Lucut kerakyatan hina raja – Mufti
Sumber : Utusan Malaysia: 13/08/09
Mufti Emosi
Nampaknya mufti Perak agak emosi dalam menanggapi isu perkauman yang berlaku saat ini. Isu perkauman ini akan terus bermunculan dan mungkin akan terus marak menyala jika sistem kufur sekular demokrasi yang ada pada hari ini terus dipertahankan dan dikekalkan. Jika kita telusuri isu ini secara lebih mendalam maka kita akan dapati bahawa sistem demokrasi inilah yang menjadi biang kepada kemelut perkauman ini. Selagi punca ini tidak dipadamkan maka ianya akan pasti terus menerus menimbulkan konflik dalam kehidupan masyarakat. Yakinlah jika sistem Islam diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara maka ianya akan pasti membawa keharmonian kepada kehidupan rakyat. Sejarah kegemilangan Islam yang pernah memerintah Sepanyol selama lebih kurang 800 tahun di mana ketika itu, telah terhimpun 3 agama besar dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi, telah membuktikan bahawa Islam mampu mewujudkan kestabilan dalam kehidupan bermasyarakat di sana.
Begitu jugalah ketika Rasulullah SAW menjadi ketua negara di Madinah yang penduduknya terdiri daripada golongan ahli kitab Yahudi dan Islam. Islam sebenarnya mampu mewujudkan kestabilan dalam kehidupan bermasyarakat. Sebagai orang yang rapat dengan pemerintah, sewajarnya Tan Sri Mufti menjalankan tugasnya yang paling utama iaitu memuhasabah pemerintah yang ada saat ini agar meninggalkan sistem kufur demokrasi yang diterapkan sejak lebih 50 tahun yang lalu dan seterusnya menggantikannya dengan sistem kehidupan Islam. Inilah tindakan yang paling utama, yang sepatutnya dilakukan oleh Tan Sri Mufti. Islam telah meletakkan aktiviti memuhasabah pemerintah sebagai kewajipan yang paling agung dan sekiranya dia (orang yang melakukan muhasabah) dibunuh dalam berbuat demikian, maka matinya adalah sebagai Sayyidu as-syuhada’ (penghulu para syahid). Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, ”Penghulu para syuhada adalah Hamzah ibn Abdul Muthallib dan seseorang yang berhadapan dengan penguasa yang zalim lalu ia menasihati penguasa tersebut, kemudian ia dibunuh (oleh penguasa tersebut).” [HR Hakim]. Aktiviti inilah yang sepatutnya diutamakan dan didahulukan oleh Tan Sri Mufti. Bukannya beremosi dengan isu perkauman seperti ini. Ketahuilah keamanan itu hanyalah milik Allah SWT.
“Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan”. [TMQ Quraisy (106) : 4].