Majlis Iftar Bersama Syabab HTM-KL Di Surau Subang Suria, Subang
Selepas berakhirnya solat terawih para jemaah terus menunggu dengan penuh khusuknya pengisian Tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Naqib HTM Kawasan KL iaitu Ustaz Abu Taqiuddin Mustafa. Dalam tazkirah itu ustaz Abu Taqiuddin Mustafa telah menyentuh tiga perkara yang sedang hangat berlaku di dunia umat Islam hari ini. Di antara perkara yang dinyatakan oleh beliau ialah berkenaan dengan serangan propaganda yang terus dilakukan oleh barat khususnya pengganas Global masa kini iaitulah Amerika berkaitan dengan peristiwa 11 September 2001 di mana secara faktanya ulang tahunnya yang ke-8 juga jatuh pada bulan Ramadhan tahun ini. Isu kedua yang disentuh dalam tazkirah itu ialah berkenaan dengan propaganda jahat barat berkenaan dengan dua wanita Islam iaitulah kes Lubna Hussien di Sudan dan kes Kartika Sari Dewi Shukarnor di Malaysia. Di mana di dalam kedua-dua kes ini pihak pemerintah sekular umat Islam yang ada pada hari ini nampaknya telah dikalahkan dengan propaganda yang dilancarkan oleh media-media barat. Amat hinalah sesungguhnya kedudukan para pemimpin sekular ini di sisi Allah SWT dengan sikap bacul dan tunduknya mereka kepada barat . Perkara ketiga yang disentuh oleh beliau ialah berkenaan dengan perlunya umat Islam menggunakan kesempatan di akhir-akhir Ramadhan ini untuk berlumba-lumba mencari malam Lailatul Qadar. Di samping itu umat Islam yang mendengar tazkirah itu diingat supaya mereka juga perlu berlumba-lumba untuk berusaha berjuang bagi menegakkan kembali kehidupan Islam dengan thoriqah berdirinya Khilafah Islamiah. Beliau mengingatkan para jemaah yang hadir untuk memikirkan bahawa pada hakikatnya tidak ada kejayaan yang sebenar bagi umat Islam itu secara hakikinya selagi mana kehidupan mereka tidak dinaungi dengan kehidupan Islam. Semoga Ramadhan kali ini merupakan yang terakhir bagi umat Islam hidup tanpa adanya naungan Khilafah yang kesannya kita lihat cukup menyengsarakan umat Islam itu sendiri dan mudah-mudahan Ramadhan yang akan datang umat Islam akan menjalani ibadah puasa ini di bawah naungan Khilafah Islamiah yang kedua kalinya iaitulah suatu perkara yang wajib diperjuangkan oleh umat Islam hari ini dan ianya juga adalah merupakan suatu perkara yang telah dijanjikan oleh Allah SWT dan juga melalui khabar gembira yang dilafazkan oleh lisan nabiNya iaitulah Muhammad SAW. Akhirnya pihak HTM Kawasan KL ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengerusi Surau Subang Suria serta ahli kariahnya yang terdiri dari muslimin dan muslimat dengan kerjasama serta komitmen yang telah mereka tunjukkan bagi memastikan program iftar kali ini berjalan dengan baik dan lancar. Semoga Allah SWT akan mencatat usaha kita ini sebagai suatu dari amal-amal soleh yang kita lakukan bagi memastikan cahaya Islam akan itu terus bersinar menerangi kehidupan umat manusia ini walaupun ianya dibenci oleh kuffar dan sekutu-sekutunya.