Mahathir Terus Menyerukan Seruan Ashobiyyah
KUALA LUMPUR 7 Dis. – Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan orang Melayu supaya bangkit dan bersatu padu jika tidak mahu mengulangi nasib serupa yang dialami oleh orang Melayu di Pulau Pinang. Namun, dalam nada sinis, bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka tidak perlu memperingati nasib yang menimpa kaum Melayu Pulau Pinang jika mereka berasakan kejayaan dan sedikit kuasa yang ada akan kekal. Ini kerana jelas beliau, dalam zaman peluang bertimbun-timbun, zaman serba mudah, zaman tersohor bangsa Melayu dan zaman kuasa masih di tangan Melayu, tidak ramai yang menginsafi serta menangisi nasib Melayu Pulau Pinang. “Apa perlunya kita memperingati kedudukan orang Melayu Pulau Pinang? Sebenarnya tidak perlu. Sekali berjaya tetap berjaya, sekali merdeka, tetap merdeka.
Bukankah Hang Tuah telah berkata tak akan Melayu hilang di dunia. “Ini jaminan yang diberi kepada bangsa Melayu. Kita akan terus Melayu walaupun hanya menjadi pemandu kereta, buruh kasar dan budak pejabat. Kita Melayu juga. Tak perlu mengalir air mata,” katanya dalam blognya, http://chedet.cc. Dalam pada itu, mengimbau sejarah bagaimana orang Melayu Pulau Pinang mula hilang kuasa, Dr. Mahathir berkata, selepas pendudukan Francis Light, orang Melayu terpaksa ‘melarikan diri’ daripada pembangunan kerana kemiskinan. Jelasnya, langkah tersebut terpaksa diambil oleh orang Melayu pada ketika itu kerana harga hartanah begitu tinggi dan mereka pula tidak mampu membeli atau menyewa selepas bertindak menjual tanah yang sebelum ini milik mereka. “Apabila pembangunan sampai ke kawasan di mana orang Melayu telah lari, mereka sekali lagi jual tanah dan berpindah. Lama-kelamaan mereka tenggelam dalam masyarakat asing yang semakin bertambah dan mewah. “Itulah nasib mereka, menjadi kumpulan orang yang terasing di negeri sendiri. Maka mengalirlah air mata mereka,” jelasnya.
Sumber : Utusan Malaysia 08/12/11
Mahathir Terus Menyerukan Seruan Ashobiyyah
Walaupun usia Mahathir semakin menghampiri garis penamat namun pemikiran dan perjuangan assabiyyahnya masih terus segar dan tegar. Seruan kepada orang Melayu untuk bersatu di atas dasar assabiyyah terus dilaungkan oleh beliau. Senjata gertakan yang digunakan oleh beliau adalah ancaman akan hilangnya kuasa orang Melayu. Sedangkan hakikatnya, sistem demokrasi yang diterapkan oleh UMNO selama ini adalah merupakan punca dan penyebab yang terbesar berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam dan dalam masa yang sama memberikan ruang kepada orang kafir untuk mengambil kesempatan bagi merebut kekuasan politik.
Kita melihat sememangnya kedudukan Islam di Malaysia yang majoritinya dianuti oleh orang Melayu semakin hari semakin terancam dari pelbagai sudut. Ini adalah disebabkan oleh kegagalan para pemimpin umat Islam, termasuklah Mahathir sendiri yang pernah berkuasa selama 22 tahun, menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Dengan demokrasilah orang-orang kafir berkuasa di Pulau Pinang dan dengan demokrasi juga orang-orang kafir mempunyai ‘hak’ untuk menggugat kuasa politik orang Melayu.. Bukankah semua ini berlaku di zaman UMNO menerajui Malaysia? Begitu juga dengan terpisahnya Singapura kepada orang kafir. Bukankah ini berlaku kerana pengkhianatan UMNO? Justeru itu ternyata slogan ancaman dan ugutan Mahathir itu adalah tidak lebih dari slogan yang bertujuan untuk memastikan nyawa UMNO terus berdenyut di kala umat Islam hari ini sudah semakin menyedari siapakah sebenarnya UMNO. Kebusukan bau UMNO sudah semakin merebak ke sana sini dengan pelbagai kepincangan dan kerosakan yang dibawa oleh parti sekular itu.