KONSEP 1BELIA 1MALAYSIA

MELAKA 15 Mei – Konsep 1Belia 1Malaysia perlu diterapkan dalam pergerakan belia di negara ini bagi memastikan mereka menjadi pewaris untuk memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, golongan belia menjadi tapak paling subur untuk merealisasikan konsep 1Malaysia dan akan menjadi lebih bermakna sekiranya golongan muda turut
mengambil konsep 1Belia 1Malaysia. “Ingatlah bahawa di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Lantaran itu, saudara dan saudari sekalian harus melihat antara satu sama lain dengan pandangan Malaysia. “Dalam kata lain, sungguh pun kita terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan suku mahupun keturunan, kita harus insaf bahawa di bumi Malaysia kita dilahirkan, di bumi inilah kita mencipta kehidupan dan di bumi inilah kita bersemadi. “Maka di bumi inilah juga kita wajib menumpahkan janji taat dan setia,” katanya. Perdana Menteri berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Belia Negara 2009 yang disiarkan melalui skrin dalam majlis Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini. Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 20,000 belia dari seluruh negara itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. “Dari itu, terletak di jemala para belia amanah sebagai pewaris yang sewajarnya meneruskan perjalanan yang mulia ini dengan memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional yang dibina, jika tidak segala apa yang kita bangunkan akan hancur dan ranap begitu saja,” katanya. Beliau juga menyarankan agar ruang dialog yang lebih luas antara belia dan kepimpinan tertinggi negara bagi memahami keperluan dan kehendak golongan itu. Najib turut meminta pertubuhan belia berusaha menarik golongan muda yang belum menjadi anggota dengan menggunakan pendekatan kreatif dan inovatif termasuk media alternatif.

[Utusan Malaysia 16/16/09]

Di mana bumi dipijak, di situ Syariat Islam ditegakkan

Di mana bumi dipijak, di situlah Syariat Islam wajib ditegakkan, bukannya terus menjunjung perlembagaan ciptaan kuffar yang diwarisi daripada penjajah. Firman Allah SWT:

”Maka putuskanlah perkara di antara manusia dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kau mengikut hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu” [TMQ Al Maidah (5) : 48]

Berapa lama lagi kita hendak menyaksikan masalah mat rempit, dadah, budaya lepak, jenayah dan pelbagai lagi gejala sosial di kalangan belia berlanjutan? Ini semua adalah akibat daripada sistem kufur dengan asas kebebasan yang diterapkan di tengah-tengah masyarakat. Apabila para belia hidup dalam sistem yang didominasi oleh pemikiran sekular-kapitalis yang berteraskan konsep kebebasan maka akan rosaklah pemikiran dan tingkahlaku mereka. Jauh berbeda dengan masyarakat yang hidup di bawah dominasi sistem dan pemikiran Islam, belia-belia yang hebat seperti Ali bin Abi Thalib, Zaid bin Harithah dan banyak lagi telah dilahirkan.  Kalau belia seperti ini yang masyarakat hari ini inginkan, terapkanlah Islam wahai para pemimpin muslim!