Kunjungan ukhuwah HTM perjelas pendirian isu Rohingya

Bersama wakil Aman Palestin, Tuan Anaz

BANGI, 21 September – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengadakan siri kunjungan ukhuwah ke Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi serta NGO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Aman Palestin di sini hari ini.

MAPIM Selangor

Dalam lawatan tersebut, dua anggota HTM, Ustaz Umar Hussein dan Abu Syahid menjelaskan pendirian HTM berhubung krisis yang melanda Muslim Rohingya akibat kekejaman tentera rejim Myanmar dan pengganas Buddha di Arakan. Selain memberi penerangan, wakil HTM itu turut menyerahkan kenyataan media dan risalah khas Rohingya yang dikeluarkan oleh HTM, kepada wakil-wakil yang menyambut kunjungan tersebut.

Krisis di Arakan yang berlarutan selama berdekad-dekad sebelum memuncak semenjak tahun 2012 telah menyaksikan ribuan terkorban dan lebih 1.6 juta orang Muslim Rohingya menjadi pelarian di pelbagai negara, menurut laporan UNHCR. HTM secara konsisten menyeru supaya tentera kaum Muslimin digerakkan bagi menamatkan penindasan ke atas Muslim Rohingya dan menghentikan kezaliman tentera rejim Myanmar.

Pusat Khidmat ADUN Bangi

Dalam kesempatan yang sama, kedua-dua anggota HTM tersebut turut memaklumkan dan mengundang Yang Berhormat ADUN Bangi, pimpinan MAPIM dan Aman Palestin untuk menghadiri International Khilafah Conference Kuala Lumpur 2017 (IKCKL 2017) yang akan diadakan oleh Hizbut Tahrir di Hotel De Palma, Ampang pada 9 Disember 2017.