Kudeta Mesir : Sampai Bila Umat Islam Akan Berbalah Angkara Demokrasi?
Ada yang mencemuh, dan tidak kurang pula ada yang menyokong tindakan yang diambil oleh tentera. Namun yang pasti, insiden kudeta ini akan dipergunakan oleh pemerintah (yang dijatuhkan ini) untuk menarik perhatian dan simpati rakyat supaya terus setia terhadap mereka tanpa berbelah bahagi. Sebagai umat Islam, peristiwa yang berlaku ini perlulah diambil iktibar agar ia menjadi pengajaran bagi kita semua. Apa yang berlaku di Mesir ini telah banyak memberi pengajaran bahawa:
Pertama, sistem demokrasi memang akan memberi peluang kepada umat Islam untuk berkuasa, tetapi ia tidak akan pernah sekali-kali memberi peluang kepada umat Islam untuk menerapkan Islam secara kaffah (keseluruhan) dalam negara.
Kedua, Islam tidak akan sekali-kali dapat diterapkan melalui jalan demokrasi, lebih-lebih lagi jika pemimpin yang menaiki tampuk pemerintahan ini merupakan agen Barat mahupun yang mendapat restu daripada musuh-musuh Islam.
Ketiga, adalah sangat penting untuk membina pandangan umum (public opinion) di kalangan umat agar kesedaran mereka hanya mengarah kepada Islam semata-mata di samping menghambat atau menyekat mana-mana pihak yang cuba menyeru kepada perkara-perkara selain daripada Islam. Ini adalah untuk menjamin supaya negara yang didirikan bukan sahaja akan dijaga oleh pemerintah, malah didukung dan disokong oleh seluruh warganegara daulah secara umumnya.
Keempat, adalah mustahil untuk mengekalkan kekuasaan pemerintahan sekiranya ahlul quwwah (pemilik kekuasaan/persenjataan) seperti tentera tidak sehaluan untuk bersama-sama dengan pemerintah. Ini ditambah burukkan lagi sekiranya ahlul quwwah ini terdiri daripada individu-individu yang menumpahkan taat setia mereka kepada kaum kuffar dan musuh umat Islam seperti Amerika dan para sekutunya.
Inilah antara sebahagian daripada iktibar kepada kita terhadap apa yang berlaku supaya kita merenung dan memuhasabah kembali dasar serta jalan perjuangan yang sedang ditempuh oleh para pejuang Islam agar memastikannya supaya selari dengan thariqah (jalan) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Apa yang telah berlaku semalam telah pun menjadi catatan sejarah hitam buat umat Islam. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku di Algeria, Turki dan Mesir. Tidak sepatutnya seorang Muslim dipatuk daripada lubang yang sama sebanyak dua kali. Kembalilah semula kepada jalan yang telah ditunjukkan oleh contoh yang terbaik buat kita yakni junjungan Muhammad saw. Wallahu a’lam.
Rujukan : Utusan Online, 05 Julai 2013