Konflik Yaman: Menjadikan Rakyat Sebagai Mangsa Perebutan Pengaruh Oleh Penjajah Dan Agen-Agen Mereka

Campur tangan Arab Saudi di Yaman telah mengorbankan lebih daripada 13 ribu orang dalam kempen ketenteraan sejak tahun 2015. Ia telah memusnahkan kebanyakan infrastruktur negara Yaman, termasuk hospital, sekolah, jalan raya dan kilang. Arab Saudi sangat serius ingin menghancurkan pergerakan Houthi Ansarullah yang dilabel syiah di Yaman untuk menyelamatkan kedudukan presiden Yaman, Abd Rabbuh Mansur Hadi yang merupakan sekutu rejim. Dengan kata lain, perhatian Saudi nampaknya lebih serius dengan konflik di Yaman untuk menjaga ancaman di sempadannya berbanding membantu umat Islam di sana dan mana-mana negara lain seperti Palestin, Iraq dan Syria.

Kesan perang sangat dahsyat sehingga ada laporan menggambarkan, ‘Yaman mati kelaparan’. Malah tahap kelaparan tersebut turut dilaporkan sebagai ‘belum pernah terjadi sebelumnya’ di negara umat Islam yang berpenduduk 27.5 juta orang itu. Keadaan ini diburukkan lagi dengan merebaknya wabak kolera sehingga dikatakan menjadi ‘wabak kolera paling buruk di dunia’. Mengikut angka terkini, lebih daripada dua ribu orang telah terkorban akibat jangkitan bakteria yang sangat merbahaya ini.

Di samping keperluan dan perkhidmatan asas yang serba kekurangan, rakyat juga semakin menderita dengan penggantungan bayaran gaji, penjarahan harta-harta negara, kenaikan harga barang, rasuah dan lain-lain. Apa yang pasti, pihak-pihak yang bertelagah dalam krisis ini sebenarnya telah membawa rakyat Yaman daripada bahaya kepada bahaya. Tindakan buruk ini adalah semata-mata untuk memuaskan kehendak tuan-tuan mereka iaitu Britain dan Amerika. Britain yang menyokong sayap Abd Rabbuh Mansur Hadi, dalam masa yang sama juga menyokong sayap mendiang Ali Abdullah Saleh, seorang ejen Britain yang telah memerintah Yaman selama 33 tahun. Amerika pula menyokong Kumpulan Houthi di utara yang juga disokong Iran dan gerakan pemisah di selatan Yaman.

Semua pihak yang berkonflik tidak berminat dengan Islam malah menggunakan slogan-slogan mazhab sektarian sunni-syiah yang digunakan untuk menggerakkan pengikut mereka berperang. Mereka tidak berusaha mewujudkan Islam sebagai cara hidup yang mengurus hal ehwal kehidupan. Sebaliknya, mereka menggunakan slogan ‘memerangi keganasan’ sebagai justifikasi untuk berkhidmat kepada Barat, dan mereka bersetuju dengan sistem yang ada iaitu republik dan negara sivil demokratik yang sekular.

Kalau ditinjau dari sejarah,  Yaman pernah makmur di bawah pemerintahan Islam melalui wali yang dilantik oleh Rasulullah SAW iaitu Muaz bin Jabal. Tugas beliau sebagai wali di Yaman telah dikekalkan di zaman kekhalifahan Abu Bakar dan Umar bin al-Khatab. Pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab menjadi khalifah, Saidina Muadz selaku penguasa wilayah, beliau menguruskan rutin kutipan zakat. Biasanya setiap kali zakat dikutip, hasilnya akan diagihkan terlebih dahulu kepada fakir dan miskin di kawasan zakat tersebut dikutip. Namum disebabkan beliau tidak dapat menemukan rakyat Yaman yang miskin dan layak menerima zakat, maka hasil kutipan zakat yang dikumpulkan telah dihantar terus ke ibu negara Khilafah Islam di Madinah. Begitulah gambaran kemakmuran dan keberkatan yang dikecapi oleh Yaman semasa di zaman kekhilafahan Islam berjalan.

Tetapi kisah ini hanya tinggal sejarah. Di bawah penguasaan sistem kapitalis pimpinan Amerika yang menguasai dunia saat ini termasuk negara bergolak seperti Yaman. Bezanya dahulu, Yaman diperintah dengan sistem Islam melalui seorang Wali yang dilantik oleh Khalifah. Yaman telah makmur setelah kurang dari 22 tahun diuruskan di bawah sistem Islam. Islam telah membuktikan keunggulannya yang tidak dirasai oleh rakyat Yaman sekarang. Sebaliknya krisis demi krisis yang tak berpenghujung menghambat rakyat Yaman akibat perebutan kepentingan kuasa-kuasa besar  yang turut dibantu oleh pemimpin mereka sendiri.

Sejarah juga telah mencatatkan situasi yang sama pernah berlaku di Habsyah (atau dikenali sebagai Ethiopia sekarang) pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, yang berketurunan Umar Al-Khattab. Umar Abdul Aziz berkuasa selama lebih dua tahun sahaja tetapi telah berjaya mengembalikan kegemilangan yang pernah dibuktikan oleh datuknya. Tetapi sekarang Ethiopia menjadi sebuah negara miskin yang rakyatnya menderita kebuluran. Apa yang berlaku ini ialah kesan sistem kapitalis sekular yang mencengkam negara yang pernah diperintah oleh Najasyi ini.

Oleh yang demikian, untuk mengembalikan kegemilangan ini hakikatnya bukanlah dengan berkiblatkan Amerika di bawah presidennya yang dikutuk oleh rakyatnya sendiri atau bekas kuasa besar seperti Britain yang kafir, atau mana-mana negara yang menjadi agen-agen kuasa kuffar barat. Apa yang wajib dilakukan oleh umat Islam adalah dengan mengembalikan punca yang menyebabkan kegemilangan itu berlaku iaitu kehidupan Islam di bawah naungan ‘Negara Khilafah’.

Allah SWT telah memberi amaran kepada umat Islam supaya jangan mempertaruhkan nyawa untuk melayani kepentingan orang-orang kafir. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” [TMQ Hud (11): 113]

Umat Islam di Yaman serta negeri-negeri umat Islam lain seperti Syria, Mesir, Iraq, Palestin dan yang lainnya perlulah kembali kepada Islam secara kaffah dengan menggunakan thariqah Rasulullah SAW. Kembalilah kepada sistem wahyu yang diuruskan oleh seorang pemimpin (Khalifah) yang ikhlas dan bertakwa yang hanya takut kepada Allah SWT. Pemimpin inilah yang akan memerintah tanpa dipengaruhi oleh kuffar Barat yang telah nyata kebencian mereka terhadap Islam. Sang Khalifah juga tidak akan terjeremus dengan hasutan Barat yang ingin menakut-nakutkan umat seperti melabelkan Islam dengan label-label buruk seperti pengganas (terrorist), fundamentalis dan lain-lain label yang tidak wajar dan mempunyai niat jahat untuk menjauhkan manusia daripada cahaya Islam. Akhir sekali, Khalifah inilah yang akan mendekatkan umat dengan Islam, memupuk persaudaraan tanpa sempadan nasionalis serta menanam kecintaan kepada Allah SWT dan RasulNya. Wallahua’lam.

Abu Hafiz Ibrahim
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia