Konsert Coldplay: 7 perkara yang anda perlu tahu

Jauh sebelum kedatangannya ke Malaysia, Coldplay telah pun mendapat publisiti besar-besaran apabila kumpulan muzik rock itu menjadi buah mulut khususnya setelah penjualan tiket persembahannya habis dalam masa tidak sampai empat jam selepas dibuka.

Coldplay dijadual akan mengadakan persembahan sulungnya di Kuala Lumpur bertempat di Stadium Bukit Jalil pada 22 November 2023. Selain Malaysia, kumpulan rock dari British itu turut mengadakan persembahan di Indonesia pada bulan yang sama.

Perdana Menteri Malaysia sejak awal lagi telah mengalu-alukan kedatangan Coldplay, yang mencetuskan kritikan banyak pihak.

Dalam perkembangan terbaru, Penganjur Live Nation Malaysia tidak menolak kemungkinan konsert Coldplay: Music Of The Spheres itu akan ditambah sehari lagi ekoran permintaan yang tinggi daripada para peminat di Malaysia.

Pro dan kontra konsert ini masih hangat diperkatakan hingga sekarang, dan memang wajar bagi setiap Muslim untuk memerhatikan perkara ini kerana ia melibatkan banyak perkara yang tidak boleh dipisahkan daripada agama.

Setidaknya ada tujuh perkara yang kita semua perlu tahu tentang konsert Coldplay yang bakal diadakan ini:

1. Coldplay pendukung L68T

Umum mengetahui bahawa Coldplay adalah penyokong L68T dan sering mempromosikan kaum pelangi itu dalam konsert mereka. Walaupun ramai yang berpendapat bahawa tidak ada bukti yang Coldplay itu sendiri mengamalkan cara hidup songsang itu, namun hakikatnya sokongan Coldplay kepada golongan manusia terkutuk itu sangat jelas melalui konsert-konsert mereka di seluruh dunia. Malangnya hal ini langsung tidak dipedulikan oleh pemerintah yang tetap membenarkan kumpulan muzik itu mengadakan persembahannya di Malaysia.

2. Coldplay bukan sekadar membawa hiburan

Ada pihak yang menyatakan bahawa Coldplay, sebagaimana kumpulan-kumpulan muzik lain yang dibenarkan masuk oleh kerajaan, hanyalah sekadar datang membawa hiburan, dan Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur. Sungguh malang apabila terdapat segelintir Muslim yang gagal membezakan antara hiburan yang dibenarkan oleh Islam dengan hiburan yang diharamkan. Realitinya, banyak persembahan nyanyian dan tarian dari Barat yang mengandungi agenda untuk menyesatkan umat Islam, atau setidaknya merosakkan akhlak dan cara berfikir umat Islam.

Barat menginginkan agar umat Islam menjadi rosak sebagaimana mereka, dan hidup untuk mencari keseronokan dunia semata-mata sebagaimana mereka. Budaya hidup hedonistik merupakan budaya hidup orang-orang Barat, dan mereka membawa budaya ini ke dalam tubuh umat Islam dengan tujuan melemahkan umat ini sekali gus menjauhkan kaum Muslimin daripada agama mereka. Tidak dinafikan bahawa sampai ke tahap tertentu, Barat telah berjaya merealisasikan agenda mereka sehingga kegilaan kepada muzik, fesyen dan apa sahaja yang berasal dari Barat telah banyak mempengaruhi generasi Muslim.

Jadi, kedatangan Coldplay bukanlah sekadar untuk menghibur dan mengaut keuntungan lumayan dengannya, tetapi ia membawa satu “pameran” atau dakyah gaya hidup Barat yang hedonistik yang bertentangan dengan Islam. Sesungguhnya agenda Barat untuk merosakkan umat Islam ini cukup banyak, dan tidak dinafikan bahawa “fun” (keseronokan) melalui muzik adalah salah satu daripadanya. Allah dan Rasul-Nya telah pun mengingatkan kita akan hal ini:

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” [Al-Baqarah (2): 120].

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ: فَمَنْ؟

“Kalian pasti akan mengikuti jejak langkah orang-orang sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kalian akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?’ Nabi (saw) menjawab, ‘Siapa lagi kalau bukan mereka?’” [HR Muslim].

3. Kedatangan Coldplay bagus untuk ekonomi?

Ada yang berpandangan bahawa kedatangan Coldplay mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara, memandangkan sebelum ini kumpulan rock itu pernah menyumbang mesin memerangkap sampah di Malaysia bernilai RM3.2 juta. Sungguh naif justifikasi seperti ini, seolah-olah kesejahteraan negara dan rakyat bergantung kepada konsert dari luar! Persoalannya, berapa banyak peningkatan KDNK hasil adanya konsert seperti ini? Berapa banyak inflasi negara dapat dikurangkan? Berapa banyak OPR dapat diturunkan?

Pernahkah kemasukan mana-mana konsert dari luar menjadikan rakyat negara ini kaya dan hidup sejahtera? Berapa banyakkah konsert yang pernah diadakan yang berjaya mengeluarkan rakyat daripada kesempitan hidup? Selesaikah masalah kos sara hidup yang tinggi yang dihadapi oleh rakyat sekarang ini dengan kemasukan konsert-konsert seperti ini?

Sesungguhnya akar permasalahan ekonomi di negara ini bukan kerana ketiadaan atau kekurangan konsert atau segala macam hiburan dari luar, tetapi kerana penerapan sistem kapitalisme yang bertentangan dengan Islam. Pemerintah dan sistem yang koruplah yang menjadikan ekonomi negara ini tunggang-langgang, dan menyesakkan nafas rakyat selama ini.

Sebahagian besar kek ekonomi masuk ke dalam mulut kerajaan dan golongan pemilik modal yang rata-ratanya merupakan kroni mereka. Rakyat hanya menikmati sisa-sisa kek sahaja, malah ada yang langsung tidak dapat merasa pun. Kesejahteraan ekonomi tidak ada kena mengena dengan sebarang konsert, tetapi kerana ketidakadilan dalam pengagihan kekayaan akibat penerapan sistem ekonomi kapitalisme.

4. Apa faedahnya kedatangan Coldplay untuk Islam dan umat Islam?

Antara persoalan mendasar dengan kedatangan Coldplay ini ialah, apakah faedahnya kepada Islam dan umatnya? Apakah Islam akan kelihatan semakin indah, menjadi semakin kuat, semakin tinggi martabatnya atau semakin diminati oleh non-Muslim dengan konsert Coldplay ini? Apakah umat Islam akan bertambah moden dan maju, bertambah ilmunya, menjadi semakin berwibawa dan disegani di dunia, atau apakah ada kebaikan-kebaikan lainnya sama ada yang zahir atau tersembunyi untuk Islam dan umatnya dengan konsert Coldplay ini?

Sesungguhnya konsert ini bukan sahaja tidak ada satu kebaikan pun untuk Islam dan umatnya, justeru sebaliknya. Ia adalah satu hiburan yang bersifat lagha serta bakal mengundang bala dengan pelbagai bentuk kemaksiatan yang dibawa bersamanya.

5. Kerajaan mana pun sama sahaja

Kebenaran yang diberikan kerajaan untuk Coldplay mengadakan konsert di Malaysia menunjukkan yang kerajaan Madani tidak ada beza sedikit pun dengan kerajaan-kerajaan sebelumnya, termasuklah kerajaan Melayu-Islam, yang mana konsert-konsert seumpamanya tidak pernah sunyi daripada dibawa masuk! Tidak perlulah disenaraikan satu per satu konsert dari Barat yang telah dibenarkan masuk oleh kesemua kerajaan-kerajaan ini, kerana perkara itu sudah sedia maklum oleh rakyat Malaysia. Kesemua kerajaan kononnya bercakap mengenai penerapan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan mereka, namun semua itu tidak lebih daripada retorik kerana hakikatnya sebuah kumpulan muzik dan sebuah konsert yang langsung tidak ada nilai Islam pun, malah bertentangan dengan nilai Islam, tetap sahaja dibenarkan masuk oleh mereka!

6. Kewajipan melakukan amar makruf nahi mungkar

Rakyat Malaysia yang beragama Islam seharusnya sensitif dengan kedatangan Coldplay kerana kewajipan melakukan amar makruf nahi mungkar adalah terbeban di pundak setiap individu Muslim. Amalan songsang L68T adalah jelas mungkar, sama ada pelakunya atau penyokongnya atau siapa sahaja yang mempromosikannya. Begitu juga dengan budaya hidup hedonistik yang mengetepikan halal-haram adalah suatu yang jelas mungkar. Ikhtilat (percampuran) antara lelaki dan perempuan, perbuatan-perbuatan yang melanggar akhlak dan seumpamanya, semua ini jelas merupakan kemungkaran yang wajib ditegur dan dihapuskan.

Konsert Coldplay sudah pasti mengandungi semua kemungkaran tersebut. Maka, setiap Muslim tidak boleh berdiam diri dan mesti menyatakan bantahan atau menunjukkan ketidakredhaan terhadap konsert ini, dengan apa cara sekalipun sesuai dengan tuntutan syarak. Kerajaan yang membenarkan kemungkaran seperti ini wajib dimuhasabah dan didesak agar membatalkan konsert ini.

7. Tukar pemerintah dan sistem sekali gus, sebagai solusi

Apa pun persoalan yang timbul, satu hal yang tidak boleh tidak dibincangkan ialah solusi. Jika kita sudah meyakini bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan ialah sebuah kemungkaran, dan sekiranya setelah dimuhasabah tetap sahaja kerajaan berkeras mahu meneruskannya, maka persoalannya ialah apakah solusi kepada hal ini? Kita tidak mahu solusi jangka pendek, yang hanya akan menyebabkan masalah yang sama akan terus berulang. Kita mahukan solusi tuntas agar segala pintu kemungkaran dan kemaksiatan dalam negara ini ditutup rapat.

Setiap masalah harus dilihat kepada puncanya, dan di situlah letaknya solusi. Oleh kerana punca kepada kemungkaran ini ialah negara (pemerintah) dan sistem yang mereka terapkan, maka satu-satunya solusi, dan sudah pasti merupakan solusi yang tuntas, harus datang daripada negara dan sistem. Apabila pemerintah dan sistemnya sudah rosak ke tahap yang sudah tidak boleh dibaiki lagi, maka ia perlu diganti dengan pemerintah dan sistem yang baru. Pemerintah dan sistem apa lagi jika bukan Khalifah dan Khilafah, yang akan menerapkan Islam secara kaffah, sekali gus menggantikan segala kerosakan yang sedia ada?

Sebagai penutup, sekali lagi kita mengingatkan pemerintah agar membatalkan konsert ini kerana tidak ada sedikit kebaikan pun untuk Islam, malah sebaliknya. Kepada umat Islam, ingatlah bahawa selagi pemerintah dan sistem yang ada pada hari ini tidak kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah, maka selagi itulah keburukan akan terus menimpa kita.

Wallahu a’lam.