Lihatlah OPR pada hukumnya, bukan pada naik turunnya
Beberapa hari ini kecoh berita mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang bakal dinaikkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tahun ini sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus, berbanding 2.75 peratus sekarang berikutan tekanan inflasi yang dijangka kekal pada 2023.
Jika berlaku, ini akan menjadi kenaikan kali kelima berturut-turut sejak Mei tahun lalu, berikutan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari negara.
Pakar ekonomi kapitalis sering membincangkan kebaikan dan keburukan kenaikan OPR terhadap negara dan rakyat. Bermacam alasan diberikan oleh BNM mahu pun pakar ekonomi terhadap kenaikan ini, yang mungkin dimengerti atau tidak dimengerti oleh rakyat.
Pokoknya, dalam negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis seperti Malaysia, jika berlaku ketidakstabilan ekonomi, atau atas alasan menyelamatkan ekonomi atau untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan seumpamanya, institusi yang paling awal akan diselamatkan ialah perbankan.
Perbankan ribawi merupakan nadi kepada ekonomi kapitalis, yang tanpanya runtuhlah keseluruhan ekonomi negara. Bank merupakan anak emas yang mesti diselamatkan terlebih dahulu dalam apa jua keadaan. Manakala rakyat, pandai-pandailah untuk hidup, dan jika rakyat “mati” sekali pun, negara peduli apa kerana yang penting ialah bank mesti terus hidup!
Sebagai Muslim, apatah lagi mereka yang terlibat dengan transaksi perbankan ribawi yang sudah pasti terjejas dengan kenaikan OPR, sudah masanya untuk melihat dan menilai sesuatu dari sudut pandang Islam semata-mata, bukan kepada sudut pandang manfaat atau kepentingan duniawi.
Sama ada seseorang Muslim itu faham atau tidak sepak terajang OPR, atau BLR atau BFR dan sebagainya, ini tidaklah penting, kerana apa yang ia wajib faham ialah kesemuanya merupakan riba. Tidak salah jika tidak memahami bagaimana OPR boleh naik atau turun atau apa kesannya kepada negara dan rakyat, tetapi yang salahnya ialah apabila terlibat dengan transaksi ribawi yang telah diharamkan oleh Islam dengan sangat tegas. Firman-Nya:
الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبا لا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبا وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبا فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَى فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), “Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba,” padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya” [Al-Baqarah (2): 275].
Firman-Nya seterusnya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُؤُوسُ أَمْوَالِكُمْ لا تَظْلِمُونَ وَلا تُظْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya” [Al-Baqarah (2): 279].
Sesungguhnya tidak ada dosa yang lebih berat daripada dosa riba, baik yang dinyatakan secara langsung oleh Allah (swt) di dalam Al-Quran atau pun dinyatakan oleh Rasulullah (saw) di dalam hadis baginda yang begitu banyak mengenainya. Antaranya:
دِرْهَمُ رِبَا يَأْكُلُهُ الرَّجُلُ وَهُوَ يَعْلَمُ أَشَدُّ مِنْ سِتٍّ وَثَلَاثِيْنَ زِنْيَةً
“Satu dirham riba yang dimakan seseorang, dan dia mengetahui (bahawa itu adalah riba), maka itu lebih berat daripada 36 kali zina” [HR Ahmad dari Abdullah bin Hanzalah].
الرِبَا ثَلاثَةٌَ وَسَبْعُوْنَ بَابًا أَيْسَرُهَا مِثْلُ أَنْ يَنْكِحَ الرَّجُلُ أُمَّهُ
“Riba itu mempunyai 73 pintu, sedangkan yang paling ringan (dosanya) ialah seperti seorang lelaki menzinai ibunya” [HR Ibn Majah].
Tidak ada bezanya di antara orang yang mengambil (memakan) riba, memberinya, atau hanya menjadi pencatat atau saksinya:
لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّباَ وَمُوْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ, وَقَالَ: هُمْ سَوَاءٌ
“Rasulullah (saw) melaknat orang memakan riba, yang memberi makan riba, penulisnya, dan dua orang saksinya. Baginda bersabda, “Mereka semua adalah sama” [HR Muslim].
Dengan ancaman yang begitu tegas, alangkah beraninya pemerintah Muslim melaksanakan sistem perbankan ribawi dan tidak kurang beraninya mereka yang terlibat secara langsung menyokong dan mendukung pemerintah dalam melaksanakan segala keharaman ini!
Inilah bahana sistem kapitalis yang diterapkan oleh pemerintah ke atas kita semua. Riba bukan sahaja terbukti menyengsarakan pelakunya di dunia, bahkan di akhirat azabnya sangat mengerikan.
Setiap Muslim seharusnya menilai setiap perkara dengan hukum syarak, termasuklah masalah naik-turunnya OPR. Isunya bukanlah soal naik-turun itu sendiri yang perlu diambil perhatian, tetapi apakah OPR dan pinjaman yang mengandungi riba itu dibenarkan oleh syarak untuk diambil?
Tidak cukupkah dengan semua ancaman daripada Allah dan Rasul-Nya ini untuk mereka yang terlibat dengan segala transaksi ribawi bertaubat dan keluar daripadanya!?
Wallahu a’lam.