Konspirasi British Memadamkan Perjuangan Islam Di Tanah Melayu

Muqadimmah

Semenanjung Tanah Melayu merupakan suatu wilayah yang strategik yang menghubungkan antara negara-negara Timur dan Barat. Kebanyakan penduduk di Tanah Melayu yang asalnya beragama Hindu telah memeluk Islam sejak ratusan tahun yang lalu. Kerajaan Kedah Tua, Kesultanan Melaka dan Kerajaan Patani telah wujud sebelum kedatangan kaum penjajah Eropah. Orang-orang Melayu sangat teguh memegang agama Islam dan memperjuangkannya sejak dulu. Walaupun Portugis dan Belanda menjajah sebahagian bumi Tanah Melayu, namun orang-orang Melayu yang melarikan diri mendirikan Kesultanan-kesultanan Islam yang lain seperti Kesultanan Johor-Riau, Kesultanan Pahang, Kesultanan Terengganu dan lain-lain. Di kesultanan-kesultanan ini orang-orang Melayu tetap menerapkan hukum-hukum syariah.

Namun, hal ini tidak berlaku apabila Tanah Melayu dijajah oleh British. Selepas penjajahan British, perjuangan majoriti orang-orang Melayu tidak lagi memperjuangkan berdirinya negeri-negeri Islam dan hukum syariah, tetapi mengagungkan sistem pemerintahan demokrasi-kapitalis. Bagaimana hal ini boleh berlaku? Apakah yang dilakukan oleh British sehingga memadamkan perjuangan Islam di kalangan orang-orang Melayu. Di sini kami berusaha memaparkan secara ringkas sebahagian strategi-strategi British dalam memastikan perjuangan Islam dihilangkan daripada pemikiran orang-orang Melayu.

1. Konspirasi Pertama : Mengubah Sistem Pemerintahan Negeri-negeri Melayu

Sebelum campurtangan British ke dalam sistem politik Semenanjung Tanah Melayu, negeri-negeri Melayu yang merdeka diperintah oleh Sultan atau dipanggil Yang Dipertuan. Mereka dibantu oleh beberapa orang pembesar yang menguasai daerah-daerah di dalam negeri itu. Setiap pembesar ini mempunyai pembesar-pembesar bawahan dan penghulu-penghulu kampung  yg boleh disuruh untuk maksud-maksud pentadbiran. Sultan atau Yang Dipertuan adalah lambang persatuan negeri dan mempertahankan ketertiban dan kedaulatan. Walau bagaimanapun, umat Islam keseluruhan memahami dan mengakui bahawa pemimpin paling tinggi umat Islam di seluruh dunia ialah Khalifah yang berada di Istanbul, Turki.

Walau bagaimanapun, dalam sistem pemerintahan di abad ke-19, jarang sekali didapati sistem kekuasan terpusat di mana kekuasan Sultan terbatas  menurut sejauh mana dia benar-benar dapat menguasai dan memerintah para pembesar-pembesar daerahnya. Pembesar-pembesar ini mendapat tauliah daripada Sultan utk memerintah suatu daerah. Mereka merupakan anak kunci kepada sistem politik di negeri-negeri di Tanah Melayu. Namun, kemajuan ekonomi adalah tidak sama rata kerana di di daerah-daerah yg memiliki bijih yg lebih banyak daripada daerah-daerah lain memberikan sumber kekuasaan ekonomi yang tidak seimbang kepada beberapa orang pembesar.  Dengan kuasa yang ada padanya, para pembesar daerah itu biasanya menyimpan lebih banyak hasil pendapatan yg dikutip mereka daripada yang diserahkan kepada Sultan. Dengan itu mereka mampu mencapai kedudukan yg hampir-hampir menandingi kedudukan Sultan mereka. Hal ini telah mencetuskan pertembungan kelas yang memerintah dan ketidakstabilan politik di negeri-negeri Melayu pada abad ke-19.

Ketidakstabilan politik ini menyebabkan gangguan kepada perdagangan British di Malaya. Demi memastikan perdagangan dan keuntungan British tercapai, British telah campur tangan dalam politik Tanah Melayu secara langsung yang bermula di Perak. Tujuan utama British ialah mewujudkan kestabilan poitik dan pemerintahan cara Barat yang tersusun daripada sistem kapitalisme dan demokrasi. Bagi mereka, inilah syarat utama dan suasana pendahuluan yang baik bagi kemajuan ekonomi  dan perdagangan kekayaan alam negeri-negeri Melayu itu. Sejak ditandatangani Perjanjian Pangkor 1874, Sistem Residen diperkenalkan di negeri Perak. Kemudian sistem yang sama juga diperkenalkan di negeri-negeri lain di Tanah Melayu setelah British berjaya mencampuri sistem poitiik mereka.

Dalam sistem residen ini, kuasa para Sultan dipusatkan pada raja tetapi hanya dalam aspek adat-istidadat Melayu dan kekuasaan pembesar-pembesar daerah dikurangkan. Manakala Residen sebagai ‘Penasihat’ yang bertindak seperti Perdana Menteri yang berhubungan dengan seorang raja. Walaupun raja sebagai ketua negara yang merupakan sumber kuasa esekutif, perundangan dan mahkamah, tetapi pemerintah de facto ialah Residen British.

Kuasa para pembesar untuk memerintah dan mengutip cukai dilucutkan. Akan tetatpi, raja dan pembesar-pembesar yang kehilangan kuasa ini diberikan sagu hati berupa gaji dan elaun tetap atas lenyapnya hak-hak mereka ini. Ada dua jenis pembayaran dibuat oleh residen British:

 1) wang sara hidup untuk mereka yang tidak memegang sebarang jawatan dalam negeri , dan

 2) elaun kepada mereka yang mempunyai gelaran ataupun yang diberikan jawatan-jawatan kerajaan.

Para pembesar ini masih lagi boleh melibatkan diri dalam kerajaan dan pentadbiran dengan menyertai Majlis-majlis Mesyuarat Negeri (seperti Dewan Undangan Negeri- DUN) yang ditubuhkan dalam Sistem Residen. Ia berperanan sebagai badan yang menyuarakan aduan rakyat dan peranan menggubal undang-undang seperti undang-undang penghapusan hamba hutang, kadar bayaran tambang kereta api, dan menentukan elaun serta wang sara diri  pembesar-pembesar dan kaum kerabat mereka.

Oleh yang demikian, sejak perjanjian pangkor 1874 sehingga 1895, British telah menghapuskan Sistem Kesultanan Melayu dan mengubah sistem pemerintahan di Negeri-negeri Bersekutu Malaya (NNBM) iaitu Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang menjadi sistem pemerintahan ala Barat seumpama demokrasi  cuma sahaja rakyat masih belum diberi hak untuk mengundi wakil-wakil mereka. Dalam Sistem Residen, pemerintah yang sebenar (de facto) ialah Residen-residen Inggeris manakala Raja-raja Melayu dan pembesar-pembesarnya hanya diberi kuasa yang terhad. Ini dibuktikan lagi apabila Anggaran Belanjawan Tahunan Negeri tidak dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Negeri tetapi didrafkan oleh Residen dan dirujuk kepada Gabenor di Singapura untuk diluluskan.

Sumber – William R. Roff, Nasionalisme Melayu (terjemahan buku) , Penerbit Universiti Malaya.

2. Konspirasi Kedua : Perbentukan Durbar (Majlis Persekutuan) mengambil alih sepenuhnya kuasa pemerintah negeri-negeri Melayu.

Pada tahun 1895, Raja-raja Melayu di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang telah bersetuju untuk membentuk sebuah persekutuan apabila British menjanjikan bahawa kuasa mereka masih dikekalkan. Perjanjian tersebut dimeterai pada Julai tahun tesebut. Satu ciri asas sebuah persekutuan ialah terdapat pembahagian kuasa pusat dan kuasa negeri. Namun, perjanjian ini bertentangan dengan bentuk persekutuan kerana kuasa raja tidak dikurangi. Tanpa pengurangan kuasa raja, system persekutuan tidak boleh dibentuk kerana raja-raja Melayu perlu menyerahkan sebahagian kuasanya bagi membentuk kerajaan pusat.

Kekaburan perjanjian 1895 merupakan strategi British sebagai langkah penguasaan lebih berkesan. Pada peringkat tersebut, pembentukan persekutuan memperlihatkan perubahan dasar British secara lebih jelas  ke atas keempat-empat negeri tersebut, iaitu daripada hanya memberi nasihat kepada kawalan penuh. Frank Swettenhen, Residen-Jeneral Persekutuan tersebut dalam ucapannya dalam Persidangan Durbar pada tahun 1903 mengesahkan strategi ini: “The Federation Agreement went far ahead of all previous agreements by recognising the control of British Government over the destinies of the four States.”

Akibat kejahilan tentang perundangan Barat, raja-raja  Melayu sekali lagi membuat perjanjian pada tahun 1909 untuk membentuk Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) atau Durbar yang mana kuasa perundangan dan pembendaharaan empat negeri diletakkan pada Residen-Jeneral. Dengan ini, kuasa raja-raja Melayu telah hilang dengan taktik licik British melalui perundangan dan perjanjian yang manipulatif.  Melalui MMP ini, negeri-negeri melayu bersekutu (NNMB) berada di bawah pemerintahan British dan dasar luar mereka ditentukan oleh British.

Justeru, dalam perang dunia pertama, negeri-negeri ini dipaksa berpihak kepada British dan menolak mendukung Khilafah Uthmaniyyah. Dalam MMP inilah Raja-raja Melayu mengaku taat setia kepada Raja Britain. Tidak cukup dengan taat setia itu, satu undang-undang iaitu Neutrality of Enactment 1914 telah diluluskan oleh MMP ini. Undang-undang ini memberi kuasa kepada Raja-raja melayu bagi mengisytiharkan dan menyerukan umat Islam yang berada dalam negeri mereka untuk tidak terlibat dalam sebarang keganasan perang.

Selain itu, dua undang-undang yang diluluskan oleh MMP pada tahun 1916 untuk membantu British dalam menghadapi perang dengan gabungan Khilafah-Jerman. Pertama ialah The War Loan Enactment 1916 yang membolehkan NNMB mengumpulkan dana dengan penjualan bon-bon kerajaan demi membantu penjajah British dalam perang. Daripada undang-undang ini dana sebanyak $15 juta pound dapat dikumpulkan. Kedua,  The War Taxation Enactment of 1916, iaitu undang-undang yang membolehkan cukai dikenakan ke atas rakyat melebihi kadar biasa bagi mengumpulkan dana untuk dihantar kepada Britain. Melalui undang-undang kedua, dana yang berjaya dikumpulkan adalah sebanyak $5 juta.

Dengan ini, kita dapat melihat bagaimana British memanipulasi Majlis Mesyuarat Persekutuan dan raja-raja Melayu demi mendapatkan sokongan umat Islam di Tanah Melayu dan tidak menyebelahi Khilafah. Walaupun pada dasarnya, umat Islam menganggap Khilafah sebagai pemimpin tertinggi dunia Islam namun undang-undang yang direka oleh majlis ini memaksa sebahagian besar umat Islam menjauhkan diri daripada berjuang mempertahankan Khilafah. Selain itu, penjajah juga memungut dana daripada hasil bumi umat Islam untuk peperangannya ke atas Islam dan Khilafah.

sumber: Ahmad Kamal Ariffin bin Mohd Rus MA; Majlis Mesyuarat Persekutuan, 1909-1927: Asas dan Kesan Pembentukannya, Persatuan Sejarah Malaysia.

3. Konspirasi Ketiga : Memutuskan Pengaruh Khilafah ke atas orang-orang Melayu

Usaha Sultan Abdul HAmid II, seorang Khalifah Uthaminyyah membawa gagasan Pan-Islamisme pada akhir abad 19 telah menyedarkan umat Islam di Tanah Melayu bahawa Khilafah merupakan institusi kepimpinan umat Islam sedunia. Seruan dan dakwah terutamanya melalui para ulama yang kembali ke Tanah Melayu dari Timur Tengah dan juga peranan akhbar serta  majalah Islam telah menyedarkan orang-orang Melayu tentang kewajipan mereka terhadap Khilafah. Dikatakan pada waktu itu, pada satu tahap kesetiaan orang-orang Melayu terhadap Khilafah melebihi kesetiaan kepada raja-raja-raja Melayu.

Pada 5 November 1914, British mengisytiharkan perang terhadap Khilafah. Enam hari berikutnya, Khilafah mengeluarkan fatwa yang dikenali sebagai Jihad-i-Ekbar Fard-I Ayon oleh Sheikh al-Islam, Khayri Effendi yang mengisytiharkan jihad terhadap British dan sekutunya. Seruan jihad berjaya membentuk semangat jihad di kalangan umat Islam di nusantara. Hal ini sangat membimbangkan British kerana umat Islam yang berada di bawah jajahannya boleh bangkit dan  menentang British. Umat Islam sangat membenci British yang telah lama menjajah mereka.  Penglibatan British dalam Perang Dunia Pertama memerangi Khilafah dilihat merupakan faktor terbesar yang membawa kepada pemberontakan kerana Khilafah dianggap ketua bagi seluruh umat Islam (Colonial Office C.O. 273/423, 1915).

Seruan jihad ini disambut oleh tentera India Muslim British iaitu 5th Light Infantri yang ditempatkan di Singapura. Pada asalnya mereka akan dihantar ke Perancis pada 16 februari 1915 untuk membantu British menghadapi tentera Pakatan Jerman-Khilafah, namun mereka menolak. Sebaliknya mereka melakukan serangan ke atas markas tentera British di Singapura, pada 15 Februari 1915, iaitu sehari sebelum mereka akan dihantar. Walau bagaimanapun, perancangan mereka telah gagal dan serangan tersebut berjaya dipatahkan oleh pihak British. Kemudian, seluruh tentera India-Muslim yang terlibat dalam serangan ditangkap dan dibunuh. Peristiwa ini dikenali sebagai Peristiwa Dahagi atau Singapore Mutiny 1915.

Sentimen tuntutan jihad yang telah digunakan oleh Jerman di Singapura sehingga mencetuskan serangan ke atas markas British turut mendatangkan kesan dalam kalangan masyarakat Melayu di Kelantan. Propaganda ini mula memberikan kesan kepada masyarakat Melayu apabila berita mengenai pemberontakan Singapore Mutiny telah tersebar luas. Keadaan menjadi lebih buruk apabila tentera India-Muslim dan tentera Melayu telah ditembak mati oleh British setelah dibicarakan. Perasaan marah terhadap British meningkat di Negeri-Negeri Melayu. Menurut seorang pegawai British di Kelantan, sikap orang Melayu mula berubah ada ketika itu. Di Kota Bharu, terdapat beberapa insiden di mana penduduk British telah dihalang di jalan-jalan awam (Farid Mat Zain, 2009). Seterusnya seruan jihad telah disambut oleh masyarakat Melayu di Kelantan apabila Tok Janggut telah menyeru orang Melayu Islam untuk bangkit menentang British dalam peristiwa yang dikenali sebagai Peasant Revolt 1915. Ini menunjukkan seruan jihad daripada Khilafah mendorong terjadinya peristiwa Singapore Mutiny dan Peasant Revolt 1915.

Sokongan raja-raja Melayu terhadap British merupakan usaha pertama British bagi mendapatkan sokongan masyarakat awam. British dalam hal ini sedar bahawa masyarakat Melayu sangat patuh terhadap raja-raja mereka dan melalui sokongan raja-raja Melayu terhadap British, masyarakat Melayu dapat dikawal dengan lebih mudah. Perkara pertama yang dilakukan oleh British adalah meyakinkan raja-raja Melayu mengenai keterpaksaan British untuk memerangi Khilafah apabila Khilafah memilih untuk menjadi sekutu Jerman (Muhammad Aslah, 2017). Residen merupakan aktor utama yang memainkan peranan dalam mempengaruhi raja-raja Melayu. Ini terbukti apabila Sultan Terengganu menerangkan bahawa baginda telah menerima kunjungan wakil British yang menjelaskan penglibatan Turki dalam peperangan tersebut adalah hasil hasutan Jerman. Sultan kemudiannya bertitah: “Sesungguhnya kerajaan Turki itu dipihak orang Islam semua tetapi pakatannya dengan Jerman dalam peperangan ini tiada betul sekali pada fikiran beta.” (High Commissioner Office H.C.O. 1941/1914, 1914) Raja-raja Melayu lain turut dipengaruhi dengan propaganda yang sama. Propaganda British dalam mempengaruhi raja-raja Melayu dengan naratif bahawa Jerman yang melanggar perjanjian antarabangsa iaitu dengan menyerang Belgium.

Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, setelah berjaya menyakinkan raja-raja Melayu, British dengan segera merangka suatu perisytiharaan perang untuk ditandatangani (Selangor Sekretariat 5414/1914, 1914). Draf perisytiharaan perang tersebut kemudiannya dibentangkan untuk ditandatangani dan dicop oleh raja-raja Melayu mengikut skrip yang telah disediakan. Tanpa sebarang pilihan, raja-raja Melayu terpaksa menandatangani perisytiharan perang yang menyokong British (Selangor Sekretariat 5414/1914, 1914). Tanpa disedari, perisytiharaan itu menjadi salah satu propaganda penting sepanjang zaman perang iaitu bagi mendapatkan sokongan penduduk Tanah Melayu terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang Islam. Dokumen British iaitu fail Selangor Sekretariat 5414/1914 merupakan antara dokumen yang mengandungi perisytiharan sokongan raja-raja Melayu terhadap British (Selangor Sekretariat 5414/1914, 1914). Perisytiharaan sokongan ini telah dicetak dan digunakan sebagai propaganda British bagi mendapatkan sokongan masyarakat. Perisytiharan itu seterusnya diedarkan di masjid-masjid dan tempat awam (Selangor Sekretariat 5414/1914, 1914). Surat dan poster perisytiharan perang oleh raja-raja Melayu merupakan bahan media utama untuk mendapatkan sokongan masyarakat Melayu.

Perisytiharan ini merupakan antara propaganda British supaya penduduk di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dapat melihat sokongan raja-raja di negeri mereka terhadap British serta turut sama menyokong British atas titah perintah raja. Perisytiharan oleh raja-raja Melayu yang mewakili negeri dan rakyat negeri masing-masing telah melarang rakyat memberi bantuan atau bangkit memberontak atau terpengaruh dengan apa-apa hasutan yang memberikan keuntungan kepada Khilafah Uthmaniyyah (High Commissioner Office H.C.O 1806a/1914, 1914).

Bagi membuktikan sokongan kepada British, raja-raja Melayu juga menggunakan penguasaan politik, ekonomi dan sosial untuk membantu British sama ada melalui paksaan atau sukarela. Sebagai contoh, raja-raja Melayu dipaksa untuk mengadakan sembahyang hajat supaya British menang dalam peperangan tersebut. Di negeri majoriti penduduk Melayu iaitu Kelantan, solat hajat dilaksanakan atas arahan sultan untuk mendoakan kemenangan British. Sebaliknya umat Islam dilarang mengutip dana dan mengadakan solat hajat serta doa ke atas Khilafah. Begitulah propaganda British yang cuba menghalang umat Islam di Tanah Melayu daripada mendukung Islam dan Khilafah ketika Perang Dunia Pertama.

Sumber : Propaganda British di Tanah Melayu pada Zaman Perang Dunia Pertama (1914-1916) MUHAMMAD ASLAH AKMAL AZMI MOHD SAMSUDIN Universiti Kebangsaan Malaysia , Jurnal Komunikasi Malaysian Journal of Communication Jilid 34(4) 2018.

4. Konspirasi Keempat: Kawalan British Terhadap Jemaah Haji dari Tanah Melayu daripada pengaruh Khilafah

Jemaah haji dari Tanah Melayu pertama kali direkodkan pada tahun 1849 yang bermula di Singapura. Banyak kapal yang membawa jemaah haji bertolak dari pelabuhan di Singapura ke Jeddah. Syeikh haji yang kebanyakannya berketurunan Arab menjadi ejen haji (hajj agent) untuk mengumpulkan jemaah-jemaah haji di sekitar Tanah Melayu. Mereka mendirikan pusat-pusat ejen haji di Singapura. Mereka mengelilingi Tanah Melayu untuk memilih bakal-bakal haji. Para bakal haji dipilih oleh Syeikh Haji melalui rekomendasi oleh kawan atau orang-orang kampung dan juga kempen yang dilakukan oleh pihak yang mewakili Syeikh Haji.

Kemudian pada tahun 1864, Pulau Pinang menjadi fokus kapal-kapal membawa jemaah haji dari Singapura dan Indonesia. Ketika ini, British masih belum menguasai negeri-negeri di Tanah Melayu dan para ejen haji bebas melaksanakan aktiviti-aktivitinya tanpa sekatan. Ketika Perang Dunia Pertama , aktiviti haji orang-orang Melayu dihentikan dan kembali semula dilaksanakan pada tahun 1919.

Selepas Perang Dunia Pertama, pentadbiran haji di negeri-negeri Melayu sehingga Perang Dunia Kedua dikawal selia oleh Biro Risikan Politik (Political Intelligence Buraeu) yang ditubuhkan pada tahun 1922. Pejabatnya berada di Singapura. Sejak itu, mana-mana Syeikh Haji atau broker haji perlu mendapatkan lesen daripada Pengarah Biro Penyiasatan Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Bersekutu (British Adviser Kelantan 430/25). Syeikh haji dan broker-broker haji yang telah diberikan lesen juga perlu memberi laporan mengenai jemaah-jemaah haji mereka kepada pengarah biro tersebut. Penginapan para jemaah haji turut diperiksa oleh Pengarah dan pegawai polis  sepanjang masa. Kegagalan mengikuti peraturan-peraturan ini akan mengakibatkan lesen mereka ditarik balik.

Biro Risikan Politik juga bertanggungjawab mengeluarkan pas-pas haji melalui Peraturan Pas Haji sejak 1924. Setiap jemaah haji dikenakan caj sebanyak $0.50 untuk setiap pas. Akhbar Idaran Zaman melaporkan pada 11 february 1926 menyatakan bahawa pas haji didapati daripada pejabat daerah di Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Salah satu sebab utama British menubuhkan Biro Risikan Politik adalah untuk mencegah para hemaah haji dari negeri-negeri Tanah Melayu daripada dipengaruhi oleh gerakan politik di Hijaz terutanmanya gerakan Pan-Islamisme , gerakan Khilafat  dan propaganda Komunis Rusia.

Mengenai perkara ini , ancaman utama British ialah penularan pemikiran “Pan-Islamisme” yang dibawa para Syeikh Haji. Ketakutan ini berdasarkan kebangkitan komuniti Islam yang bermula di Timur Tengah dan menyebar ke negeri-negeri Melayu melalui para pedagang Hadrami (Yaman) dan jemaah haji yang pulang kembali ke tanah air. Hal ini kerana ketika Perang Dunia Pertama, orang-orang Melayu sungguh yakin bahawa Khilafah Uthmaniyah memiliki kekuasaan yang paling tinggi.

British mula menunjukkan minat dalam pengaturan aktiviti jemaah haji bagi orang-orang Melayu kerana khuatir kemungkinan berlaku kebangkitan di kalangan para pelajar yang belajar di Timur Tengah. Para pelajar ini dilihat sebagai ‘kemunculan embrio kesedaran politik di kalangan orang-orang Melayu terpelajar’. Sejak itu, British tidak mengambil mudah hal ehwal pengaturan haji. Pihak British percaya cara terbaik untuk mengekang aktiviti-aktiviti politik di kalangan jemaah haji Melayu adalah dengan menghantar seorang pegawai pengintip di Hijaz.  Hal ini pernah diungkapkan oleh J.N.E. Zohrab, seorang Konsulat British di Jeddah ketika dia mengusulkan agar seorang ejen pengintip di Konsulat dihantar ke Mekah. Zohrab berkata:

“Wilayah Hijaz adalah pusat di mana idea-idea, pendapat, sentimen dan aspirasi dunia Muslim dibawa untuk perbincangan. Perhimpunan tahunan(haji) pada masa yang ditetapkan yang bertujuan untuk menunaikan ibadah haji  mengumpulkan perwakilan dari setiap Komuniti Muslim seolah-olah memberi cara untuk bertukar pendapat, membincangkan rancangan, mengkritik tindakan Kerajaan Eropah dan membentuk gabungan untuk menentang ketuanan Kuasa Kristian tanpa menimbulkan syak wasangka.”

Pejabat colonial merespon terhadap cadangan tersebut dengan  melantik Abdul Majid Zainuddin sebagai Pegawai Haji Melayu pada Januari 1924. Walaupun secara zahirnya beliau bertanggungjawab untuk pendaftaran jemaah haji Melayu di Hejaz, mengeluarkan tiket dan menguruskan hal ehwal akibat kematian jemaah haji, tetapi jelaslah bahawa pelantikannya selari dengan matlamat British. Pelantikan tersebut dihubungkan dengan kerisauan British terhadap kesan pemikiran Pan-Islamisme dan gerakan Khilafat. Dia membentangkan laporan berkenaan isu-isu administratif dan politik orang-orang melayu yang menunaikan haji di Mekah.

Walaupun kita dapati British tidak mengambil polisi seperti Belanda di Indonesia yang menyekat ibadah haji di tanah jajahannya, akan tetapi British mengatur sistem pengurusan haji mengikut matlamatnya iaitu menghalang pengaruh Khilafah ke atas jemaah-jemaah haji dari Tanah Melayu. Sungguhpun orang-orang Melayu dapat menunaikan ibadah haji, namun pemikiran persatuan politik bagi seluruh umat Islam di bawah satu kepimpinan seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para Khulafa’ sesudah baginda tidak dapat dihayati mereka. Strategi British ini berjaya menjauhkan orang-orang Melayu daripada Khilafah Uthmaniyyah terutamanya di kalangan jemaah haji.

sumber : AIZA MASLAN @ BAHARUDIN, Hajj and the Malayan Experience, 1860s–1941, Jurnal KEMANUSIAAN Vol. 21, No. 2, (2014), University Sains Malaysia.

5. Konspirasi Kelima : Menerapkan sistem pendidikan sekular yang menghasilkan satu generasi yang jauh daripada perjuangan Islam.

Institusi pendidikan formal utama di Tanah Melayu pada abad ke-19 ialah institusi pondok. Institusi pondok tertua direkodkan telah didirikan pada tahun 1820 yang dikenali sebagai Pondok Tok Pulai, di Kelantan.  Ada penpadat menyatakan bentuk pengajian pondok adalah berasal dan dipengaruhi sistem pendidikan dari Mekah pada masa tersebut. Pengajian di pondok adalah secara percuma dan terbuka kepada semua orang Melayu yang beragama Islam. Kebiasaannya para pelajar akan menyambung pengajian di pondok setelah mereka tamat belajar di sekolah al-Quran di kampung masing-masing.

Guru-guru sekolah pondok biasanya mendalami pengajian di Mekah selama beberapa tahun dan mempunyai kebolehan serta berpengetahuan dalam cabang ilmu Islam tertentu dan inilah yang akan disampaikan kepada para pelajar yang mengikuti pengajarannya di pondok yang menjadi tempat guru berkenaan menyumbangkan baktinya. Tokoh-tokoh yang menjadi guru dalam institusi pengajian pondok kebanyakan di kalangan Kaum Tua. Ada di antara mereka pernah mendalami pengajian di Mekah sepert Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Sayid Abdul Rahman (Tokku Paloh), dan Muhammad Yusoff bin Ahmad (Tok Kenali).

Kemudian di akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, golongan reformis Islamis yang dikenali dengan Kaum Muda yang mendapat pendidikan di Timur Tengah telah membawa pemikiran Pan-Islamisme. Mereka menubuhkan madrasah-madraasah di sekitar ibu kota di Tanah Melayu. Madrasah pertama didirikan pada 1907 iaitu di Singapura yang dikenali sebagai Madrasah Al-Iqbal. Sistem pendidikan madrasah lebih sistematik berbanding sekolah pondok dengan mengikuti sistem pendidikan di Timur Tengah terutamanya dari Mesir.

Ketika campur tangan Inggeris di negeri-negeri Melayu setelah 1874, maka keperluan untuk melahirkan suatu generasi baru yang dapat menerima pengaruh Inggeris dan suatu barisan calon pentadbir dirasakan amat mendesak. Selari dengan sistem pelajaran dalam bahasa anak negeri yang meningkat itu ada juga dijalankan usaha-usaha tidak tersusun bagi memberikan kemudahan pelajaran yang khas kepada putera raja-raja dan pembesar-pembesar sebagai sebahagian daripada suatu dasar umum ke arah mencapai tolak ansur dan pemakaian golongan atasan tradisional. Pentadbiran negeri masing-masing menyediakan tempat bagi anak-anak Melayu di kalangan kerabat diraja di sekolah-sekolah Inggeris kerajaan di Perak, Selangor dan Negeri-negeri Selat. Di sekolah-sekolah inilah mereka diajar dalam bahasa Inggeris dan kemudiannya memasuki peperiksaan bagi mendapatkan sijil persekolahan Junior Cambridge. Selain itu mereka juga diberikan latihan praktikal dalam urusan pentadbiran tanah.

British melalui Persidangan Residen-Residen pada tahun 1903 bercita-cita mahu menubuhkan sebuah sekolah pusat berasrama penuh bertujuan melahirkan calon-calon pegawai awam Melayu ini. Residen General W.H. Treacher percaya “Sekolah Berasrama Penuh Melayu (Malay Residential School)” itu sebagai anak kunci zaman baru dalam sejarah kemajuan orang Melayu. Fungsi utama yang diharapkan oleh kerajaan daripada sekolah tesebut bukan untuk menghasilkan kerani tetapi menghasilkan bakal-bakal pegawai pentadbiran awam. Pada tahun Januari 1905, sebuah sekolah berasrama penuh dibuka di Kuala Kangsar, yang kemudiannya pada tahun 1909 dipindahkan ke bangunan yang lebih baik dan ditukarkan namanya kepada Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

Melalui sistem pendidikan ini, British telah memberikan sebahagian besar peluang kepada orang Melayu golongan atasan. Hasilnya timbullah suatu kumpulan pemimpin Melayu yang baru, berpengetahuan Inggeris dan banyak dipengaruhi cita-cita pemerintahan dan acuan sosial cara Barat.

Kemudian, satu lagi polisi penjajah British ialah mewujudkan begitu banyak sekolah-sekolah anak negeri (Sekolah Melayu). Untuk mengisi keperluan guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah Melayu ini, British telah menubuhkan sebuah pusat melatih guru-guru ini yang dinamakan Maktab Latihan Sultan Idris

(MSI) di Tanjung Malim pada tahun 1922. Pelajar-pelajarnya diambil daripada sekolah-sekolah anak negeri di kampung-kampung melalui ujian peperiksaan. Maktab Sultan Idris ini berbeza dengan MCKK pada sifat kuliahnya. MCKK mendidik anak kelas pemerintah yang tradisional dan orang-orang kaya bagi membolehkan mereka mengikuti kuliah untuk dunia berbahasa Inggeris dalam jabatan-jabatan pentadbiran dan pemerintahan. Manakala MSI mendidik anak-anak tani dan orang-orang miskin bagi membolehkan mereka menjadi guru-guru untuk kembali ke dunia berbahasa Melayu di alam perguruan di sekolah Melayu di kampung-kampung.

Walau bagaimanapun, ramai di kalangan penuntut MSI yang kebanyakan adalah dari keluarga petani dan nelayan adalah pandai dan berkebolehan.Mereka merasakan mata pelajaran rasmi yang diajarkan kepada mereka begitu sempit sehingga tidak sesuai dan tidak cukup bagi kegunaan dunia moden. Menurut anggapan mereka, mereka diperdayakan dengan pemberian pendidikan nilai rendah yang hanya layak bagi kegunaan peladang dan petani.

Sungguh pun banyak sekolah-sekolah melayu didirikan oleh penjajah untuk anak-anak Melayu bawahan namun kebanyakan orang-orang Melayu tidak percaya kepada pelajaran anjuran pemerintah pada peringkat awalnya. Para ibu bapa Melayu khuatir bahawa anak-anak mereka nanti akan ditarik daripada Islam masuk ke agama asing yang ada hubungannya dengan orang-orang Inggeris. Mereka lebih bersedia menghantar anak-anak mereka berbatu-batu jauhnya untuk belajar membaca al-Quran. Sebagai contoh, sebuah laporan daripada Pegawai Daerah di di Temerloh pada 1905 menyatakan terdapat sebuah sekolah Quran yang ramai anak muridnya di Kampung Lipat Kajang dan para pemuda Melayu berduyun-duyun datang dari segenap pelusuk negeri. Setiap tahun ada pula sebilangan besar pemuda daerah teresebut yang pergi ke Patani dan Kedah untuk mendapatkan ajaran agama di peringkat lebih tinggi. Untuk menghilangkan kekhuatiran ini, kerajaan penjajah British melancarkan sistem melantik guru-guru Quran untuk mengajar membaca Quran , setelah berakhirnya pelajaran sesi pagi. Pengajaran Quran hanya terhad pada pembacaan al-Quran secara tradisional semata-mata, dianggap oleh orang-orang Inggeris seperti mana pelajaran membaca kitab Injil di sekolah-sekolah Inggeris.

Walau bagaimana pun, untuk sekolah anak negeri ini, British mempunyai matlamat yang berbeza iaitu hanya untuk meninggikan lagi moral dan kebendaan orang-orang Melayu sahaja. Seperti mana pernah dikatakan oleh Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Bersekutu pada tahun 1920:

“Tujuan kerajaan bukannya untuk mengeluarkan segelintir pemuda yang terpelajar dan bukan juga mengeluarkan kanak-kanak terpelajar melainkan sebenarnya untuk memperbaiki keadaan sebahagian besar rakyat dan untuk menjadikan anak-anak nelayan dan petani sebagai nelayan dan petani yang lebih cerdik daripada bapa-bapa mereka dan menjadikan mereka juga manusia yang dengan pelajaran mereka boleh memahami bagaimana jalannya tugas hidup mereka dapat disesuaikan dengan kehidupan sekeliling.”

Oleh demikian, sekolah-sekolah Melayu hanya sekolah rendah di kampung-kampung yang mempunyai kelengkapan terbatas. Kurikulumnya hanya sekadar menghasilkan pelajar yang boleh membaca, menulis dan mengira. Tahap pendidikan hanya sehingga darjah empat atau lima. Rekod pada tahun 1920 menyatakan bahawa British Malaya memiliki 757 buah sekolah Melayu dan memiliki 46,000 orang murid (yang hanya merangkumi 12 peratus daripada jumlah kanak-kanak berumur 5 hingga 15 tahun). Perbelanjaan negara untuk sekolah melayu hanyalah 1.5% daripada seluruh hasil negara.

Akibat daripada polisi pendidikan penjajah ini, anak-anak Melayu telah melalui sistem pendidikan yang berbeza-beza antara satu dengan yang lain yang menghasilkan tiga golongan Melayu yang berbeza aspirasinya. Pertama, sistem pendidikan Islam sama ada menerusi institusi pondok, madrasah atau pendidikan dari Timur Tengah yang melahirkan suatu kumpulan yang memperjuangkan Islam. Mereka kebanyakannya berasal dari kota-kota besar di Tanah Melayu dan negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu namun jumlah mereka sedikit. Kedua, sistem pendidikan Inggeris dan sekolah-sekolah elit seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) melahirkan suatu kumpulan pentadbir pro-British dan pegawai-pegwai kerajaan berjawatan rendah yang juga sedikit jumlahnya. Dan yang ketiga, sistem pendidikan sekolah Melayu yang melahirkan pemuda-pemuda Melayu yang tiada hubunganya dengan cita-cita keislaman melainkan mempunyai semangat antikolonial yang tinggi.  Jumlah mereka sangat ramai yang kebanyakannya yang terdiri daripada guru-guru dan jurnalis-jurnalis yang berada di seluruh tanah melayu.

Dengan demikian, strategi pendidikan daripada penjajah ini membawa pemikiran sekular terutamanya generasi muda Melayu yang belajar sama ada di sekolah-sekolah Inggeris atau di sekolah-sekolah Melayu. Mereka dididik dengan pemikiran yang jauh daripada pemikiran Islam. Al-Quran hanya dibaca seperti mana membaca kitab injil bukan untuk difahami dan diterapkan dalam kehidupan. Akhirnya, majoriti anak-anak Melayu ketika era tesebut berpemikiran sekular dan hanya memahami fahaman barat seperti Demokrasi dan Kapitalisme.

Sumber :

  1. Ramli Saadon, Khairi Ariffin & Ishak Saat, Perkembangan Pendidikan orang Melayu di Malaya sebelum kemunculan Western-Type-Education, Jurnal Perspektif Jil. 8 Bil. 2(79-96), UPSI.
  2. William R. Roff, Nasionalisme Melayu (terjemahan buku) , Penerbit Universiti Malaya.

6. Konspirasi Keenam : Menghapuskan gerakan-gerakan politik Islam yang anti penjajah dan mahu menegakkan Daulah Islam.

Sarekat Islam

Jika Indonesia terkenal dengan gerakan politik Sarekat Islam yang menentang penjajah Belanda, di Tanah Melayu gerakan politik Sarekat Islam turut wujud seperti di Terengganu dan Pahang pada 1920an, namun tarikh yang tepat tentang penubuhannya tidak dapat diketahui. Sarekat Islam di Terengganu ditubuhkan oleh Sayyid Abdul Rahman yang berasal dari keturunan kerabat diraja Siak. Beliau sebelum itu bergiat aktif dalam Sarekat Islam di Indonesia. Beliau telah dibuang negeri oleh Belanda lalu kemudian datang ke Tanah Melayu. Di Kuala Besut Sarekat Islam dipimpin oleh Haji Wan Osman yang berasal dari Patani. Di Kemaman, Sarekat Islam dipimpin oleh Sayyid Osman bin Sayyid Husin.

Sarekat Islam terlibat dalam dalam banyak gerakan anti-British dan yang paling terkenal ialah kebangkitan Patani 1928 di Kuala Berang dan Hulu Telemong, Terengganu. Kebangkitan tersebut dipimpin seorang ulama iaitu Haji Abdul Rahman Limbong. Antara punca kebangkitan itu disebabkan undang-undang yang diperkenalkan oleh British mengancam akidah umat Islam. Selain itu, undang-undang pembukaan tanah yang bertentangan dengan hukum ihya-ul mawat (menghidupkan tanah) dalam Islam turut menyemarakkan kemarahan umat Islam di Terengganu. Namun kebangkitan itu berjaya dipatahkan oleh British dan Haji Abdul Rahman Limbong dibuang negeri ke Mekah.

Sarekat Islam dianggap sebagai kongsi gelap atas alasan gerakkannya tidak didaftarkan. Sayyid Osman telah dipanggil oleh pihak kerajaan Terengganu dan disoal siasat kerana  tindakannya menubuhkan Sarekat Islam yang bercanggah dengan Pengisytiharan kerajaan Terengganu yang lebih awal iaitu pada tahun 1hb Rabiul akhir 1336H (1917M). Antara pengisytiharan itu berbunyi: “Jikalau siapa-siapa yang hendak membuat kumpulan atau himpunan(kelab) itu hendaklah terlebih dahulu dimaklumkan dan diterangkan kepada kerajaan akan peraturan atau perjanjian setia kumpulan, kelab, itu. Jikalau siapa-siapa membuat atau mendirikan kumpulan dengan tidak mendapat kebenaran kerajaan akan dihukumkan kesalahan atas mereka itu didenda sehingga $1,000 atau setahun jail (penjara) demikian adanya.”

Di atas kesalahan itu Sayyid Abdul Rahman ditangkap dan dihadapkan di Mahakmah. Pada ketika itu, Penasihat British telah pun diletakkan di Terengganu sejak tahun 1919. Hakim mahkamah Besar mengalami masalah kesamaran tentang Pengisytiharan tersebut bagi kes Sayyid Abdul Rahman lalu merujuk masalah tersebut kepada Penasihat British. Penasihat British dalam menghuraikan masalah ini menegaskan bahawa kumpulan atau kelab yang dimaksudkan itu ialah yang ditegah oleh undang-undang. Dengan itu setiap kumpulan hendaklah mendpat kebenaran daripada kerajaan. Sekiranya ada sesiapa yang melanggar atau menubuhkan kumpulan tanpa kebenaran boleh dihukum.

Walau bagaimanapun, akhirnya Sayyid Abdul Rahman dibebaskan dan kemudian beliau tidak lagi aktif dalam Sarekat Islam. Begitu juga Sayyid Osman yang dibebaskan selepas soal siasat dijalankan. Sejak itu, Sarekat Islam beransur-ansur menjadi lemah dan gerakan politiknya terhenti pada 1930an.

Hizbul Muslimin

Walaupun, perjuangan Islam semakin lemah akibat tekanan daripada kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu yang didalangi oleh BRitish selepas tahun 1920an, namun perjuangan Islam tidak pernah padam. Selepas Perang Dunia Kedua, umat Islam di Tanah Melayu membuat gerakan politik selepas Jepun keluar dari Tanah Melayu yang dikenali dengan Majlis Agama Tertinggi (MATA) yang ditubuhkan pada 24 MAc 1947. Pergerakan Islam ini sangat aktif  di Gunung Semanggol, Perak dan berpusat di Maahad al-Ihya al-Syarif. Pengetua Maahad tersebut  ialah Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Ustaz Abu Bakar antara pelopor kepada gerakan MATA.

Kemunculan gerakan Islam MATA sentiasa di bawah pemerhatian British. British melaporkan penganjuran satu mesyuarat di rumah Sayyid Ibrahim bin Omar al-Sagoff di Singapura bagi membentuk sebuah parti politik Islam. Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh Kiyai Haji Mashoor Azahari, seorang pemimpin Masyumi (Majlis Syuro Muslimin) di Indonesia dan beberapa individu lain termasuklah Dr. Burhanuddin al-Helmy selaku Penasihat Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Sardon Jubir selaku Presiden Persatuan Melayu Singapura dan Abdullah Yahya selaku Pengerusi Jawatankuasa Anti-Pemisahan Palestin Singapura. Pada 19 Februari 1948, Kiyai Haji Mashoor Azahari dilaporkan telah melawat Ustaz Abu Bakar al-Baqir, wakil MATA di Gunung Semanggol. MATA juga dilaporkan telah menjemput beliau untuk menghadiri Kongres MATA yang akan diadakan pada 13 Mac 1948. Beliau bukan sahaja memberikan persetujuan untuk menghadiri kongres tersebut, malah turut bersetuju untuk menyampaikan ceramah berkenaan pembentukan parti politik Islam.

Jawatankuasa Kongres MATA telah menjemput semua orang Melayu yang menganggotai pelbagai pertubuhan dan parti politik Melayu termasuklah UMNO dan PKMM. British turut melaporkan kejayaan penganjuran  Kongres MATA dari 13hb hingga 16hb Mac 1948 yang dihadiri oleh 5,000 peserta di kalangan orang-orang Melayu. Resolusi penting yang dicapai oleh Kongres tersebut ialah pembentukan sebuah parti politik Hizbul Muslimin yang beribu pejabat di Johor Bahru. Barisan pemimpin Hizbul Muslimin (HM) terdiri daripada Ustaz Abu Bakar al-Baqir (Ketua Umum), Haji Ariffin bin Haji Alias (Ketua Satu) dan Daud bin Jamil (Keiua Dua). Menurut laporan British, HM juga disyaki mempunyai bekerjasama dengan Masyumi  yang mempunyai ramai pengikut di Indonesia.

HM telah mengeluarkan satu perkeliling berkenaan matlamat mereka. Antara isi perkeliling tersebut adalah mengenai cita-cita HM ke atas Tanah Melayu iaitu:

  1. Mencapai kemerdekaan dan kedaulatan untuk bangsa dan negara Tanah Melayu.
  2. Mewujudkan Pan-Islamisme.
  3. Menjadikan Tanah Melayu sebagai Darul Islam (Negara Islam).

Sejak penubuhan Hizbul Muslimin, British sentiasa memerhatikan gerak geri Ustaz Abu Bakar dan melaporkannya kepada bahagian risikan. HM berjaya menubuhkan cawangan-cawangannya di pelbagai negeri di Tanah Melayu. Malah ada beberapa ahli utama dalam UMNO meletakkan jawatan dan masuk ke dalam HM. Sokongan terhadap HM sangat meluas ketika itu kerana ideologi Islamnya mampu menarik sokongan yang ramai di kalangan orang Melayu daripada pelbagai kelas. Sehingga British beranggapan pergerakan HM boleh mengancam keselamatan melalui perjuangan politik bercorak agama yang boleh menarik sokongan UMNO dan PKMM.

Pada 29 Julai 1948, pemimpin tertinggi HM telah ditangkap di bawah Undang-undang Darurat oleh British di Melaka termasuklah Ustaz Abu Bakar, Ustaz Abdul Rab Tamimi dan Ustaz Abdul Rauf.  Menurut British, mereka berdua merupakan “musuh kerajaan dan musuh raja-raja yang terkenal”, malah terlibat dalam hampir semua organisasi politik berhaluan kiri. Dalam kes Ustaz Abu Bakar al-Baqir, beliau juga didapati terlibat dalam kegiatan kesusasteraan anjuran komunis ketika ditahan. Ustaz Abdul Rauf bin Ahmad pula dianggap sebagai seorang yang kasar dan bersikap antikerajaan dan antiraja.

Padahal pada 28 Julai 1948, iaitu sehari sebelum penangkapan tersebut, Ustaz Abu Bakar al-Baqir selaku Presiden Hizbul Muslimin telah menulis surat kepada Pesuruhjaya Jeneral British bagi mengisytiharkan bahawa Hizbul Muslimin sebenarnya merupakan sebuah parti politik Islam yang berasaskan agama Islam, dan Hizbul Muslimin sendiri berusaha untuk mencapai matlamat perjuangan melalui jalan keamanan dan saluran perlembagaan kerana Islam sendiri tidak pernah mengiktiraf keganasan. Kemudian British mengeluarkan satu undang-undang baru iaitu Ordinan Pertubuhan yang menghalang kebebasan dalam politik sekaligus menyebabkan HM dibubarkan.

Tindakan British ini sangat berbeza dengan parti politik yang bersifat nasionalisme seperti Kesatuan Melayu Singapura dan UMNO. Kesatuan Melayu singapura merupakan parti politik berasaskan nasionalisme Melayu pertama ditubuhkan pada 1926. KMS dipimpin oleh En Mohd Eunos Abdullah, seorang intelektual Melayu berpendidikan Inggeris. Dia pernah menjadi pengarang Utusan Melayu dan pernah dilantik oleh British menjadi penasihat dan orang kepercayaan pemerintah berhubung hal ehwal Melayu di Singapura. Pada tahun 1922 beliau dilantik sebagai ahli suruhanjaya perbandaran dan pada tahun 1924 menjadi wakil penduduk dalam Majlis undangan Negeri-negeri Selat. Tujuan KMS ini ialah untuk menggalakkan anggotanya memainkan peranan yang lebih besar dalam urusan-urusan umum dan pentadbiran, memperjuangkan kemajuan dan kepentingan Melayu dalam politik serta pelajaran.

Namun, KMS tidak bersifat antikolonial dan tidak ada cita-cita untuk memerdekakan Tanah Melayu daripada penjajah. Malah sepanjang sejarahnya KMS ternyata bersikap taat setia dan bekerjasama dengan pemerintah, mengadakan jamuan-jamuan teh untuk meraikan kedatangan gabenor, memberi ikrar taat setia dan menyusun perayaan yang sesuai bagi menyambut hari-hari besar diraja Inggeris. KMS bergerak secara rasmi dan  berdaftar dengan pemerintah British. Aktiviti-aktivitinya tidak dihalang oleh penjajah British. Pada tahun 1954, KMS bergabung dengan UMNO dalam Parti Perikatan Singapura.

Umum mengathui, UMNO ditubuhkan pada 1946 oleh Dato Onn Jaafar untuk menentang penubuhan Malayan Union. Dato Onn Jaafar yang mendapat pendidikan sekolah Melayu dan kemudian menyambung pelajaran di England. Beliau pernah bekerja di Pejabat Daerah Batu Pahat ketika era penjajahan British dan menjadi Menteri Besar Johor pada tahun 1947. Sepanjang sejarah politik UMNO sebelum merdeka, British tidak pernah menghalang akviti-aktiviti UMNO , malah membantu UMNO mencapai kemerdekaan di Tanah Melayu.

Berdasarkan fakta-fakta ini, jelaslah bahawa penjajah British memusuhi Islam dan sangat takut sekiranya umat Islam bergerak secara politik di atas platform parti politik. Sejak kejatuhan Khilafah, gerakan-gerakan politik Islam yang mahu menerapkan syariah dan mendirikan daulah Islam di Tanah Melayu telah dibasmi oleh British melalui undang-undang yang mereka ciptakan. British mereka-reka berbagai alasan ke atas gerakan Islam seperti tuduhan melakukan keganasan, kongsi gelap, menentang raja dan membawa fahaman komunis sebagai helah supaya umat Islam menentang gerakan Islam.

Khatimah

Setelah dihuraikan tentang langkah-langkah British daripada mengubah sistem pemerintahan orang-orang Melayu, menghalangkan pengaruh Khilafah,  mengawal aktiviti haji, pendidikan  sekular sehingga mengawal parti politik mereka, ternyata konspirasi British berjaya menjauhkan umat Islam terutamanya orang-orang Melayu daripada penghayatan dan perjuangan Islam yang sebenar. Kesannya kita dapat lihat pada hari ini majoriti orang-orang Melayu Islam lebih mengagungkan pemikiran barat seperti Demokrasi, hak asasi manusia dan Kapitalisme berbanding pemikiran yang terbit daripada akidah Islam seperti Syariah dan Khilafah. Namun begitu, akibat kepincangan sistem demokrasi dan sistem ekonomi kapitalisme era ini umat Islam di serata dunia kembali membincangkan keunggulan syariah dan Khilafah. Mereka meyakini bahawa Khilafah akan bangkit semula dalam masa terdekat dan umat Islam kembali kepada kedudukan asalnya yang mulia. Segala perancangan dan konspirasi penjajah British akan menemui pengakhirannya.

وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

Dan mereka merancang(konspirasi), Allah juga merancang(membalas konspirasi),Dan ALLAH sebaik-baik Perancang(membalas konspirasi).”

[Al- Imran: ayat 54].

 sumber:

  1. Abdullah Zakaria b. Ghazali, SAREKAT ISLAM DI TERENGGANU, Persatuan Sejarah Malaysia, 1977.
  2. Abu Hanifah Haris, REAKSI BRITISH TERHADAP KEGIATAN MAJLIS AGAMA TERTINGGI (MATA) DAN HIZBUL MUSLIMIN DI TANAH MELAYU,1948-1949; Malaysia dari segi Sejarah bil 42-2014.

William R. Roff, Nasionalisme Melayu (terjemahan buku) , Penerbit Universiti Malaya.