Lantikan Politik: Amanah Yang Dijadikan Habuan Memancing Kesetiaan

Ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR 2025 pada 24/05/2025, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa lantikan politik bukanlah satu bentuk penyalahgunaan kuasa, tetapi satu bentuk penghargaan kepada individu yang telah berjasa kepada perjuangan parti. Beliau menegaskan bahawa tidak salah untuk melantik individu yang telah banyak berkorban sewaktu parti berada di luar kuasa, dengan syarat ia tidak disalahguna untuk memperkayakan diri.

Kenyataan ini disambut baik oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh, yang menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan kepada amalan kerajaan terdahulu. Beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana akhirnya memahami bahawa lantikan politik bukanlah satu kesalahan, tetapi merupakan hak dan amalan biasa sesebuah kerajaan.

Begitulah realiti sesebuah parti politik yang berkuasa di Malaysia sejak dulu hingga kini, yang sama sahaja ‘perangai’nya. Jika semasa menjadi pembangkang bukan main lantang menentang lantikan politik, namun apabila menjadi kerajaan, mereka tanpa malu akan menjilat ludah sendiri.

Kenyataan Anwar ini tersasar jauh dari Islam yang mana sesuatu jawatan dalam Islam, apatah lagi sepenting jawatan pemerintahan, bukanlah alat untuk membalas jasa atau memberi ganjaran kepada penyokong yang berjasa kepada parti. Setiap Jawatan dalam pengurusan urusan rakyat merupakan satu amanah, bukannya hadiah politik. Melantik seseorang hanya kerana kesetiaan kepada parti atau kepada individu tertentu dalam parti, tanpa menilai kelayakan dan integritinya dari kaca mata Islam, adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah.

Pelantikan sebegini, selain jelas menunjukkan amalan kronisme dan nepotisme, yang suatu waktu dahulu ditentang habis-habisan oleh Anwar, sudah tentu membuka ruang kepada konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa. Ia juga hanya menambah senarai “cakap tak serupa bikin” yang sudah sinonim dengan ahli parlimen Tambun itu.

Kuasa bukanlah alat untuk memperkukuh sokongan dalam parti, atau untuk memberi habuan kepada orang yang telah berjasa kepada parti, sebaliknya, ia adalah amanah untuk mendaulatkan hukum Allah, yang mana tugas berat ini wajib dipegang oleh orang yang dinilai layak berdasarkan garis panduan Islam.

Kuasa juga bukanlah alat untuk menabur jawatan atau menebus kesetiaan, tetapi merupakan tanggungjawab yang akan dihisab oleh Allah (swt) dengan hisab yang berat. Ia bukanlah satu pertaruhan atau keistimewaan, sebaliknya akan menjadi kehinaan dan penyesalan kepada mereka yang bukan ahlinya. Sabda Rasulullah (saw) kepada Abu Dzar:

«يَا أَبَا ذَرّ إِنَّك ضَعِيف، وَإِنَّهَا أَمَانَة، وَإِنَّهَا يَوْم الْقِيَامَة خِزْي وَنَدَامَة إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا»

Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau adalah lemah. Sungguh jawatan itu adalah amanah dan sungguh ia menjadi kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali orang yang mengambil amanah itu dengan benar dan menunaikan kewajipan di dalamnya” [HR Muslim].

Sesungguhnya malapetaka menimpa umat Islam disebabkan oleh dua faktor utama iaitu pemimpin yang rosak dan sistem yang rosak. Pemimpin yang tidak layak, khianat, zalim dan sebagainya sudah tentu merosakkan umat. Begitu juga dengan sistem kufur yang datangnya dari Barat, yang bertentangan dengan Islam, juga sudah tentu merosakkan umat. Inilah dua faktor utama yang menjadi realiti pahit yang sedang dihadapi oleh umat Islam di negara ini dan di mana-mana negara kaum Muslimin, yang menyebabkan umat terus berada dalam penderitaan.

Atas dasar itu, penyelesaian untuk permasalahan umat adalah terletak kepada dua faktor utama ini, iaitu umat Islam wajib memiliki pemimpin yang baik, dan sistem yang baik. Pemerintah dalam Islam ialah Khilafah, manakala sistem pemerintahannya pula ialah Khilafah. Inilah pemimpin dan sistem yang baik. Dalam negara Khilafah, pelantikan untuk mana-mana jawatan dibuat berpandukan nas dan kelayakan seseorang yang dinilai berdasarkan hukum syarak. Tidak akan wujud sentimen kepartian sama sekali, kerana soal pemerintahan bukanlah soal balas budi, tetapi soal menerapkan hukum Allah, yang terbeban ke atas setiap orang yang memegang jawatan.

Justeru, umat Islam wajib menolak amalan lantikan politik atas dasar kepartian ini dan wajib berusaha mengembalikan sistem pemerintahan Islam yang akan memastikan semua urusan, termasuk pelantikan jawatan, dikendalikan mengikut hukum Allah, bukan menurut hawa atau kepentingan kelompok elit politik.