Latihan Menghadapi Pengganas Untuk Siapa?
BAGAN DATOH, 28 Mac – Unit Gerak Khas Komando akan turut terlibat dalam latihan menangani pengganas oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama negara-negara rantau Asia Tenggara mulai tahun ini. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum ini hanya anggota Tentera Darat terlibat menjalani latihan bersama yang diadakan setiap dua tahun sekali tersebut. Menurut beliau, selain Indonesia, ATM juga mengadakan kerjasama erat dengan Singapura dan Thailand dalam menangani isu pengganas.
“Sebelum ini, hanya anggota Tentera Darat yang terlibat dalam latihan bersama ini. Bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara-negara di rantau Asia Tenggara lebih terjamin, unit khas ini turut dilibatkan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia, 29/03/2010
Latihan Menghadapi Pengganas Untuk Siapa?
Dunia tak pernah diancam oleh pengganas mahupun unsur keganasan (terrorisme) melainkan selepas kejadian 11hb September 2001. Ajaran Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menjadi pengganas. Ternyata idea pengganas dan keganasan itu diperbesar-besarkan oleh barat terutama Amerika Syarikat (AS). Merekalah yang menuduh dan melakukan keganasan ke atas orang-orang yang enggan menurut kemahuan mereka. Setelah kejatuhan Soviet Union, Sasaran Amerika kini adalah umat Islam.
Jadi, latihan yang dikatakan untuk menangani pengganas itu adalah untuk siapa sebenarnya? Adakah untuk memuaskan hati AS? Seharusnya tentera kaum muslimin berlatih menyiapkan diri untuk bangkit dan menentang pengganas sebenar di Palestin, iaitu Israel. Itulah kewajiban sebenar yang mesti dipikul, bukannya latihan bersama dengan negera-negara yang amat jelas merupakan sekutu kuat barat seperti Singapura dan Thailand.
Awaslah wahai para pemimpin dan tentera umat Islam! Sesungguhnya kekufuran tidak pernah redha kepada Islam dan keimanan. Mereka sentiasa memeranginya dengan apa jua tindakan. Mereka sangat membenci kesatuan umat Islam di bawah suasana ketaqwaan dan persaudaraan. Kalian perlu sedar dan bangkit agar tidak diperalatkan oleh mereka untuk mengkhianati sesama umat Islam. Janganlah kalian taat kepada mereka, sesungguhnya kekuasaan dan kekuatan yang kalian miliki merupakan amanah dari Allah yang pasti akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukan dengannya di akhirat kelak. Awaslah jejak langkah kalian agar ia tidak mengheret kalian ke lembah kehinaan dan kehancuran baik di dunia mahupun di akhirat yang kekal.