Liwat di pusat tahfiz: Menghukum biarlah kena pada tempatnya
Berita:
Kerajaan akan menutup pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur sekiranya pengetua pusat tahfiz tersebut didapati bersalah meliwat sembilan pelajarnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana perbuatan terkutuk seperti meliwat atau mencabul bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi tahfiz malah mencalar imej baik agama Islam itu sendiri.
Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/444323
Komentar:
Mutakhir ini banyak peristiwa aib yang berlaku. Bukan saja isu liwat di sekolah, kolej, mahupun pusat tahfiz, malah respon para menteri terhadap gejala yang berlaku.
Kita sedang menyaksikan dan mengalami kerosakan sistem kehidupan yang dicedok daripada Barat dengan mengenepikan aturan syariat Islam. Kerosakannya yang sangat menggerunkan itu menular masuk ke dalam institusi masyarakat termasuk keagamaan. Masalah ini tak pernah lega atau reda, bahkan semakin meruncing walaupun beberapa langkah diambil untuk mengatasi masalah tersebut. Namun penyelesaiannya masih ditahap gagal dan membimbangkan.
Ditambah pula baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa telah merespon terhadap isu Pengetua Sekolah Tahfiz yang meliwat dengan menyarankan sekolah tahfiz tersebut ditutup. Penyelesaian ini dilihat tidak kena pada tempatnya bahkan ditentang oleh beberapa orang Mufti. Bukan itu sahaja malah ramai lagi individu-individu yang berprofil tinggi turut mengeluarkan kenyataan yang tidak rasional. Mereka ini seolah olah telah kering idea dan tidak professional serta tidak melambangkan kematangan berfikir pada kedudukannya
Masalah liwat, misalnya, perlu dikaji dengan teliti secara khusus sebelum “menghukum”. Pihak yang terbabit perlu disiasat untuk mengenal pasti punca kejadian. Pada masa yang sama, faktor-faktor luaran juga perlu diambil kira seperti pendidikan, penerangan/pendedahan, faktor sosial, sosmed dan lain lain. Sistem kehakiman juga perlu berdiri pada asas yang teguh, manusiawi dan sesuai dengan fitrahnya.
Isu liwat menurut Islam dihukum sesuai dengan sistem peradilan atau uqubat Islam. Perbuatan jenayah yang diadili dan dihukum berdasarkan ukuran wahyu merupakan yang terbaik untuk sekalian manusia. Sudah pasti pula penyelesaian tersebut membawa kemakmuran, mencegah kemungkaran dan merawat keaiban dalam kehidupan. Semuanya wajib kembali kepada syariat Islam. Itulah maksud sebenar rahmatan lil ‘alamin, yakni penerapan syariat Islam secara total. Bukan bermuka muka, berbasa basi dihadapan manusia semata menjaga kepentingan diri.
Ridhuan Hakim
Aktivis HTM