Lompat Parti: Bukan Soal Individu Semata-mata, Tetapi Sistem

Politik Malaysia kecoh lagi dengan isu lompat parti apabila Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan keluar UMNO dan berhasrat untuk menyertai PKR, sehingga ada gesaan untuk beliau membayar pampasan sebanyak RM100 juta berdasarkan akujanji kerana meninggalkan parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) sebaliknya berkata, bahawa Zafrul tidak perlu membayar jumlah tersebut kerana beliau bukanlah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat tetapi hanya memegang jawatan menteri atas kapasiti sebagai seorang senator.

Isu lompat parti sudah sinonim dengan politik Malaysia sejak sekian lama, yang tak pernah berkesudahan, sehingga digubalnya Akta Anti Lompat Parti oleh ahli-ahli politik sendiri, dengan harapan untuk mencegah “perbuatan khianat” tersebut. Tindakan mana-mana menteri atau ahli parlimen atau ahli politik yang melompat parti hanya membongkar wajah sebenar amalan politik demokrasi di Malaysia – sebuah politik yang sarat dengan kepentingan peribadi, bukan perjuangan berprinsip, apatah lagi perjuangan untuk rakyat, sebagaimana yang dilaungkan.

Perkara yang mereka cegah, mereka sendiri buat, begitulah tabiat ahli politik demokrasi, dan mereka sentiasa kebal daripada sebarang peraturan. Inilah hakikat sebuah sistem dan undang-undang buatan manusia, yang mana ada sahaja ruang dan alasan untuk mereka yang berkuasa terlepas daripada “hukuman” yang mereka sendiri gubal. Lagi tinggi jawatan seseorang dalam sistem ini, maka lagi keballah mereka daripada sebarang undang-undang, malah mereka turut kebal daripada ikatan tanggungjawab moral atau politik.

Alasan tidak terkena hukuman sebagai senator memang sedap didengar. Senator tidak dipilih oleh rakyat, tetapi dilantik oleh kerajaan. Mereka tidak melalui tapisan awam, tidak perlu memperjuangkan manifesto, dan tidak berdepan tekanan pemilih. Maka, apabila mereka keluar parti, tidak ada isu ‘mengkhianati mandat rakyat’. Oleh kerana mereka memegang jawatan bukan atas tiket pilihan raya, maka tidak wujud perjanjian politik seperti calon-calon lain yang meletakkan klausa pampasan jika berlaku lompat parti.

Natijahnya, mereka bebas berpindah-randah dan lompat sana sini, menjalin kerjasama baru, atau menyertai parti lain tanpa sebarang kesan hukum, meskipun dari segi moral politik, tindakan itu dianggap menjijikkan. Walaupun mereka memegang jawatan menteri, mereka seolah-olah tidak berkhidmat kepada rakyat hanya gara-gara mereka adalah senator. Inilah hakikat demokrasi, sistem yang kononnya menjamin ketelusan dan keadilan, tetapi penuh dengan ‘loopholes’ yang membolehkan segelintir elit mempermainkan sistem ini untuk kepentingan sendiri.

Jawatan senator seolah-olah mewujudkan satu kelas politik yang berada di luar jangkauan undang-undang, tidak sama seperti mereka yang dipilih melalui pilihan raya. Falsafah demokrasi bahawa pemimpin dipilih oleh rakyat dan bertanggungjawab kepada rakyat tidak terpakai dalam kes seorang senator. Kedudukannya dianggap istimewa kerana individu berkenaan tidak dipilih oleh rakyat, tetapi dapat duduk dalam posisi kuasa, membuat dasar, mempengaruhi keputusan negara, dan pada masa yang sama bebas daripada hisab awam mahupun perundangan politik yang sama rata.

Berapa ramai daripada ahli-ahli politik demokrasi sebenarnya tidak berprinsip. Lompat parti, tukar sokongan, ketiadaan kawan dan musuh abadi – semua ini adalah permainan mereka demi kepentingan poket dan tembolok masing-masing. Berebut pangkat dan jawatan itu memang sudah menjadi darah daging. Rakyat hanyalah mangsa, hanya mampu melihat dari luar pagar, dijadikan bahan kempen sewaktu pilihan raya, dan dilupakan sebaik sahaja kerusi kekuasaan diperoleh.

Orang seperti Zafrul hanyalah sebahagian daripada sistem, beliau bukanlah yang pertama berbuat demikian, dan kemungkinan besar bukan yang terakhir. Jadi, apa salahnya untuk beliau lompat parti apabila sistem itu sendiri membenarkan? Bukankah begitu? Di sinilah rakyat perlu sedar dan bangkit bahawa sistem demokrasi ini hanyalah sebuah sistem yang penuh pembohongan, ketidakadilan, sistem yang digunakan oleh elit politik untuk kepentingan peribadi, atas nama rakyat. Sistem ini senantiasa mendatangkan keuntungan kepada bangsawan politik, manakala rakyat bawahan tidak lebih daripada bidak-bidak catur yang sentiasa menjadi dan dijadikan korban.

Satu-satunya jalan untuk membersihkan politik daripada segala kekotoran ialah dengan menggantikan sistem demokrasi yang datangnya dari Barat ini dengan sistem Islam di bawah Khilafah. Dalam sistem Khilafah, pemerintahan dijalankan atas dasar kewajipan dan amanah berdasarkan hukum syarak. Setiap individu yang memegang jawatan pemerintahan wajib tunduk kepada hukum Allah, dan dihisab berdasarkan ketakwaan dan kejujurannya terhadap pelaksanaan syariat, bukan berdasarkan manifesto parti mahupun “wang jaminan”.

Jawatan pemerintahan dalam Islam bukanlah jawatan yang tergantung kepada klausa perjanjian parti, tetapi kewajipan yang datangnya dari Allah. Umat Islam perlu sedar bahawa asas yang merosakkan pemerintahan bukan terletak pada pemimpin mereka semata-mata, tetapi kepada sistem yang menaikkan dan mengatur mereka dan juga rakyat. Kedua-duanya perlu diganti secara serentak jika rakyat tidak mahu lagi ditipu dan dijadikan permainan atau percaturan oleh orang-orang politik dan sistem yang rosak ini.

Wallahu a’lam.