Soal Jawab: 10 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kashmir

Pada awal Ogos lalu, puluhan ribu tentera India telah dikerah ke Kashmir, sekolah-sekolah dan kolej ditutup, para pelancong diarahkan keluar, talian telefon dan perkhidmatan internet disekat, dan sebahagian ahli-ahli politik tempatan dikenakan tahanan rumah. Tidak lama kemudian,  Presiden India telah mengisytiharkan pemansuhan Perkara 370, yang selama ini memberikan kuasa autonomi kepada Jammu dan Kashmir untuk mengatur urusan pentadbirannya kecuali dalam soal pertahanan, hubungan luar negeri, dan komunikasi. Pengisytiharan ini mengukuhkan lagi cengkaman penjajahan India ke atas Kashmir. Penulisan ini bertujuan untuk merungkai pelbagai aspek yang menyelubungi kemelut di Kashmir serta memberikan jawapan terhadap persoalan-persoalan yang kerap muncul berhubungnya.

1. Apakah yang menjadi pertelingkahan dalam isu Kashmir ini?

Pertelingkahan ini bertitik-tolak daripada pemisahan benua kecil India yang terjadi pada tahun 1947. British telah merancang untuk memisahkan wilayah India yang terdiri daripada majoriti umat Islam akan membentuk Pakistan, manakala wilayah yang mempunyai majoriti penganut Hindu pula membentuk negara India. Namun situasi di Kashmir pula merupakan suatu yang unik kerana meskipun majoriti penduduknya beragama Islam tetapi wilayah tersebut diperintah oleh penguasa Hindu, Hari Singh. Singh kemudiannya memutuskan untuk menyertai India serta mendapatkan perlindungan ketenteraan India sebagai imbalan. Konflik yang pada awalnya tercetus melalui proksi akhirnya meledak kepada siri peperangan melibatkan India dan Pakistan berhubung perebutan wilayah. Gabenor pada waktu itu, Lord Mountbatten memutuskan bahawa ‘referendum, plebisit (ketentuansuara), dan pilihanraya’ perlu dilaksanakan memandangkan terdapat perebutan hak ke atas Kashmir antara India dan Pakistan. Penyelesaian melalui plebisit yang melibatkan seluruh wilayah India dan Pakistan ini telah digariskan dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertarikh 13 Ogos 1948, 5 Januari 1951, dan 24 Januari 1957. Resolusi ini juga menuntut supaya India dan Pakistan mengeluarkan tentera masing-masing sebelum plebisit dapat dilaksanakan. Pelaksanaan resolusi PBB ini merupakan asas kepada pendirian Pakistan berhubung isu Kashmir. Majoriti penduduk Kashmir merupakan umat Islam, oleh demikian hasilnya dijangka pasti berpihak kepada Pakistan. Manakala India pula bertindak mengekalkan pendudukan ketenteraan dan mengelak daripada pelaksanaan plebisit dengan pelbagai alasan sepanjang lebih lima dekad yang lalu.

2. Apakah yang ingin dicapai oleh India?

India di bawah pentadbiran Nehru menolak resolusi-resolusi PBB dan perancangan plebisit serta enggan mengundurkan tenteranya dari Kashmir. Sejak itu, pentadbiran India yang bersilih ganti secara konsisten telah mengelak daripada memberikan komitmen kukuh ke arah penganjuran plebisit di wilayah tersebut. Polisi India secara umumnya menjurus kepada penyelesaian dua-pihak terhadap isu Kashmir dan menolak resolusi-resolusi PBB. Bekas Perdana Menteri India, Atal Bihari Vajpayee ketika menyentuh mengenai resolusi PBB berkata, “Majlis Keselamatan PBB mengendalikan hal ini (berdasarkan situasi) pada lima dekad yang lalu. Kini, realiti politik, ekonomi, sosial, dan demografi telah jauh berubah (berbanding lima dekad yang lalu)”.

Kerajaan India yang bersilih ganti telah menggunakan kaedah dan taktik yang zalim bagi mengekalkan cengkaman mereka ke atas Kashmir. Disebabkan oleh kedudukan geografi kawasan yang dituntut oleh India, kos yang perlu ditanggung oleh India bagi melanjutkan konflik tersebut jauh mengatasi kos yang ditanggung oleh Pakistan. Kedudukan tentera India yang berpangkalan di kawasan glasier Siachen perlu dibekalkan melalui laluan udara bagi memastikan kesiapsiagaannya. Justeru, India telah mengambil langkah tegas bagi menangani sebarang usaha penduduk tempatan Kashmir yang cuba menggugat penguasaan India di wilayah tersebut.

India cuba untuk mendapatkan penguasaan penuh di kawasan yang ditadbirnya, dan bagi mencapai matlamat tersebut, telah tergamak melakukan genosida ke atas populasi yang majoritinya terdiri daripada umat Islam. Natijah daripada perisytiharan terkini itu, syarikat-syarikat India, dan penduduk Hindu di negara tersebut akan dibenarkan untuk memasuki dan memiliki tanah di Kashmir, tidak ubah seperti yang dilakukan oleh Zionis di Palestin.

3. Apa yang ingin dicapai oleh Pakistan?

Pendirian Pakistan berhubung Kashmir adalah bahawa Kashmir telah dirampas daripada mereka, dan ia akan dapat dikembalikan melalui referendum yang membuktikan bahawa Kashmir yang terdiri daripada 80% penduduknya menganut Islam ini merupakan sebahagian daripada Pakistan. Demikianlah pendirian yang menjadi asas kepada polisi Pakistan berkaitan Kashmir selama ini.

Namun, segalanya berubah selepas tragedi 9/11 dan Perang Melawan Keganasan yang diisytiharkan sesudahnya, serta tekanan daripada Amerika Syarikat ke atas penguasa Pakistan. Pada 2003, Pervez Musharraf mulai meninggalkan tuntutan ke atas hak Kashmir untuk mengadakan referendum serta pembebasannya daripada cengkaman India. Perkembangan ini merupakan suatu yang signifikan kerana sebelumnya tiada seorangpun pemimpin Pakistan yang berani untuk bertolak ansur dengan India berhubung penyelesaian ke atas isu Kashmir. Pada bulan Jun 2003, Musharraf telah mengumumkan bahawa lawatannya ke Kem David telah membuahkan hasil ke arah merangka pelan damai bagi menyelesaikan isu Kashmir di samping menyatakan kesediaannya untuk berkompromi. Kompromi tersebut antara lain merangkumi kesediaan Pakistan untuk memisahkan diri daripada kumpulan jihad, merobohkan kem-kem latihan militan, memenjarakan pemimpin kumpulan militan, mengurangkan pasukan tentera di sepanjang garisan kawalan ketenteraan (LOC), dan mengurangkan bantuan kewangan kepada penduduk Kashmir. Musharraf beralasan bahawa langkah-langkah tersebut merupakan satu-satunya jalan yang ada bagi melindungi Pakistan. Kini, setelah lebih dua dekad berlalu, langkah tersebut hanya mengukuhkan lagi penguasaan India ke atas Kashmir.

Semenjak pentadbiran Musharraf, para penguasa Pakistan telah memainkan isu Kashmir bagi memenuhi kepentingan politik mereka. Natijahnya, konflik demi konflik telah memuncak dan diredakan tanpa memberikan sebarang hasil sama ada kepada Pakistan mahupun Kashmir. Di sepanjang tempoh tersebut juga, penduduk Kashmir telah banyak berkorban dan menumpahkan darah demi menentang penindasan oleh penjajah India.

4. Apakah pendirian Amerika Syarikat dalam isu Kashmir?

Semenjak bermulanya konflik di Kashmir, Amerika Syarikat (AS) telah mendokong resolusi PBB berhubung Kashmir dan menyokong tuntutan Pakistan ke atas pelaksanaan plebisit di wilayah tersebut. Namun pada waktu itu, AS sedang berhadapan dengan Perang Dingin dan telah menjadikannya sebagai keutamaan dalam polisi luarnya.

Namun pada dekad 90-an telah menyaksikan isu Kashmir seringkali diketengahkan oleh pentadbiran Clinton. Pada 1994, Timbalan Setiausaha Negara AS, Robin Raphael telah mengeluarkan kenyataan kontroversi yang mengkritik India berhubung tindakan negara tersebut di Kashmir, sekali gus mencetuskan kekacauan dalam lingkungan politik India. Namun, polisi AS kemudiannya berubah ekoran liberalisasi ekonomi India pada pertengahan dekad 90-an yang menyaksikan banyak syarikat multinasional memasuki pasaran India dan menandakan kesediaan negara tersebut untuk menyertai pasaran global. AS melihat perkembangan ini boleh menguntungkan syarikat-syarikat AS. Komuniti perdagangan dan pelobi pro-syarikat perniagaan mengenakan tekanan ke atas Washington untuk mengubah polisinya terhadap India. Bertitik-tolak daripada desakan ini, polisi AS mulai beralih menjauhi Pakistan dan sekali gus mengubah pendiriannya berhubung Kashmir.

Peristiwa 11 September dan Perang Melawan Keganasan menyaksikan penglibatan aktif AS dalam pertelingkahan melibatkan Kashmir. Perkembangan kepentingan baharu di rantau ini selari dengan polisi AS untuk membentuk hubungan erat dengan India, yang semakin meningkat dan terealisasi semenjak parti Bharatiya Janata (BJP) berkuasa di India. Bagi mengukuhkan hubungan dengan India dan membantu peralihan India menjadi negara benteng serantau, AS telah mengubah polisinya terhadap Kashmir dengan menuruti tuntutan India untuk menolak resolusi PBB. Di samping itu, AS juga meningkatkan tekanan ke atas Pakistan untuk menyetujui penyelesaian dua hala dengan India berhubung isu Kashmir.

Maka, apakah yang sebenarnya cuba dicapai oleh AS? Menjelang penghujung milenium yang lalu, China merupakan sebuah kuasa besar yang semakin bangkit, dan AS ingin menjadikan India sebagai negara benteng di rantau Asia Selatan dalam strateginya untuk mengekang pengaruh China. AS melihat India sebagai sebuah negara pengimbang pengaruh China. Namun, pihak tentera India telah terikat dengan operasi bagi mengekalkan penjajahan mereka di Kashmir dan tidak mampu untuk berhadapan dengan China. Justeru, AS meletakkan keutamaan dalam menyelesaikan konflik di Kashmir bagi mengurangkan beban tentera India untuk memberikan komitmen kepada strategi AS dalam mengekang China. AS berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan India selaku kuasa serantau agar ia dapat menyaingi China di rantau tersebut.

Pada 5 Ogos 2019, jurucakap Jabatan Negara AS, Morgan Ortagus dalam sebuah kenyataannya menyatakan bahawa AS sedang “mengikuti dengan rapat” perkembangan di Kashmir, meskipun ia mengambil maklum bahawa kerajaan India menganggap langkah-langkah yang diambil (iaitu tindakan pemansuhan Perkara 370 dan perintah berkurung di Kashmir) sebagai “urusan dalaman” negara tersebut. Perkembangan ini menunjukkan bahawa AS menyokong langkah India, sejajar dengan pendiriannya berhubung isu ini semenjak dekad 90-an.

5. Apakah kesannya apabila Kashmir menjadi sebahagian daripada India ekoran perkembangan terkini ini?

Kashmir akan menjadi “Palestin” di rantau Asia Selatan. Penduduk beragama Hindu akan dibenarkan untuk membeli hartanah dan membuka penempatan di Kashmir, sekali gus mengubah dinamika wilayah tersebut. BJP dan penyokongnya yang terdiri daripada pelampau Hindu berhasrat untuk merampas Kashmir sepertimana yang dilakukan oleh Zionis ke atas Palestin.

Umat Islam di Kashmir akan kehilangan tanah, harta, dan yang lebih utama nyawa mereka, kerana kerajaan India telah menunjukkan kebenciannya ke atas umat Islam dan sanggup untuk menumpahkan darah umat Islam. India pula akan menguasai lebih banyak kawasan dan mempunyai kelebihan ke atas wilayah Kashmir. Sementara itu, Pakistan pula akan dilihat sebagai pengecut yang hanya menyaksikan semua ini terjadi dan mengambil langkah diplomatik yang tidak memberikan sebarang hasil. AS pula akan berjaya mencapai objektifnya untuk melemahkan Pakistan di rantau ini, serta memberikan kelebihan kepada India ke atas Pakistan.

6. Bagaimana reaksi Pakistan terhadap tindakan terbaru India?

Ketika berucap dalam Parlimen Pakistan pada 6 Ogos 2019, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan melontarkan tikam balas retorik; “Apa cadangan anda mengenai perkara yang perlu saya lakukan?” sebelum melanjutkan lagi, “Kita sedang mengkaji (langkah-langkah yang terbaik) melalui Majlis Keselamatan PBB, kita akan bangkitkan mengenainya dalam Perhimpunan Agung (PBB), kita akan bercakap dengan Ketua-ketua Negara dalam setiap forum… kita akan bangkitkannya dalam media dan menyebarkannya ke seluruh dunia”. Dalam pada itu, Pakistan telah mengusir Pesuruhjaya Tinggi India ke negaranya, memanggil pulang Pesuruhjaya Tinggi negara tersebut ke India, dan memutuskan hubungan dagang antara kedua-dua buah negara.

Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi dalam sidang media yang disiarkan di saluran televisyen pada Khamis (9 Ogos) menyatakan, “Pakistan sedang meneliti pilihan-pilihan langkah politik, diplomatik, dan perundangan. Kita tidak akan mempertimbangkan pilihan tindakan ketenteraan… Kita telah memutuskan untuk mengambil langkah berhati-hati dan peka terhadap sebarang tindakan yang boleh mengundang nahas”.

Terdahulu, pada 6 Ogos, Ketua Angkatan Tentera Pakistan, Jeneral Qamar Javed Bajwa menegaskan bahawa pasukan tenteranya bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk membantu penduduk Kashmir. Jurucakap Tentera Pakistan Major Jeneral Asif Ghafoor pula berkata sekiranya India “mengambil sebarang langkah yang mengundang nahas”, maka “Pakistan akan membalas dengan tindakan yang jauh lebih tegas berbanding tindakan terhadap serangan di Balakot dahulu”.

Namun, tatkala India mengerahkan pasukan tenteranya, memutuskan hubungan komunikasi, dan melaksanakan perintah berkurung; kepimpinan awam dan ketenteraan Pakistan pula telah mengambil langkah yang tidak setimpal dengan langkah-langkah yang telah diambil India. Selain daripada kenyataan sokongan yang sifat retorik semata-mata, kepimpinan awam dan tentera Pakistan tidak mengambil sebarang langkah tuntas untuk membantah perkembangan ini.

Bahkan pada 10 Ogos, tiada sebarang sekatan bagi pesawat India untuk menggunakan ruang udara Pakistan. Penerbangan Indigo Air dari Chandigarh ke Dubai melalui ruang udara Pakistan tetap diteruskan seperti biasa berdasarkan satu ciapan. Ini menunjukkan seolah-olah Pakistan telah menerima pengilhakan Kashmir oleh India.

7. Wajarkah Kashmir dibenarkan menjadi sebuah negara berdaulat?

Isu Kashmir bukanlah merupakan isu bangsa, sebaliknya ia merupakan isu Islam kerana ia merupakan tanah umat Islam yang dijajah oleh negara harbi yang disokong oleh Amerika Syarikat. Penjajahan tanah umat Islam merupakan suatu yang tidak boleh dirundingkan menurut perspektif Islam. Bagi mereka yang beranggapan bahawa penyelesaian kemelut ini adalah dengan menubuhkan sebuah negara bangsa bagi penduduk Kashmir sewajarnya melihat natijah yang menimpa Pakistan, Jordan, Kosovo, Iraq, dan Syria yang menyaksikan penderitaan dek diselubungi kemiskinan dan keberadaan diktator yang mencengkam rakyat negara-negara tersebut. Ketahuilah bahawa negara-negara tersebut diwujudkan oleh kuasa-kuasa penjajah demi memenuhi kepentingan strategik mereka dalam percaturan geopolitik dunia.

Kashmir merupakan kawasan yang strategik dan kaya dengan sumber bumi yang menjadi perhatian India, dan India akan melakukan apa sahaja bagi menguasainya. Pandangan yang menganggap Kashmir akan menjadi sebuah negara berdaulat yang bebas adalah suatu pandangan yang sangat naif.

8. Mengapa Pakistan tidak membebaskan Kashmir?

Hanya satu sahaja sebab yang menghalangnya daripada terjadi, iaitu keenganan penguasa Pakistan untuk bertindak sedemikian. Mereka hanya menggunakan isu Kashmir bagi tujuan kempen pilihanraya dan meraih sokongan umum, tetapi hakikatnya langsung tidak berhasrat untuk melaksanakannya. Mereka telah meninggalkan perjuangan Kashmir kerana ingin menurut kehendak tuan mereka di Washington yang mempunyai sasaran strategik tersendiri, yang langsung tidak mengukuhkan Pakistan apatah lagi untuk membebaskan Kashmir.

Pembebasan Kashmir masih belum terlaksana bukan kerana kelemahan angkatan tentera Pakistan, kerana telah terbukti bahawa tentera Pakistan telah berkali-kali memasuki kawasan Kashmir yang dijajah India. Namun kegagalan tersebut berpunca daripada sikap pengecut dalam kalangan pemimpin politik dan ketenteraan Pakistan yang mengundurkan tenteranya daripada kawasan yang terjajah, kemudian dialihkan untuk menjalankan operasi anti-keganasan di kawasan pedalaman Pakistan yang ditadbir oleh puak-puak. Sesungguhnya isu ini bukanlah berkisar mengenai soal kemampuan.

Sikap mati semangat dan ketundukan golongan politik Pakistan dan diaspora yang berada di Barat telah dan akan terus menyumbang ke arah menjayakan penyelesaian AS dan India berhubung isu Kashmir.

9. Apakah pilihan yang ada pada Pakistan?

Jika hanya dilihat dari kacamata negara bangsa, maka tidak banyak yang boleh dicapai melaluinya. Tetapi apabila penduduk Kashmir dilihat sebagai sebahagian daripada keluarga besar umat Islam dan Pakistan kemudiannya memikul tugas mulia menegakkan Khilafah, maka ia akan menghapuskan batas negara bangsa yang palsu sekali gus berusaha menyatukan negara-negara Muslimin bagi menghadapi penindasan India.

Khilafah ini akan menggerakkan umat Islam di Bangladesh untuk menyekat akses India kepada tujuh negeri-negeri yang penting kepada ekonomi India dengan menguasai koridor Siliguri bagi menjerut ekonomi India. Khilafah ini akan turut menyekat pergerakan sumber-sumber alam dari Afghanistan dan Iran daripada tiba ke India melalui Pakistan. Khilafah juga akan mengusir sebarang pengaruh AS daripada rantau tersebut.

10. Apa yang boleh kita lakukan?

Terdapat banyak inisiatif yang boleh kita lakukan bagi membantu dalam situasi ini, antaranya:

  1. Membongkar percaturan di sebalik isu Kashmir dan rantau tersebut. Kita perlu membongkar perancangan golongan kuffar terhadap Kashmir dan menegaskan bahawa mereka tidak meletakkan kepentingan umat sebagai keutamaan.
  2. Menghasilkan artikel penulisan dan status di media sosial bagi mengetengahkan kemelut ini serta penyelesaian tuntas terhadapnya menurut Islam. Penduduk Kashmir adalah sebahagian daripada umat Islam dan pembelaan mereka hanyalah dapat tercapai melalui (penyelesaian) Islam. Sesungguhnya Islam mengatur segenap aspek kehidupan, termasuklah dalam soal politik, ekonomi, polisi luar negara dan diplomasi.
  3. Memupuk hubungan erat dengan Muslimin di seluruh dunia Islam kerana mereka adalah sebahagian daripada umat ini. Umat Islam wajib menolak konsep negara bangsa, yang asalnya begitu asing daripada umat ini, dan merupakan produk pemikiran yang dieksport dari Eropah. Konsep ini telah mencetuskan pelbagai kekacauan dan kemelut berbanding menyelesaikannya. Sewajarnya mabda’ (ideologi) Islam yang membentuk sistem pemerintahan Islam dijadikan sebagai teras penyatuan umat dan hanya melaluinya umat ini akan hidup dalam keadaan aman dan bermaruah.
  4. Menonjolkan bahawa Islam adalah penyelesaian kepada kemelut ini dan bukannya nasionalisme. Sebilangan penulis bukan Islam telah menulis mengenai dampak Islam kepada rantau benua kecil tersebut, dan bagaimana ia berperanan dalam penyatuan umat, di samping memberikan hak-hak kepada golongan bukan Islam – suatu yang tidak mereka peroleh daripada agama mereka sendiri. Islam mempunyai sejarah yang panjang di rantau ini dan telah mencorakkan warisan di rantau tersebut.
  5. Kita wajib bertegas dalam menyampaikan mesej bahawa pembebasan merupakan satu-satunya penyelesaian ke atas sebarang bentuk penjajahan. Kashmir adalah tanah yang telah dijajah, dan kita wajib menyeru agar tentera dan mereka yang memegang kekuasaan di Pakistan, Iran, dan Turki (serta seluruh negara Muslimin) untuk bergerak bagi membantu saudara kita di Kashmir. Demikianlah tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka untuk bertindak, dan bukan sekadar menyuarakan bantahan yang tidak lebih daripada sekadar retorik kosong.

Diterjemah dan diadaptasi daripada artikel versi Bahasa Inggeris oleh Hizbut Tahrir Britain

https://www.hizb.org.uk/viewpoint/qa-10-things-you-need-to-know-about-kashmir/