Lindungi Zakir Naik dan umat Islam di India daripada kezaliman Modi dan puak haluan kanan Hindu
Pendakwah, Dr. Zakir Naik kini berhadapan dengan kemungkinan ekstradisi ke India sekiranya waran tangkap dikeluarkan terhadapnya atas pertuduhan pengubahan wang haram. Permohonan tersebut dibuat oleh Direktorat Penguatkuasaan India (ED) dalam perbicaraan yang sedang didengar oleh mahkamah khas di Mumbai.
Zakir Naik kini berada di Malaysia dan berstatus penduduk tetap. Terdahulu, kerajaan Malaysia bertegas enggan mematuhi permintaan rasmi ekstradisi Zakir ke India melainkan Zakir melanggar undang-undang Malaysia.
Sekiranya Mahkamah di Mumbai memutuskan waran tangkap tanpa jaminan boleh dikeluarkan, maka polis India boleh membuat permintaan notis merah Interpol terhadap Zakir dan memohon ekstradisinya dari Malaysia. Malaysia adalah negara anggota Interpol dan mempunyai perjanjian ekstradisi dengan India.
Source: malaysiakini.com
Komen:
Dr. Zakir Naik merupakan pendakwah yang terkenal dengan kegigihan beliau dalam menyebarkan dakwah Islam melalui pendekatan hujah dan perbandingan agama. Kelantangannya dalam berdakwah dan hujah intelektual yang dibawanya menimbulkan kegusaran penganut agama lain khasnya penganut Hindu di India. Maka pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Zakir, termasuklah dakwaan menyokong keganasan dan pengubahan wang haram bagi menghentikan usaha dakwahnya.
Kerajaan India yang diterajui parti nasionalis Hindu berhaluan kanan, Bharatiya Janata (BJP) di bawah pimpinan Narendra Modi telah bertindak mengenakan sekatan selama lima tahun ke atas pertubuhan yang diasaskan Zakir iaitu Islamic Research Foundation (IRF) di bawah undang-undang berkaitan keganasan di negara tersebut. Siaran televisyen Peace TV yang diterajui Zakir turut diharamkan penyiarannya di India. Di samping itu, Zakir juga menjadi sasaran kecaman media massa India dengan dakwaan menyemai permusuhan antara agama dan keganasan. Apakah jaminan bahawa Zakir Naik akan mendapat hak dibicarakan secara adil sedangkan telah jelas bahawa pertuduhan-pertuduhan tersebut diadakan bagi menentang usaha dakwah beliau?
Apa yang terjadi ke atas Zakir ini merupakan sebahagian daripada penindasan yang dihadapi oleh komuniti Muslim di India di bawah pemerintahan yang dikuasai kelompok Hindu haluan kanan. Sejarah mencatatkan insiden-insiden hitam yang menimpa umat Islam di tangan pelampau Hindu, termasuklah tragedi runtuhnya Masjid Babri pada tahun 1993. Kita juga tidak dapat melupakan rusuhan di Gujarat ke atas umat Islam pada 2002 yang menyaksikan ratusan terbunuh, manakala Muslimah telah dirogol dan harta-benda milik Muslim dimusnahkan dan dijarah oleh perusuh. Ketika rusuhan tersebut tercetus, Modi merupakan ketua menteri Gujarat dan terlibat mengeluarkan ucapan-ucapan yang telah mengapi-apikan rusuhan ke atas minoriti Muslim di sana.
Semenjak BJP menguasai tampuk pemerintahan negara tersebut, penindasan ke atas umat Islam di India semakin menjadi-jadi. Penduduk Muslim di India seringkali menjadi mangsa serangan pelampau Hindu hanya kerana mereka merupakan Muslim dan mengamalkan ajaran Islam.
Sementara itu, dari segi polisi luarnya, India turut memerangi dan menindas umat Islam di Kashmir, serta telah beberapa kali terlibat dalam peperangan dengan Pakistan, sebuah negara kaum Muslimin. India juga turut menjalin hubungan erat dengan ‘Israel’ dari segi ekonomi, ketenteraan, dan perkongsian maklumat risikan.
Justeru, pemimpin umat Islam termasuk di negara ini wajib melindungi dan membela Zakir dan para pendakwah daripada dizalimi kerajaan India. Umat Islam adalah umat yang satu, di mana sekalipun mereka berada mereka wajib dibela daripada penindasan. Firman Allah SWT, “Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya,…” [TMQ al-Anfal (8):72]. Pemimpin umat Islam bukan hanya bertanggungjawab melindungi mereka yang mendapatkan perlindungan, bahkan sepatutnya mendesak India untuk menghentikan permusuhan dan kezaliman ke atas umat Islam di sana.
Dalam masa yang sama, pemerintah di negara ini tidak sepatutnya berdiam diri dan bersikap selektif dalam melindungi umat Islam. Kerajaan sepatutnya bertindak lebih tegas dalam mendesak agar penindasan dan kezaliman terhadap umat Islam seperti yang menimpa Muslim Rohingya di Myanmar, Muslim Uyghur di Xinjiang, serta umat Islam di Kashmir, Palestin, dan Syria dihentikan serta-merta. Pendirian untuk berkecuali dengan alasan enggan campur tangan urusan dalaman negara lain berdasarkan batas negara bangsa jelas bertentangan dengan persaudaraan Islam dan kesatuan ummah sepertimana yang dituntut Islam.
Dr Muhammad Fauzi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia