SN498 – Menempatkan Kaedah Syarak “Ma La Yudraku Kulluhu La Yutraku Jalluhu” Pada Tempatnya

PDF

SN Keluaran 15 Sya’ban 1438H/12 Mei 2017

SN498 - Ma La Yudraku Kulluhu La Yutraku Jalluhu

[SN498] Walaupun Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 masih belum nampak bayangan tarikhnya, namun parti-parti politik demokrasi di Malaysia nampaknya sudah semakin kuat memukul gendang ke arahnya. PRU kali ini berbeza dengan yang sebelum ini kerana menyaksikan pakatan pembangkang yang sudah berpecah-belah, ditambah dengan kemunculan parti-parti serpihan baru yang akan cuba meranapkan penguasaan UMNO-BN, walaupun sukar. Namun, dalam keadaan berpecah ini, masih ada parti yang mendabik dada dengan kekuatan yang ada dan yakin akan memenangi PRU dengan sejumlah kerusi yang bakal dipertaruhkan. Secara congak sahaja kita akan dapat lihat bahawa PRU kali ini akan memberikan kelebihan kepada parti pemerintah yang semakin menjunam ini, kerana teruknya perpecahan dan permusuhan yang melanda parti lawan. Apa yang amat menyedihkan dengan senario terbaru ini ialah apabila agenda Islam sudah tidak lagi terlihat pada parti-parti yang bakal bertanding. Seluruh strategi dan perbincangan adalah berkisar tentang usaha untuk memenangi kerusi dan mendapat kuasa. Berapa banyak kerusi yang bakal dimenangi, berapa banyak negeri yang bakal ditakluki, berapa banyak suara yang bakal ada di Parlimen dan seumpamanya, inilah yang menjadi agenda parti-parti yang sudah semakin galak melakukan perang propaganda sekarang. Soal penerapan Islam, soal Negara Islam, soal menghapuskan sistem sekular dan undang-undang kufur buatan penjajah yang sedia ada, sudah tidak lagi menjadi agenda utama, malah tidak lagi ada dalam senarai agenda pun.

Namun demikian, dalam memenuhi ruh Islam yang ada pada ahli-ahli parti yang masih ikhlas ingin melihat Islam diterapkan (walaupun agenda parti sudah tidak demikian), masih ada segelintir ulama dan cerdik pandai parti yang ‘beristidlal’ dengan kaedah syarak dalam rangka menjustifikasi tindakan parti yang bersungguh-sungguh memasuki pilihan raya. Dengan strategi dan pengaturan yang dilakukan, walaupun mereka tahu yang mereka tidak akan menang dan dapat memerintah, namun dalam rangka mententeramkan hati para pengikut yang ikhlas, maka banyak nas-nas syarak yang digunakan demi menjustifikasi tindakan parti. Salah satu kaedah syarak yang sering digunapakai ialah “ma la yudraku kulluhu la yutraku jalluhu/kulluhu” (apa yang tidak boleh diraih semuanya, tidak boleh ditinggalkan semuanya). Ringkasnya, walaupun mereka tidak dapat meraih kemenangan semuanya, namun mereka tidak akan meninggalkan apa jua usaha ke arah itu, walaupun sedikit selagi mampu dilakukan. Kaedah yang sama juga digunakan oleh parti pemerintah yang korup selama ini, terutama oleh ulama-ulama mereka yang dibayar gaji, bahawa jika pun mereka tidak dapat menerapkan keseluruhan Islam, tetapi mereka telah berusaha untuk menerapkan sebahagian kecil daripada Islam, yang seolah-olah melepaskan mereka daripada dosa dan tanggungjawab.

“Ma La Yudraku Kulluhu…” Di Mata Ulama Fiqh dan Usul

Pada dasarnya kaedah syarak adalah setiap kaedah yang digali daripada nas-nas syarak. Dengan demikian, status kaedah syarak sama dengan hukum syarak yang lain, sama-sama merupakan hukum yang digali daripada dalil syarak dan melalui proses ijtihad yang sahih. Disebut sebagai “kaedah” kerana hukum ini mempunyai posisi sebagai panduan umum, yang daripadanya hukum-hukum derivatif (turunan) dihurai. Namun, perlu diperhatikan bahawa kaedah syarak bukanlah dalil syarak (sumber hukum), dan tidak boleh dijadikan sebagai sumber hukum. Sumber hukum dalam Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah, dan apa yang terbit daripada keduanya berupa Ijmak Sahabat dan Qiyas. Inilah empat sumber hukum yang tidak diperselisihkan oleh para ulama. Manakala sumber-sumber lain yang sebenarnya bukan sumber hukum tetapi dianggap demikian (dan diperselisihkan) oleh sebahagian ulama adalah seperti masolih mursalah, ijmak ulama, istihsan, syar’u man qablana, urf dan sebagainya.

Atas dasar itu, kaedah syarak, walaupun ia sebahagian daripada hukum syarak, namun ia bukanlah sumber hukum. Apa yang dilakukan terhadap kaedah syarak adalah menderivasi (menurunkan) hukum-hukum cabang, yang datangnya daripada kaedah tersebut. Oleh yang demikian, istilah yang digunakan dalam pemakaian “kaedah” ialah tafri’at al-ahkam (menderivasi hukum) dan bukannya istinbat al-ahkam (menggali hukum). Inilah ketentuan umum tentang kaedah syarak sebagai sebahagian daripada hukum syarak. Intinya, ia mesti digali daripada dalil syarak (sumber hukum) dan melalui ijtihad yang sahih dan bukan “direka” dengan kepandaian akal atau secara suka-suka oleh para mujtahid.

Bagi sesiapa yang mengkaji kitab-kitab klasik, baik fiqh mahupun usul fiqh, akan mendapati bahawa kaedah di atas agak jarang dipakai oleh para ulama fiqh dan usul. Kebanyakan ulama fiqh dan usul justeru menggunakan kaedah “al-maisur la yasquthu bi alma’sur” [Perkara yang mudah (dapat dikerjakan) tidak boleh dianggap gugur kewajipannya kerana adanya perkara yang sukar]. Meskipun kedua kaedah ini konotasinya sama, namun kaedah kedua lebih popular di kalangan ulama usul terdahulu, sementara yang pertama lebih popular di kalangan ulama usul mutakhir.

Kedua-dua kaedah ini menjelaskan tentang hukum menunaikan keseluruhan kewajipan syarak, yang wajib dilaksanakan walaupun ia suatu yang ma’sur (sukar). Ini kerana, sesukar mana sekalipun kewajipan tersebut sehingga tidak dapat dilaksanakan (pada waktu itu), ia tidak akan menggugurkan kewajipan lain secara keseluruhan, termasuklah yang maisur (yang boleh dilaksanakan). Dari sinilah, konteks kaedah ma la yudraku kulluhu la yutraku jalluhu (apa yang tidak boleh diraih semuanya, tidak boleh ditinggalkan semuanya) menemui persamaannya dengan kaedah al-maisur di atas. Dengan kata lain, dalam keadaan tidak mungkinnya suatu kewajipan untuk dilaksanakan secara keseluruhan, tidak bererti semuanya menjadi tidak wajib, atau boleh ditinggalkan, akan tetapi, mana yang mungkin itulah yang mesti dilaksanakan.

Menurut Imam al-Suyuthi dalam kitabnya al-Asybah wa an-Nadha’ir kaedah di atas digali dari hadis Nabi SAW yang menyatakan, “Jika aku memerintahkan kepada kalian suatu urusan, maka tunaikanlah urusan itu semampu kalian”. Perlu difahami bahawa lafaz atau konteks mastatha’tum (semampu kalian) yang terdapat di dalam hadis tersebut bermakna wajib melakukan aqsa al-istitha’ah (kemampuan maksimum) dan bukan hanya sekadar istitha’ah (kemampuan). Dilihat daripada lafaznya, ulama menyimpulkan bahawa kaedah tersebut merupakan kaedah kulliyah atau dengan kata lain kaedah yang meliputi banyak aspek. Ia boleh digunakan dalam konteks ibadah dan lain-lain.

Misalnya, ketika seseorang dipenjara, sementara di dalamnya tidak tersedia air dan juga tidak ada debu yang suci, atau dia hanya dipakaikan seluar dalam, maka ketika masuk waktu solat, orang tersebut tetap wajib menunaikan solat, meskipun tanpa wudhu’ dan tayamum atau tanpa menutup aurat. Ini kerana, tidak dapat berwudhu’ atau tayammum atau menutup aurat dengan sempurna, semua ini tidak dapat menggugurkan kewajipan solat orang tersebut. Sama sahaja ketika seseorang kafir baru memeluk Islam, yang sudah pasti belum menguasai semua bacaan solat, mulai dari takbir, al-Fatihah hingga kepada salam, semua ini tidak bererti yang orang tersebut tidak wajib mengerjakan solat atau kewajipan solat gugur daripadanya. Sebaliknya, dia tetap wajib menunaikan solat meskipun untuk berbuat demikian dia terpaksa ditalqin (dipandu) oleh orang lain.

Ruang Lingkup Kaedah

Kaedah ma la yudraku kulluhu la yutraku jalluhu sering disalah erti dan disalah gunakan oleh banyak pihak, sehingga ke tahap menghalalkan yang haram. Dalam konteks pemerintahan contohnya, kita sering mendengar pemerintah yang selalu “membenarkan” tindakan mereka dalam menerapkan sebahagian kecil hukum Islam dengan dalih kaedah tersebut. Selain pemerintah yang cuba menghalalkan tindakan haram mereka dengan kaedah ini, kaedah ini juga memang amat sinonim dengan gerakan Islam yang berjuang dalam demokrasi di mana mereka sering mengetengahkan kaedah ini dalam menjustifikasi tindakan mereka. Contohnya keterlibatan mereka dalam pilihanraya sistem demokrasi bagi meraih kekuasaan. Mereka sering menggunakan kaedah ini dalam rangka menjustifikasi tindakan mereka terlibat dalam pilihanraya dan seterusnya menjadi anggota Parlimen dan membuat undang-undang di Parlimen. Ini kerana, matlamat mereka ialah untuk menerapkan Islam, maka apa sahaja usaha ke arah itu menjadi “halal” walaupun bergelumang dan terlibat dengan sistem kufur sekalipun.

Kekeliruan dan kesilapan banyak pihak dalam menggunakan kaedah ini adalah kerana mereka gagal memahami bahawa kaedah ini hanya terpakai dalam dua konteks utama:

Pertama: Untuk menunaikan seluruh kewajipan terkait sesuatu yang wajib. Hal ini zahir daripada ungkapan “apa yang tidak boleh diraih semuanya” adalah bermaksud meraih semua kewajipan. Jadi, sekiranya ada kewajipan yang mesti dilaksanakan daripada A-Z, namun dalam pelaksanaannya terdapat pelbagai kesulitan menyebabkan tidak dapat diraih semuanya, maka tidak bererti kesemuanya atau mana-mana satu daripadanya boleh ditinggalkan. Apa yang dapat diraih (dilaksanakan) itulah yang wajib dilaksanakan. Inilah yang dimaksudkan dengan “jangan ditinggalkan semuanya”. Perlu difahami bahawa apa yang dapat diraih dan apa yang tidak dapat diraih, semuanya itu merupakan perkara yang hukumnya wajib, dan mempunyai kaitan dengan kewajipan yang lain dalam aspek pelaksanaannya. Ini bererti, apa sahaja yang berada di luar konteks kewajipan tersebut, atau yang tidak mempunyai hubungan langsung dengan kewajipan tersebut, tidak boleh dimasukkan ke dalamnya.

Dalam konteks pilihan raya, Islam memandang bahawa pilihan raya merupakan suatu yang mubah (harus) dan tidak wajib. Ini kerana, pilihan raya hanya merupakan salah satu uslub (teknik) untuk memilih wakil dan bukannya thariqah (metode) untuk menegakkan Islam. Dalil kemubahannya adalah perbuatan Rasul SAW ketika meminta kaum Ansar untuk memilih 12 orang wakil daripada kalangan mereka. Namun, setelah itu Rasulullah SAW tidak pernah melakukannya lagi. Atas dasar ini, hukum asal pilihan raya tetaplah mubah. Jika perkara yang mubah itu terkait langsung dengan pelaksanaan kewajipan, iaitu melakukan perubahan sistem, dari sistem kufur menjadi sistem Islam, maka kaedah ma la yudraku kulluhu la yutraku jalluhu tersebut memang boleh digunakan. Sebaliknya, jika perkara yang mubah itu tidak terkait langsung, atau bahkan bertentangan dengan kewajipan yang hendak ditegakkan, maka kaedah tersebut jelas tidak boleh digunakan.

Realitinya, pilihan raya di Malaysia bukanlah bertujuan untuk merubah sistem kufur kepada sistem Islam, tetapi hanya untuk mengekalkan sistem kufur. Begitu juga dengan Parlimen, yang bukanlah menjadi tempat untuk menukar sistem kufur kepada sistem Islam, tetapi hanya merupakan tempat untuk mengekalkan dan mengukuhkan lagi sistem kufur. Maka, baik pilihan raya mahupun Parlimen, kedua-duanya bukanlah kewajipan yang perlu diraih oleh umat Islam. Sebaliknya, ia menjadi keharaman untuk terlibat di dalamnya apabila hukum-hakam Islam tidak dipenuhi di sepanjang prosesnya. Maka kaedah tersebut sudah tentu tidak boleh dipakai dalam konteks ini, kerana kaedah tersebut hanya terpakai dalam konteks untuk menunaikan kewajipan. Menggunakan kaedah tersebut dalam konteks ini hanyalah usaha untuk menghalalkan suatu yang haram.

Kedua: Kaedah ma la yudraku kulluhu la yutraku jalluhu/kulluhu bermaksud mesti melakukan usaha dengan bersungguh-sungguh atau aqsa al-istitha’ah (kemampuan yang paling tinggi) untuk meraih seluruh kewajipan yang diperintahkan. Jadi, jika tidak ada usaha yang maksimum untuk meraih kewajipan yang diperintahkan, siapa pun tidak boleh menggunakan kaedah ini untuk membenarkan tindakannya. Usaha maksimum itu wajib dilakukan daripada awal sehinggalah ke tahap keseluruhan kewajipan yang mampu dilakukan itu, selesai dilakukan. Jika seseorang mempunyai potensi atau kemampuan 10, maka ia wajib mencurahkan 10 kemampuan untuk menunaikan kewajipan tersebut, barulah layak dikatakan aqsa alistitha’ah. Jika mempunyai potensi atau kemampuan 10, namun yang dicurahkan hanya 5, 8 atau 9.5, maka dalam hal ini tidak termasuk dalam aqsa al-istitha’ah. Setelah ia mengerahkan 10 kemampuan dan ternyata masih belum dapat meraih seluruh kewajipan tersebut, maka mana-mana di antara kewajipan tersebut yang dapat diraihnya, itulah yang wajib dilakukannya.

Seperkara lagi yang perlu difahami ialah dalam usaha menunaikan seluruh kewajipan tersebut, setiap satu daripada kewajipan hendaklah ditunaikan secara sempurna menurut hukumnya. Sebagai contoh, siapa pun tidak boleh mengatakan bahawa dalam keadaan kita tidak mampu menunaikan solat zohor 4 rakaat, maka berdasarkan kaedah tersebut, kita dibolehkan solat zohor dua rakaat. Siapa pun tidak boleh mengatakan bahawa dalam keadaan kita tidak mampu untuk berpuasa penuh sehari, maka kita dibolehkan berpuasa separuh hari. Sama sebagaimana siapa pun tidak boleh mengatakan bahawa kita boleh menyebat si penzina dengan 6 kali sebatan, kerana jika kita tidak dapat lakukan semuanya (100 kali), maka jangan ditinggalkan semuanya.

Manakala dalam konteks penerapan hukum Allah dalam pemerintahan negara, sesungguhnya setiap pemerintah itu wajib menerapkannya secara kaffah. Pemerintah Muslim yang ada pada hari ini sesungguhnya mampu untuk menerapkan semunya kerana kuasa ada di tangan mereka sepenuhnya. Namun ternyata mereka tidak mahu menerapkannya dan memberikan bermacam-macam dalih. Justeru, penggunaan kaedah ma la yudraku kulluhu la yutraku jalluhu dalam konteks di atas merupakan pemakaian yang batil, kerana menyalahi hukum syarak itu sendiri. Begitu juga dalam konteks pertandingan dalam pilihan raya, sungguh keliru apabila kaedah syarak tersebut digunakan, kerana ia (pilihanraya) itu sendiri bukanlah suatu kewajipan. Malah lebih aneh lagi apabila calon sesebuah parti yang diletakkan hanya 20% daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan, lalu mendakwa bahawa mereka telah melakukan semampunya.

Khatimah

Setiap kaedah syarak hendaklah digunakan pada tempatnya dan mengikut konteksnya. Ulama generasi terdahulu mengeluar dan menggunakan kaedah syarak dalam usaha mereka meletakkan satu garis panduan kepada umat Islam dalam melaksanakan suatu kewajipan. Mereka tidak pernah berkompromi dengan sebarang keharaman lalu menjustifikasi tindakan mereka melalui kaedah tersebut. Mereka adalah orang-orang yang berpegang teguh dengan Islam dan tidak menjual agama mereka dengan harga dunia yang sedikit. Malangnya sekarang ini banyak kaedah syarak telah disalahguna oleh banyak pihak untuk menjustifikasi keharaman yang mereka lakukan agar dilihat halal. Semoga Allah sentiasa membimbing kita dengan hidayahNya dan menunjukkan kita ke jalan yang benar serta memberikan kemenangan kepada Islam dengan kadar yang segera. Amin ya Rabbal ‘alamin.