Lawatan Obama ke Malaysia – Wajib Ditentang Bukan Ditatang!
Pentadbiran Obama tidak lain hanyalah sekadar penyambung polisi dan hegemoni AS di peringkat antarabangsa. Meskipun ada segelintir umat Islam yang menyambut baik pemilihan beliau selaku Presiden AS selama dua penggal, namun kita perlu sedar bahawa tangan pemimpin pertama AS yang berkulit hitam ini tetap berlumuran dengan darah kaum Muslimin, sama sepertimana bekas para pemimpin AS terdahulu sebelumnya.
Polisi serangan drone di Afghanistan dan wilayah Waziristan di utara Pakistan dilaporkan telah meragut hampir empat ribu nyawa. Serangan drone AS juga turut mensasarkan umat Islam di Yaman dengan helah kononnya perang anti-keganasan. Sehingga 31 Januari 2014, dilaporkan bahawa sebanyak 59 hingga 69 serangan drone telah dilakukan dan telah meragut lebih 400 nyawa umat Islam.2
Obama juga masih meneruskan polisi AS warisan Pentadbiran Bush Jr. di Afghanistan dan Iraq yang dilancarkan atas helah perang anti-keganasan yang telah dilancarkan sejak 2001 dan berlarutan sehingga ke hari ini. Di samping itu, Obama juga turut mengukuhkan sokongan AS terhadap kelestarian negara haram Israel dan telah menzahirkan sokongan tersebut dalam ucapannya pada tahun 2008 dalam sebuah persidangan anjuran American- Israel Public Affairs Committee (AIPAC).3
Sekiranya kita memerhatikan secara teliti perkembangan politik antarabangsa, kita akan dapati bahawa pengaruh AS sebagai sebuah kuasa adidaya kini sudah semakin melemah di segenap penjuru dunia. Di samping kegagalan demi kegagalan polisinya di Afghanistan, Iraq, dan Syria, AS juga semakin kehilangan pengaruh dalam mencorakkan percaturan politik di rantau Asia Tengah dan Eropah Timur.
Hal ini semakin ketara dalam perkembangan terkini di Ukraine apabila AS berdepan dengan usaha Rusia yang sedang melebarkan pengaruhnya di rantau tersebut. Kini AS berusaha untuk mengekalkan pengaruhnya di rantau Pasifik melalui pelbagai usaha termasuklah antaranya dari segi keselamatan, ketenteraan dan juga perjanjian perdagangan seperti Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) yang turut melibatkan Malaysia.
Selaku seorang Muslim, adalah tidak wajar sama sekali untuk kita menyambut kedatangan seorang pemimpin negara kuffar yang bergelumang dengan darah kaum Muslimin. Bahkan sewajarnya kita wajib untuk menolaknya sama sekali. Insya-Allah, dengan kembalinya Khilafah kelak, kekejaman negara Uncle Sam ini akan dapat dibalas dan pemimpinnya akan dihukum dengan hukum Allah atas jenayah perang yang dilakukannya terhadap seluruh umat Islam di segenap penjuru dunia.
Sumber:
1) Utusan Malaysia 12 Februari 2014: Obama Lawat Malaysia April Ini ( )
2) The Bureau of Investigative Journalism: January 2014 Update: US covert actions in Pakistan, Yemen and Somalia ()
3) “Transcript: Obama’s Speech at AIPAC”