Kumpul Duit Dengan Melakukan Maksiat
Walaupun pelayan wanita tersebut menangis semasa ditangkap, tiada lagi pertimbangan dosa dan keharamannya di sisi hukum Islam semasa dia melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Walaupun mungkin dia tiada pilihan, melacur untuk mengumpul wang untuk menampung kos kenduri kahwin adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Samada pelayan mahupun pelanggannya, masing-masing merasa bebas berbuat apa sahaja dan inilah yang kononnya dikatakan hak asasi. Hak untuk berfikir dan bertingkah laku dipandu mengikut hawa nafsu. Kebebasan dan hak asasi sebegini sememangnya dibenarkan di dalam sistem kehidupan yang mengambil sekularisme dan libelarisme yang menafikan peranan agama di dalam mengatur kehidupan manusia. Hakikatnya sistem sekularisme telah mewarnai kehidupan masyarakat kita sehingga jauh terpesong daripada ajaran Islam yang sempurna.
Jika si wanita ini dianggap bersalah dan berdosa kerana melacurkan diri, siapakah pula yang patut dipersalahkan jika premis dan aktiviti pelacuran dibiar terus berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan? Bukankah pemerintah bertanggungjawab menjauhkan umatnya dari segala bentuk kemaksiatan dan perlanggaran hukum Allah SWT dan sekaligus menjaga kebajikan dan prihatin akan masalah yang menimpa mereka?
Keadaan ini jauh berbeza dengan apa yang telah diperlakukan oleh seorang penguasa Islam iaitu Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz. Dikisahkan pada waktu itu jumlah mereka yang membayar zakat sentiasa meningkat manakala jumlah yang menerima zakat semakin berkurang bahkan pada suatu masa ketika itu, tiada yang layak untuk menerimanya. Keadaan ini menyebabkan negara di bawah pimpinan Khalifah Umar mengalami lebihan peruntukan dan akhirnya ianya dialihkan kearah subsidi sosial dalam bentuk pembiayaan keperluan dasar yang sebenarnya tidak menjadi tanggunggan negara seperti pembiayaan perkahwinan. Malah beliau telah mengarahkan diumumkan bahawa negara akan menanggung seluruh pembiayaan perkahwinan bagi mereka yang hendak berkahwin di usia muda. Sungguh makmur sekali kehidupan umat di bawah pemerintahan pemimpin yang bertakwa seperti Umar. Mungkinkah sejarah kegemilangan tamadun Islam itu akan berulang lagi nanti?
Ayuhlah umat Islam! Teruskan usaha dakwah anda untuk mengingat dan menyedarkan yang lain akan kewajipan menerapkan sistem kehidupan Islam dan bahawasanya tanggungjawab seorang pemerintah adalah memelihara dan menguruskan kehidupan umatnya dengan hukum Islam. Tanggungjawab berat ini pasti akan dipertanyakan oleh Allah di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan ditanya berkenaan kepimpinannya. Seorang amir (pemimpin) yang menguruskan hal ehwal masyarakat adalah pemimpin, dan ia akan disoal berkenaan urusan kepimpinannya” (HR at-Tirmidzi)
Rujukan:[email protected] 2012/02/22