Malapetaka 3 Mac 1924
Malapetaka 3 Mac 1924
28 Rajab 1342 H bertepatan dengan 3 Mac 1924 merupakan peristiwa penting yang perlu diingat kembali oleh umat Islam. Waktu di mana umat Islam secara rasmi kehilangan perkara penting dalam kehidupannya, iaitu Khilafah Islamiyyah. Pada tanggal itu, melalui tangan kotor Kamal Ataturk yang bekerjasama dengan negara Imperialis British, Khilafah Islamiyyah telah dihapuskan. Majlis Nasional Agung Turki di bawah kendali penuh Kamal yang penuh darah mengeluarkan tiga keputusan penting
(1) Menghapuskan sistem keKhilafahan
(2) Menurunkan Khalifah dari jawatan
(3) Menghalau Khalifah bersama keluarganya
Itu bererti sudah lebih dari 91 tahun umat Islam telah hidup tanpa kepemimpinan Khilafah. Padahal hukum syarak berdasarkan Ijma’ Sahabat hanya membolehkan umat Islam hidup tanpa kepemimpinan Khalifah selama 3 hari. Waktu yang singkat selama 3 hari ini , wajib digunakan oleh umat Islam untuk bersungguh-sungguh mengangkat kembali seorang Khalifah yang baru.
Al-Thabari meriwayatkan bahawa Umar RA benar-benar menegaskan pentingnya pembatasan waktu selama tiga hari untuk mengangkat Khalifah dengan mengatakan, “Jika aku meninggal maka bermesyuaratlah kalian selama tiga hari. Hendaklah Suhaib yang mengimami solat orang ramai. Janganlah masuk hari yang keempat, kecuali kalian sudah memiliki seorang Amir (Khalifah).”
Para Imam Mazhab sendiri telah menegaskan kewajiban mengangkat Khalifah ini di tengah-tengah umat Islam. Imam Ibnu Hazm dalam Al-Faslu fi al-Milal wa al-Ahwa` wa al-Nihal menegaskan telah sepakat semua Ahlu Sunnah, semua Murji’ah, semua Syiah dan semua Khawarij akan wajibnya Imamah [Khilafah].
Pentingnya kewajiban Khilafah ini ditegaskan pula oleh Syeikh Abdurrahman al-Jaziri dengan menyebutkan, “Para imam mazhab yang empat (Imam Abu Hanifah, Malik, Syafi’i dan Ahmad) rahimahumullah, telah sepakat bahawa Imamah [Khilafah] itu fardhu dan bahawa kaum Muslimin wajib mempunyai seorang Imam (Khalifah) yang akan menegakkan syiar-syiar agama dan menolong orang yang dizalimi dari orang yang zalim. Mereka juga sepakat bahawa kaum Muslimin dalam waktu yang sama di seluruh dunia, tidak boleh mempunyai dua imam, baik keduanya sepakat atau bertentangan.”
Syeikh Abdul Qadim Zallum, dalam kitabnya Nidzam al-Hukmi fi al-Islam memberikan penjernihan tentang apa itu Khilafah. Dalam kitab itu dijelaskan, “Khilafah adalah kepemimpinan umum bagi kaum Muslimin seluruhnya di dunia, untuk menegakkan hukum-hukum syariah Islam dan mengembang dakwah Islam ke seluruh dunia.”
Berdasarkan pengertian Khilafah itu, kita dapat lihat ketiadaan Khilafah telah menyebabkan umat Islam kehilangan tiga perkara penting:-
Pertama; Kehilangan kepemimpinan umum di tengah-tengah umat Islam. Padahal keberadaan pemimpin ini adalah sangat penting untuk menyatukan, mengurus dan melindungi umat Islam. Tanpa Khilafah, umat Islam saat ini tercerai berai di bawah negara-negara bangsa yang lemah tidak berdaya. Lemahnya persatuan umat Islam ini pulalah yang membuat negara-negara Imperialis yang buas memperlakukan umat Islam seenaknya dengan keji. Umat Islam juga kehilangan pelindung yang sejati. Pemimpin negara-negara bangsa yang ada saat ini, alih-alih menjadi pemimpin dan pelindung umat mereka justeru berperanan sebagai boneka yang mengukuhkan penjajahan negara-negara Imperialis. Membiarkan rakyatnya dibunuh dan kekayaan alam negeri Islam dirampas.
Kedua; Ketiadaan Khilafah telah menyebabkan dilalaikannya penegakan hukum-hukum (syariah) Islam Islam secara menyeluruh (kaffah). Padahal penegakan syariah Islam merupakan kewajiban yang sorih (tegas). Ini kerana, penegakan syariah Islam yang merupakan konsekuensi keimanan seseorang Muslim ini tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa adanya institusi negara yang sah iaitu Khilafah. Kerana itu sesungguhnya keberadaan Khilafah merupakan sebahagian dari usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara melaksanakan seluruh perintah Allah dan RasulNya. Ibnu Taimiyah mengatakan hal ini sebagai sebahagian dari sebaik-baik pendekatan diri kepada Allah SWT (min afdholil qurrubat). Bahkan Ibnu Taimiyah menegaskan wajib menjadikan kepemimpinan (Khilafah) sebagai bagian dari agama dan sarana untuk mendekatkan diri kepada Allah, taqarrub kepada Allah di dalam kepemimpinan itu dengan mentaati Allah dan RasulNya termasuk dalam taqarrub yang paling utama.
Ketiga; Ketiadaan Khilafah juga telah membuat umat Islam lalai menjalankan perkara penting yang wajib dilakukan oleh negara, iaitu mengembang dakwah ke seluruh penjuru dunia. Padahal perkara dakwah ini dengan tegas dinyatakan kewajibannya oleh Allah SWT dan RasulNya. Dengan dakwah yang dilakukan oleh Khilafah ini, Islam kemudian menyebar ke seluruh penjuru dunia. Umat manusia pun berduyun-duyun untuk memeluk Islam. Walhal inilah perkara penting yang wajib diperjuangkan sungguh-sungguh oleh umat Islam. Para ulama menyebutnya sebagai taj al-furudh (mahkota dari semua kewajiban). Ertinya, penerapan Islam secara kaffah (menyeluruh) hingga tercapai kehidupan berkah itu mustahil diwujudkan tanpa adanya Khalifah dan tegaknya Khilafah. Oleh kerana itu, menegakkan Khilafah dan mengangkat Khalifah merupakan kewajiban yang paling penting.
Mengungkap kepentingan hal ini, Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam al-Sawa’iqul Muhriqah berkata, “Ketahuilah juga bahawa para sahabat (semoga Allah meredhai mereka) telah bersepakat bahawa mengangkat seorang Imam (Khalifah) setelah berakhirnya zaman kenabian adalah wajib, bahkan mereka menjadikannya sebagai kewajiban paling penting ketika mereka menyibukkan diri dengan kewajiban itu dengan menangguhkan kewajiban menguburkan jenazah Rasulullah SAW.”
Oleh yang demikian, keruntuhan Khilafah bukanlah perkara untuk diratapi atau sekadar kenangan sejarah masa kejayaan Islam belaka, namun merupakan kewajiban yang wajib sama-sama diperjuangkan oleh umat Islam. Kelalaian memperjuangkan Khilafah bererti melalaikan tiga kewajiban penting yang diperintahkan agama ini iaitu persatuan umat Islam, penegakan syariah Islam dan dakwah. Melalaikan tiga perkara kewajiban penting di dalam Islam, tentu merupakan dosa.
Apa yang diperingatkan oleh Syeikh Abdul Qadim Zallum tentu perlu kita renungkan. Pemimpin Hizbut Tahrir ini dalam kitabnya Nidzam al-Hukm fi al-Islam menegaskan, “Mengangkat seorang Khalifah adalah wajib atas kaum Muslimin seluruhnya di segala penjuru dunia. Melaksanakan kewajiban ini -sebagaimana kewajiban mana pun yang difardhukan Allah ke atas kaum Muslimin- adalah perkara yang qath’ie, tidak ada pilihan di dalamnya dan tidak ada toleransi dalam urusannya. Kelalaian dalam melaksanakan kewajiban ini termasuk sebesar-besar maksiat yang (pelakunya) akan diazab oleh Allah dengan azab yang sepedih-pedihnya.” (Farid Wadjdi)
sumber : hizbut-tahrir.or.id