Abu Bakar, Umar dan Usaid bin Hudlair di Bani Abdul Asyhal. Tiba-tiba seseorang mendatangi Abu Bakar dan Umar bin Khaththab dan berkata, “Sesungguhnya kaum Anshar telah berpihak kepada Sa’ad bin Ubadah di Saqifah Bani Sa’idah. Jika kalian ada keperluan dengan mereka, segeralah pergi ke tempat mereka, sebelum perkara ini semakin membesar. “ Saat itu, jenazah Rasulullah (saw) belum diurus dan pintu rumah baginda ditutup oleh keluarga baginda. “[Ibnu Hisyam, Sirah Ibnu Hisyam]
  11. Ibnu Ishaqberkata, “Setelah Abu Bakar diangkat menjadi Khalifah, kaum Muslimin mulai mengurus jenazah Rasulullah (saw) pada hari Selasa. Para sahabat yang memandikan jenazah Rasulullah (saw) adalah Ali bin Abi Thalib, Al-‘Abbas bin Abdul Muthalib, al-Fadl bin ‘Abbas bin Abdul Muthalib, Qutsam bin al-‘Abbas, Usamah bin Zaid bin Haritsah, dan Syuqran mantan hamba Rasulullah (saw)”. [Ibnu Hisyam, Sirah Ibnu Hisyam]
  12. Lihat Ibnu HisyamSirah Ibnu Hisyam. Bandingkan juga dengan Taqiyyuddin al-Nabhani, diperluas oleh ‘Abdul Qadim ZallumNidzaam al-Hukmi fi Al-Islaam, hal 75-78.
  13. Lihat Imam Thabariy, Tarikh al-Umam wa al-Muluuk.
  14. Abdul Qadim ZallumNidzaam al-Hukm fi al-Islaam, hal.81-82
  15. Riwayat ini dituturkan oleh Imam Ahmad. Imam Ahmadmenyatakan, “Telah meriwayatkan kepada kami Ismail bin Aliyah; telah meriwayatkan kepada saya Shakhr bin Juwairiyyah, dari Nafi’, ia berkata, “Ketika orang-orang berlepas diri dari Yazid bin Muawiyyah, Ibnu ‘Umar mengumpulkan anak-anak dan sanak keluarganya, kemudian ia berkata, “Saya membaiat lelaki ini (Yazid) atas dasar baiat kepada Allah dan RasulNya..” Riwayat ini juga dituturkan oleh Imam Muslim dan Tirmidziy. Imam Tirmidziy mensahihkan hadis ini.
  16. Al-Dararu al-Sunniyah fi al-Ajwabah al-Najdiyah,juz 7/hal.177-178
  17. Thabaqaat al-Hanaabilah, juz 2/36
  18. Imam Ahmadmenyatakan, :”..Siapa saja yang berhasil mengalahkan seorang wali dengan perang (pedang), hingga dirinya diangkat menjadi seorang Khalifah dan diberi gelaran Amirul Mukminin, maka tak seorang pun yang beriman kepada Allah dan hari akhir, boleh berdiam diri meskipun semalam, sementara itu ia tidak tahu bahawa orang tersebut adalah seorang Imam, baik orang tersebut baik mahu pun fajir..” Abu Ya’la, al-Ahkaam al-Sulthaaniyyah, hal.23. Keyakinan semacam ini telah dipegang oleh para ulama salaf. Lihat juga Abu Ya’laThabaqaat al-Hanaabilah, juz I/ 241-242]
  19. Ibnu Qayyim al-JauziyyahAdab al-Hasan al-Bashriy, hal.121. Lihat pula Jaami’ al-‘Uluum wa al-Hikam, juz 2/117.
  20. Imam Abu Ya’la Mohammad al-Husain Al-Firaiy al-Hanbaliy, Al-Ahkaam al-Sulthaaniyyah, hal.19
  21. Ibid, hal. 19. Keterangan Imam Ahmad ini terdapat di dalam riwayat Mohammad bin ‘Auf bin Sofyan al-Himashiy
  22. Imam Ibnu Taimiyyah,al-Siyaasat al-Syar’iyyah. Lihat pada Mauqif Bani al-Marjah, Shahwah al-Rajul al-Maridl, hal. 375.
  23. Abu al-A’laa al-MaududiyAl-Hukumah al-Islamiyyah, al-Mukhtaar al-Islamiy, cet-I, tahun 1977, diterjemahkan dalam bahasa Arab oleh Ahmad Idris.
  24. Imam Al-GhazaliIhyaa’ ‘Uluum dl-Diin, lihat juga syarahnya oleh Az-Zabidiy, juz 2/233
  25. Imam Ibnu MandzurLisaan al-‘Arab,26; Imam QalqasyandiyMaatsirul al-Inafah fi Ma’aalim al-Khilafah, juz I/16; Imam ZamakhsyariyTafsir al-Kasysyaaf, juz 1/hal.209; Imam Ibnu KatsirTafsir Al-Quraan al-‘Adzim,juz 1/hal.70; Imam al-BaidlawiyAnwaar al-Tanziil wa Asraar al-Ta`wiil, hal.602; Imam Thabariy, Tharikhal-Umam wa al-Muluuk, juz 3/277; Imam Ibnu TaimiyyahMinhaaj as-Sunnah an-Nabawiyyah, juz 1/137-138; Ibnu KhaldunMuqaddimah Ibnu Khaldun, juz 2/519; Ibnu ‘Abd al-Barral-Isti’aab fi Ma’rifat al-Ashhaab juz 3/1150 dan Taarikh al-Khulafaa’ hal.137-138, dan lain-lain.
  26. Taqiyyuddin al-NabhaniAsy-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, juz II, hal.15
  27. Bandingkan dengan Mauqif Bani al-Marjah,Shahwah al-Rajul al-Maridl