Majlis Iftar Ramadhan syabab HTM di Surau Al Ikhlas, Bandar Baru Bangi
Syabab Hizbut Tahrir Malaysia sekali lagi menganjurkan iftar Ramadhan, tapi kali ini bersama – sama para qaryah Surau Al Ikhlas Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi Selangor. Iftar ini diadakan pada 26 Ramadhan 1429H bersamaan 26 September 2008. Seawal 6.15 petang, para syabab telah mula berada di perkarangan surau untuk menyediakan kelengkapan pameran dan makanan berbuka bersama- sama AJK Surau Al Ikhlas. Majlis bermula apabila azan Maghrib dilaungkan dan para tetamu dan syabab HTM yang hadir berbuka puasa dengan makanan ringan sebelum solat Maghrib secara berjemaah. Selepas itu, barulah para jemaah menikmati hidangan yang agak berat. Antara Maghrib dan Isyak, diadakan pameran Khilafah diperkarangan surau tersebut. Selepas solat Isyak dan tarawikh, para hadirin dihidangkan pula dengan sedikit tazkirah ringkas daripada Dr. Muhammad dari HTM yang menyampaikan tazkirahnya berkaitan dengan kebangkitan umat Islam serta sedikit sebanyak memperkenalkan Hizbut Tahrir kepada jemaah yang hadir.