Kuliah Ilmu dan Pameran Khilafah di Perlis Indera Kayangan
Program yang julung kali diadakan ini membawa tajuk ”Islam Rahmatan Lil A’lamin” . Kuliah Ilmu ini telah disampaikan oleh salah seorang Aktivis Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia. Beliau telah memberikan penjelasan mengenai Islam yang sebenarnya mengikut hukum syara’, dan bagaimana pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan di masa Kekhilafahan Islam suatu ketika dahulu, ketika umat Islam benar-benar merasai Islam itu sebagai Rahmatan lil ‘Alamin (Rahmat ke seluruh Alam) kerana adanya penerapan Islam di dalam seluruh aspek pemerintahan dan kehidupan.
Penyampaian beliau juga dikaitkan dengan menunjukkan fakta-fakta dari realiti kehidupan hari ini bagaimana umat Islam masa kini diselubungi seribu satu masalah akibat tiadanya penerapan Islam dalam secara menyeluruh. ditambah lagi dengan bukti dari media cetak tentang gejala sosial yang semakin membimbangkan akibat tidak diterapkan sistem Islam. Pembentang menyeru kepada para hadirin agar menjadikan Islam itu sebagai suatu kewajipan dan bukannya sebagai suatu pilihan. Maka dengan itu tugas untuk mengembalikan Sistem Islam (Daulah Khilafah) yang telah runtuh suatu ketika dahulu merupakan tanggungjawab yang terbeban ke atas bahu semua umat Islam. Oleh yang demikian, kesejahteraan umat Islam akan kembali terjamin dan terbela dengan adanya penerapan Islam secara Kaffah (keseluruhan) sepertimana firman Allah Subhanahu wa Taala: “Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagimu.”[TMQ Al Baqarah (2) : 208]
Majlis diakhiri dengan doa penutup serta edaran Nasyrah dan majalah terbitan bulanan MHTM kepada para hadirin. Di kesempatan ini, pihak MHTM ingin merakamkan seribu penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Kerja MHTM kawasan Perlis yang bertungkus lumus mencurahkan tenaga bagi menjayakan program ini. Begitu juga jutaan terima kasih diucapkan kepada para hadirin yang sudi melapangkan masa bagi menghadiri majlis seperti ini. Semoga sumbangan bakti ini di kira sebagai satu amal soleh yang akan di balas dengan ganjaran Jannah di kemudian hari kelak sebagaimana janji Allah Subhanahu wa Taala kepada pendokong agama ini : “ Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”. [TMQ Surah Muhammad (47) : 7]
Wallahu ‘alam