Klise Manifesto PRU-15: Menanam Tebu Di Pinggir Bibir

Menghampiri tarikh penamaan calon bagi PRU-15 pada 5 November 2022, seperti biasa parti-parti politik yang bakal bertanding telah mula menawarkan pelbagai janji manis kepada rakyat. Janji-janji manis ini dimuatkan di dalam manifesto yang kononnya disusun dengan penuh keprihatinan berdasarkan keperluan, kehendak dan denyut nadi rakyat.

Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan 10 tawaran yang menjadi keutamaan mereka bahkan mengisytiharkan ‘kesucian’ manifesto tersebut bagi menambat keyakinan para pengundi. (Berita Harian, 30 Oktober 2022)

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula telah mengumumkan bahawa BN akan menghidangkan lebih daripada 90 tawaran dengan 10 teras keutamaan kepada rakyat pada Majlis Solidariti, Kestabilan dan Kemakmuran dan Pelancaran Jentera BN Pahang di Bera, Pahang. (Utusan Malaysia, 27 Oktober 2022)

Sementara itu, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersama Perikatan Nasional (PN) pula menyatakan tidak akan menjanjikan ‘bulan dan bintang’, tetapi akan lebih realistik berdasarkan kemampuan kewangan negara seperti yang dimuatkan di dalam Bajet 2023.

Apa yang rakyat perlu sedar ialah, kebanyakan tawaran atau janji yang ditaburkan oleh parti-parti politik yang bakal bertanding ini hanyalah sebuah klise. Isu-isu yang diketengahkan berserta janji-janji yang ditawarkan bukanlah perkara baharu yang belum pernah didengar oleh rakyat.

Hakikatnya, setelah 14 kali pilihan raya umum dilaksanakan dan setelah pelbagai parti menerajui kepimpinan negara, isu dan masalah yang sama terus berulang. Keadaan ini secara mudahnya memberi tafsiran bahawa parti mana pun yang memegang tampuk pemerintahan, masalah yang ada tetap tidak pernah selesai.

Sesungguhnya masalah yang tidak pernah selesai itu boleh berpunca daripada dua faktor iaitu pertama, kerana sememangnya mereka tidak tahu cara menyelesaikan masalah, dan kedua, kerana mereka sememangnya tidak mahu menyelesaikan masalah walaupun tahu caranya.

UMNO sebagai contoh sering mencanangkan bahawa perjuangan mereka membela bangsa Melayu masih belum berakhir walaupun sudah lebih 70 tahun berjuang. Kefahaman mudahnya, jika nasib bangsa Melayu sudah terbela dan pulih sepenuhnya, maka perjuangan UMNO sudah dikira selesai, dan UMNO tidak lagi relevan di pentas politik tanahair.

UMNO mahu orang Melayu melihat mereka sebagai sentiasa relevan, maka perjuangan bangsa Melayu mesti disetting oleh UMNO supaya tidak pernah selesai!

Justeru, sempena PRU15 dengan pelbagai manifesto klise yang ditawarkan, orang Melayu-Muslim seharusnya tidak lagi terpengaruh atau termakan dengan apa yang ditabur, kerana telah terbukti ia hanyalah janji manis di pinggir bibir sahaja.

Lebih utama daripada semua itu, tidak ada satu parti pun yang menawarkan dalam manifesto masing-masing untuk menerapkan syariat Allah (swt) secara kaffah jika mereka menang PRU nanti. Padahal inilah agenda, perjuangan dan kepentingan umat Islam yang perlu diselesaikan. Malah inilah kewajipan sebuah parti politik menurut Islam iaitu berjuang menegakkan agama Allah.

Dalam keadaan tiadanya Negara Islam, tugas parti politik Islam sekarang ialah untuk menegakkan kembali sistem pemerintahan Islam iaitu Khilafah, dan menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya secara sepenuhnya dalam pemerintahan.

Nasib umat Islam hanya akan terbela di bawah Khilafah, sebagaimana yang telah kita saksikan selama lebih 1300 tahun Khilafah menaungi dunia dengan menerapkan syariat Allah secara kaffah. Umat Islam hidup dengan penuh kekuatan dan kemuliaan di samping menjadi pelita kepada dunia di bawah penerapan Islam.

Hanya Negara Khilafah yang akan menerapkan Islam secara kaffah, yang insya Allah akan melahirkan penduduk yang beriman dan bertakwa, bukannya negara demokrasi, yang sudah terbukti menjadi penghalang kepada tegaknya Islam, dan membawa malapetaka kepada umat Islam. Firman Allah (swt):

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan” [Al-A’raf (7): 96].

Justeru, amat penting untuk kita semua sedar apakah perjuangan sebenar umat Islam, apakah tugas sebenar parti politik dalam Islam, dan apakah parti-parti politik yang akan bertanding dalam PRU nanti akan menjalankan tugas-tugas tersebut, atau hanya sekadar terus menanam tebu di pinggir bibir melalui manifesto klise masing-masing.

Wallahu a’lam.