KONSERT HINA ISLAM DIBATAL BAGAIMANA DENGAN YANG LAIN?
Persoalannya; adakah kerajaan benar-benar ingin memelihara kesucian Islam atau hanya semata-mata bertindak atas kepentingan tertentu? Kenapa batalkan konsert tersebut hanya setelah umat tahu? Dan kenapa hanya konsert ini sahaja yang diambil tindakan sedangkan banyak lagi kes-kes penghinaan terhadap Islam terpaksa ditelan oleh orang Islam tanpa sebarang tindakan daripada kerajaan?
Jawapannya mudah, tindakan hanya akan diambil apabila ada kepentingan kerajaan, dan jika ia melibatkan rakan-rakan di dalam barisan, maka kerajaan akan berdiam diri. Lihatlah betapa angkuhnya Presiden MCA, Chua Soi Lek memberi komen tentang hukum hudud dengan sewenang-wenangnya. Di manakah sensitiviti para pemimpin UMNO yang beragama Islam dan di mana ‘kehebatan dan keberanian’ ulama-ulama mereka? Bukankah itu juga tidak ada bezanya dari segi sensitiviti kepada umat Islam? Begitulah sifat para pemimpin sekular yang bertindak berdasarkan kepada kepentingan dan manfaat dunia. Nauzubillahiminzalik.
Wahai para pemimpin umat Islam, ingin kita tanyakan di sini; apakah ukuran perbuatan yang kamu gunakan? Bukankah kamu mengetahui bahawa arak, judi dan riba itu haram bagi kamu? Jadi, di manakah sebenarnya kedudukan hukum Allah itu bagi kamu? Adakah sistem jahiliyah itu lebih sesuai daripada sistem Islam? Di satu sisi, kamu mendakwa diri kamu sebagai pembela Islam, tetapi di sisi lain kamu hanya berdiam diri tatkala pemimpin-pemimpin kafir menghina dan memperkotak-katikkan agama kamu.
Umat Islam sudah jemu dengan penghinaan demi penghinaan dan sudah tiba masanya umat bersatu menegakkan Khilafah yang satu-satunya dapat membela Islam dan umatnya dan melaksanakan syariat-Nya. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya seorang Imam (penguasa) itu (bagaikan) perisai. Orang-orang berperang di belakangnya, dan juga berlindung dengannya. Maka jika ia memerintah (berdasarkan) takwa kepada Allah taala dan berlaku adil, maka baginya pahala. Akan tetapi jika ia memerintah tidak dengan (takwa kepada Allah dan tidak berlaku adil) maka ia akan mendapatkan balasannya.”[HR Muslim]
Rujukan : Utusan Malaysia 01/03/2012