Maksud cinta kepada Rasulullah (saw) dan tuntutannya

Tanggal 12 Rabiul Awal merupakan tanggal bersejarah yang pasti akan diperingati oleh umat Islam seluruh dunia termasuk umat Islam di negara ini. Susuk tubuh manusia paling agung dan penutup para Nabi itu dilahirkan pada tahun Gajah, tahun yang digelar sempena peristiwa penyerangan tentera bergajah Abrahah yang ingin menghancurkan Kaabah. Namun demikian Allah (swt) telah menghancurkannya.

Sempena mengingati dan menghormati maulid (kelahiran) Nabi (saw), marilah kita bersama-sama memuhasabah diri dan bertanya, adakah cukup sekadar menunjukkan kecintaan kita kepada Nabi (saw) dengan memperingati hari kelahiran baginda?

Umat Islam sudah pasti ingin mengikuti dan meneladani Rasul (saw), namun persoalannya, bagaimana seharusnya umat Islam meneladani baginda (saw)? Firman Allah (swt),

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian” [Al-Ahzab (33):21].

Ayat ini menjelaskan bahawa kita wajib menjadikan Rasullullah (saw) sebagai ikutan dalam segenap aspek kehidupan, kerana baginda diutus untuk mengatur kehidupan manusia secara praktis dari A hingga Z. Islam mengatur dari sekecil-kecil perkara seperti cara memasuki tandas sehinggalah sebesar-besar urusan untuk mengatur negara. Rasulullah (saw) menunjukkan bagaimana cara beribadah, berakhlak, melakukan aktiviti ekonomi, pendidikan, pergaulan, politik, cara memerintah negara, jihad dan sebagainya.

Islam merupakan sebuah agama dan sebuah mabda’ (ideologi), serta memiliki penyelesaian kepada permasalahan dalam seluruh aspek kehidupan.  Justeru, kewajipan mengikuti baginda (saw) tidak terbatas dalam perkara ibadah dan akhlak sahaja. Sebagai seorang Muslim, dalam mengikuti baginda (saw), kita tidak boleh sekadar melakukannya secara batiniah (kalbu) sahaja, tetapi juga wajib dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti lahiriah (fizikal), iaitu dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya. Al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi landasan keimanan seorang Muslim, turut menjadi penjelas kepada keperibadian Rasulullah (saw) untuk kita taati dan ikuti.

Mentaati Rasulullah (saw) ini merupakan manifestasi akan kecintaan kita kepada Allah dan Rasul-Nya. Para ulama telah menjelaskan tentang maksud cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Al-Azhari berkata, “Erti cinta seorang hamba kepada Allah dan Rasulullah adalah mentaati dan mengikuti perintah Allah dan Rasul-Nya”. Al-Baidhawi berkata, “Cinta adalah keinginan untuk taat”. Ibnu Arafah berkata, “Cinta menurut istilah orang Arab adalah menghendaki sesuatu untuk meraihnya”. Al-Zujaj berkata, “Cintanya manusia kepada Allah dan Rasul-Nya adalah mentaati keduanya dan redha terhadap segala perintah Allah dan segala ajaran yang dibawa Rasulullah (saw)” [Min Muqawwimat an-Nafsiyyah al-Islamiyyah, ms 40, Hizbut Tahrir].

Perlu difahami bahawa mencintai Allah dan Rasul adalah sebuah kewajipan, malah wajib diletakkan melebihi kecintaan kita kepada sesiapa sahaja di dunia ini. Firman Allah (swt),

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri dan kaum keluarga kalian, juga harta dan kekayaan yang kalian usahakan, perniagaan yang kalian khuatirkan kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kalian sukai, adalah lebih kalian cintai daripada Allah dan Rasul-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan (azab)-Nya.’ Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang fasik” [At-Taubah (9):24].

Ketibaan Rabiul Awal tahun ini (1442 H) telah dicemari dengan isu penghinaan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad (saw) oleh seorang guru di Perancis yang kemudiannya diikuti oleh akhbar Perancis, Charlie Hebdo. Kita tahu bahawa ini bukanlah kali pertama penghinaan dan provokasi dilakukan oleh akhbar tersebut. Persoalannya, kenapakah orang kafir semakin berani melakukan penghinaan demi penghinaan ke atas umat Islam. Apakah tidak ada penyelesaian ke atas penghinaan ini yang pernah Rasul (saw) tunjukkan?

Kita tahu betapa Rasulullah (saw) mencintai umatnya, dan perkara ini ditunjukkan oleh baginda (saw) secara praktikal apabila umatnya dihina. Jika kita telusuri sirah, Rasulullah (saw), telah mengisytiharkan jihad ke atas Bani Qainuqa’ hanya kerana seorang Muslimah disingkap auratnya oleh seorang tukang emas Yahudi di pasar Bani Qainuqa’. Yahudi tersebut mengikat hujung kain yang dipakai oleh Muslimah tersebut pada sebuah kerusi, dan tatkala beliau bangun, maka auratnya telah tersingkap. Lalu beberapa orang Yahudi yang ada di situ mentertawakan Muslimah tadi. Melihat kejadian itu, seorang lelaki Muslim yang ada di situ telah bangun membela dengan membunuh Yahudi itu, dan lelaki Muslim tersebut telah dibunuh pula oleh puak Yahudi. Setelah mengetahui kejadian ini, baginda (saw) terus menghantar pasukan tentera Muslim untuk menyerang Yahudi Bani Qainuqa’ dan akhirnya selepas lima belas hari, kaum Muslimin berjaya menewaskan seluruh Bani Qainuqa’.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah (saw) itu diteladani oleh Khalifah Al-Mu’tasim (salah seorang Khalifah pada zaman keKhilafahan Abbasiyyah). Seorang Muslimah telah terjatuh dan tersingkap auratnya akibat perbuatan lelaki kafir Rom dan ia telah menjadi bahan sorakan kaum kafir yang berada di situ. Wanita itu kemudian menyeru nama Khalifah “Wahai Mu’tasim, wahai Mu’tasim…”. Seorang lelaki Muslim yang mendengar seruan Muslimah tadi telah segera berangkat ke Baghdad untuk mengadukan hal tersebut kepada sang Khalifah. Mu’tasim kemudian menjawab, “Wahai ibu, ini Khalifah Mu’tasim mendengar seruanmu”. Baginda kemudiannya mengerahkan bala tentera untuk menyerang Rom dan berjaya menumpaskan dan menakluk Rom.

Kecintaan kepada Rasulullah ditunjukkan oleh Khalifah Abdul Hamid II yang dengan tegas memberikan amaran kepada Perancis dan British yang ingin menganjurkan sebuah pementasan teater karya Voltaire, yang menghina Nabi Muhammad (saw). Abdul Hamid mengancam Perancis dan British dengan jihad sekiranya teater itu tidak dibatalkan. Ancaman tersebut berhasil menghentikan pementasan teater tersebut daripada berlangsung.

Begitulah sebahagian kisah agung yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) dan para Khalifah dalam menjaga kemuliaan umat Islam, dan menjaga kemuliaan baginda (saw). Itulah jawapan yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) kepada siapa pun yang menghina umat Islam, dan itulah jawapan yang ditunjukkan oleh para Khalifah dalam isu yang sama.

Persoalannya, apakah yang dilakukan oleh pemimpin umat Islam pada hari ini tatkala Islam dihina, tatkala umat Islam dihina dan tatkala Rasulullah dihina? Ternyata mereka hanya mendiamkan diri atau hanya beretorika menjaga kemuliaan Rasulullah, yang hakikatnya mereka tidak melakukan apa-apa. Sungguh betapa hinanya mereka!

Sesungguhnya umat Islam pada hari ini memerlukan seorang Khalifah, sebagai perisai, yang memiliki ketegasan, keberanian, serta taat kepada Allah (swt). Khalifah inilah yang akan menghentikan semua penghinaan ke atas Nabi (saw), serta melindungi kehormatan Islam dan umatnya. Ketegasan dan keberanian seorang Khalifah akan mencegah dan menghukum siapa pun yang berani menghina Islam, menghina Rasulullah (saw) dan umatnya.

Wallahu a’lam.