Kompromi Prinsip Di Dalam Kabinet baru
Setelah sekian lama menanti, akhirnya rakyat Malaysia disiarkan dengan barisan kabinet baru yang akan mula melaksanakan tanggungjawab untuk mengurus keperluan rakyat. Barisan kabinet baru kali ini amat berbeza berbanding kabinet yang lepas. Kabinet baru Malaysia kali ini dibarisi oleh ahli-ahli politik dari pelbagai parti politik dengan pelbagai idea/kepercayaan dan idealisme. Bahkan ada parti politik yang telah tewas semasa Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) juga mendapat bahagian di dalam barisan kabinet yang baru dilantik.
Pola pemerintahan adalah sangat terkait dengan idea/kepercayaan suatu kepimpinan atau sesebuah parti yang terlibat di dalam pemerintahan. Ideologi inilah yang menyatukan pengikut-pengikut parti yang berkongsi kepercayaan yang sama. Apabila sesebuah parti berjaya mendapat mandat daripada rakyat, ini juga bermakna rakyat telah bersetuju dengan idea parti tersebut. Jika sesebuah parti itu percaya kepada ketuanan Melayu, maka ia akan menjalankan polisi yang menyokong ketuanan melayu. Jika sesebuah parti itu percaya kepada konsep kesamarataan maka ia akan memperjuangkan kesamarataan dan jika sesebuah parti itu percaya kepada jaminan hak kebebasan bersuara, ia akan memberikan ruang sepenuhnya untuk rakyat menyuarakan apa jua pandangan terhadap apa jua perkara. Manakala parti yang berjuang dengan asas perjuangan Islam pula akan merasakan suatu kesalahan apabila kerajaan melaksanakan sistem ekonomi berasaskan riba. Pendek kata, sesuatu itu dinilai baik atau jahat, adil atau zalim mengikut sesuatu idea/kepercayaan parti.
Maka apa yang berlaku setelah pembentukan kabinet baru seperti yang diumumkan, setiap kali kerajaan hendak menjalankan sesuatu polisi, sudah pasti polisi itu akan bercanggah dengan idea/kepercayaan sesetengah parti yang ada dalam gabungan. Menggadaikan idea/kepercayaan ini sudah tentu ia telah menyimpang dari prinsip yang selama ini menjadi pegangan parti dan ahli-ahlinya. Parti yang percaya kepada kebebasan hak dan kesamarataan antara semua kaum, akhirnya ‘terpaksa’ bersetuju dengan polisi/dasar yang mengutamakan atau memberikan keistimewaan kaum tertentu, ini bermakna ia telah menggadaikan prinsip perjuangannya selama ini. Parti yang selama ini memperjuangkan keharaman Riba, akhirnya ‘dipaksa’ bersetuju dengan polisi kerajaan mengambil hutang yang mengandungi Riba, yang sudah pasti ia terpaksa menggadaikan prinsipnya. Jadi jika kita mempunyai ramai ahli parlimen yang secara sengaja menggadaikan prinsipnya, ia adalah sesuatu yang bahaya kerana tidak menghormati prinsip perjuangan diri sendiri, apakah jaminan pemimpin tersebut tidak akan menggadaikan prinsip-prinsip lain yang selama ini didokong oleh rakyat?