Laporan Seminar Muslimah Sempena Kempen Ramadhan Dan Perjuangan Hakiki; Daulatkan Syariah Tegakkan Khilafah
Seminar diteruskan dengan pembentangan dari panelis pertama, Ustazah Ummu Atiyyah yang telah membawakan pembentangan bertajuk “Muhasabah Taqwa Umat Menjalani Ramadhan”. Di dalam pembentangan ini, panelis mengetengahkan pelbagai persoalan dan realiti umat Islam dalam menjalani Ramadhan, iaitu lebih cenderung untuk menjalani ibadah bersifat ritual semata-mata, dan mengabaikan aspek siyasah (politik). Ini berbeza dengan amalan-amalan yang dijalankan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat Baginda, di mana mereka bukan sahaja hebat melipatgandakan ibadah pada bulan Ramadhan , malah gencar turun di medan jihad untuk menyebarkan risalah Islam sehingga benar-benar menjadi rahmatan lil ‘alamin. Beliau juga menekankan bahawa Islam perlu difahami sebagai sebuah ideologi (mabda’), iaitu akidah yang memancarkan sistem dan hukum-hukum syara’ yang terkait dengan kehidupan. Beliau turut menerangkan mengenai maksud ketaqwaan sebenar di dalam Islam yang lahir dari akidah Islam yang murni, iaitu ketundukan secara total terhadap seluruh hukum-hukum dan syariat Islam yang tidak terbatas kepada aspek ibadah, malah juga aspek siyasah (politik dan pengaturan hukum-hukum di dalam masyarakat).
Seminar berhenti rehat selama 20 minit di mana para hadirin berpeluang melawat pameran Sejarah Peradaban Islam dan booth jualan buku-buku Islami. Seminar diteruskan lagi dengan tayangan video “Ila Mata” (Rintihan Umat Islam, sampai bila?). Usai tayangan video, panelis kedua, Dr Insyirah Ameer pula membentangkan tajuk “Perjuangan Hakiki, Meraih Redha Allah”. Beliau memulakan pembentangannya, dengan pendedahan secara ringkas tentang sejarah umat Islam di bawah naungan daulah Khilafah selama lebih 1300 tahun, termasuk testimonial yang dikeluarkan oleh sejarawan-sejarawan bukan Islam yang mengakui kegemilangan umat Islam dan sumbangannya terhadap peradaban manusia berabad lamanya. Setelah itu, panelis turut membentangkan realiti umat Islam sejak runtuhnya daulah Khilafah pada tahun 1924. Beliau juga menerangkan punca masalah-masalah yang menimpa umat Islam hari ini dengan mengaitkannya dengan tiga pilar utama yang menopang tertegaknya Islam di dalam kehidupan, iaitu pilar individu, masyarakat dan negara. Kesimpulannya, umat Islam masih memiliki individu-individu yang bertaqwa dan segelintir masyarakat yang prihatin, tetapi kehilangan pilar paling utama iaitu negara yang menerapkan Islam secara kaffah di dalam kehidupan. Beliau menekankan bahawa perjuangan hakiki umat Islam ketika ini ialah untuk berjuang menerapkan Islam secara total di dalam kehidupan melalui institusi daulah Khilafah.
Seminar disambung lagi dengan tayangan video bertajuk Detik-detiknya Bangkitnya Khilafah dan The Global Call For Khilafah yang memuatkan aktiviti-aktiviti perjuangan Hizbut Tahrir di seluruh dunia dalam usaha mereka untuk menegakkan semula daulah Khilafah. Sessi soal jawab menyusul selama 30 minit dan dihangatkan dengan beberapa soalan dari para peserta seminar.
Seminar diteruskan dengan deklamasi sajak Pernah Suatu Ketika yang dideklamasikan oleh Ukhti Mashitah dan Ukhti Wardah. Bacaan doa penutup oleh Ukhti Jasmilah yang meruntun hati para peserta seminar mengakhiri seminar pada hari tersebut. Takbir yang dilaungkan hampir setiap slot seminar disambut beramai-ramai, bukan sahaja oleh urusetia program, malah para peserta turut sama menyambut seruan tersebut.
Pihak MHTM Cawangan Sandakan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung serta kepada peserta-peserta seminar yang menjayakan kempen dan seminar kali ini. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang sebaik-baiknya.
Wallahua’lam.