ISA untuk Raja Petra – siapa penghina Islam?

KUALA LUMPUR 12 Sept – Pengendali laman web kontroversi Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin telah ditahan di bawah Seksyen 731 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tengah hari tadi di rumahnya di Sungai Buluh. Isterinya, Marina Lee Abdullah mengesahkan penahanan tersebut. Dilaporkan seramai 10 orang anggota polis hadir untuk menahan beliau serta merampas beberapa peralatan beliau seperti pita dan komputer.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Hamid Albar berkata tindakan tersebut diambil setelah pelbagai kenyataan dibuat oleh kerabat diraja Selangor itu melalui laporan polis oleh beberapa jabatan Islam antaranya Jabatan Kemajuan Islam malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengenai perkara tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, Teresa Kok, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng turut ditahan di bawah Akta yang sama. Ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 73 (1) akta berkenaan dalam satu operasi polis ke atas beberapa individu yang terbabit yang dikatakan mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Baru-baru ini, Malaysia Today menyiarkan ulasan artikel tulisan Raja Petra, 58, yang mengundang kemarahan umat Islam bertajuk “I promise to be a good, nonhypocritical Muslim” yang menggunakan ayat-ayat yang menghina orang Islam selain membenarkan komen yang menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW) dalam artikel ‘Not all Arabs are descendants of the Prophets’.

Jika betul tindakan mereka menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW, maka mereka wajib dibicarakan dan jika di dapati bersalah, wajib dihukum mengikut hukum Islam. ISA bukanlah penyelesaian yang bertepatan dengan Islam, sebaliknya bertentangan sama sekali. Sebagaimana kita sedia maklum, ISA akan digunakan apabila kerajaan mentafsirkan seseorang itu adalah sebagai pengancam kepada keselamatan negara. Namun, ‘ancaman kepada keselamatan negara’ adalah hak mutlak kerajaan untuk mentafsirkannya. Negara baru sahaja kecoh dengan tindakan Datuk Ahmad Ismail, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera dengan kenyataannya yang dikatakan bersifat perkauman. Walaupun penentangan datang dari anggota komponen BN sendiri yang marah akan perbuatan Ahmad Ismail, dan Pak Lah sendiri dengan keras menyatakan akan mengambil tindakan tegas terhadap orang yang mencetuskan isu perkauman, namun ternyata, ‘tindakan tegas’ yang diambil terhadap anggota UMNO ini hanyalah menggantung keahliannya selama 3 tahun. ISA langsung tidak menjadi isu. Namun, apabila ada orang lain yang memang selama ini tidak disukai oleh kerajaan menimbulkan hal yang sama, maka ISA-lah jawabnya.

Sebagai Muslim, memanglah kita akan marah apabila ada laman web atau blog yang menghina Islam, atau terhadap siapa sahaja yang menghina Islam, apatah lagi jika ia datang dari orang Islam sendiri. Namun, para pemerintah langsung tidak sedar bahawa perbuatan mereka yang tidak menerapkan Islam, jauh lebih menimbulkan kemarahan kita terhadap mereka. Yang lebih penting dan utama, perbuatan pemerintah yang tidak menerapkan Islam ini akan pasti menimbulkan kemarahan dan seksaan Allah SWT ke atas mereka.

Dalam melaksanakan Akta yang zalim ini ke atas rakyat kerana dikatakan menghina Islam, pemerintah perlu sedar bahawa tindakan mereka yang menerapkan hukum kufur sekular dan mencampakkan hukum Allah dari pemerintahan, juga merupakan satu ‘penghinaan’ kepada Islam itu sendiri! Allah memerintahkan mereka (pemerintah) memotong tangan bagi pencuri, sebat bagi penzina, ta’zir bagi pemakan riba, ta’zir bagi yang mendedahkan aurat, jihad melawan orang-orang kafir dan banyak lagi perintah Allah lainnya, hal ini langsung tidak dilakukan oleh mereka. Apakah ini bukan merupakan satu perlanggaran yang nyata kepada perintah Allah? Bahkan, menerapkan sistem demokrasi dengan membuat undang-undang di Parlimen, mengambil hak Allah di dalam pembuatan undang-undang, bukankah ini merupakan satu bentuk maksiat dan pengkhianatan kepada Allah? Bukankah semua tindakan maksiat ini patut dihukum?