Malaysia Baharu Yang Haru-Biru

Dalam perutusan Tahun Baru 2020 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, beliau mengajak semua pihak untuk menumpukan usaha yang positif kepada rakyat dan berjanji meneruskan perjuangan ke arah pembentukan Malaysia Baharu yang diidamkan.

‘Malaysia Baharu’ merupakan slogan yang diketengahkan dan dibangga-banggakan oleh kerajaan dan penyokongnya semenjak Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 lalu. Malahan dengan kewujudan Malaysia Baharu ini nampaknya idea kebebasan yang menjadi inti kepada demokrasi semakin subur dan dilaung-laungkan sebagai satu bentuk perjuangan.

Persoalannya ialah, apakah Malaysia Baharu ini telah berjaya membawa pembaharuan dan kebaikan kepada kehidupan rakyat? Jika ditelusuri apa yang terjadi semenjak PRU14, kita akan dapati bahawa kesan positif pembaharuan yang dilakukan tidak dapat dirasai oleh rakyat. Realitinya, kos sara hidup terus meningkat, gejala sosial terus membarah, dan pelbagai masalah masih terus berlarutan tanpa penghujung. Malahan beberapa pembaharuan dan kejadian yang berlaku selepas terbentuknya kerajaan pimpinan PH dilihat terus mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat. Kini, golongan sekular, liberal mahupun komunis nampaknya semakin kuat memperjuangkan agenda mereka yang semakin menular dalam masyarakat.

Sebenarnya tidak ada perubahan mendasar jika dibandingkan antara kerajaan PH dengan pentadbiran BN dahulu. Kedua-dua kerajaan masih mengekalkan sistem pemerintahan yang sama yang diwarisi dari penjajah iaitu sistem demokrasi sekular. Maka, sudah pasti hasilnya sama sahaja. Pohon yang sama tidak mungkin menghasilkan buah yang berlainan. Benih mengkudu akan pasti menumbuhkan pokok mengkudu dan menghasilkan buah mengkudu. Ia tidak mungkin akan menghasilkan buah durian. Apa yang mungkin berbeza hanyalah saiz mengkudu tersebut, tetapi buah dan rasanya tetaplah sama iaitu buah dan rasa mengkudu. Jika mahukan buah durian, maka kita hendaklah menanam benih durian.

Justeru, jika rakyat inginkan perubahan, maka apa yang perlu difahami ialah hakikat perubahan itu sendiri. Perubahan yang hakiki adalah perubahan yang bersifat inqilabiyah. Umat Islam pada hari ini memerlukan taghyir (perubahan yang bermaksud pertukaran) dan bukannya islah (pembaikan). Memperbaiki (islah) sistem yang sedia ada tidak akan membawa kepada apa-apa perubahan, malah seringkali menjadikannya lebih buruk.

Sistem demokrasi yang rosak pada hari ini sudah tidak boleh diperbaiki (islah) lagi, sebaliknya perlu diganti (taghyir). Taghyir wajib mendasar iaitu dengan merubah sistem pemerintahan, ekonomi, pergaulan, uqubat (hukuman), dasar pendidikan, dasar luar negeri dan lain-lain. Sebuah bas yang ‘nazak’ tidak akan dapat menyelamatkan para penumpangnya walau bertukar 10 pemandu sekalipun, apatah lagi jika pemandunya tetap sama dan ingin mati bersama bas tersebut. Hatta jika ditukar kepada pemandu yang paling cekap sekalipun, bas tersebut akan tetap membawa malapetaka kepada pemandu dan kesemua penumpangnya. Inilah realiti Malaysia Baharu pada hari ini. Rakyat hanya akan dapat merasai perubahan dan insya Allah akan selamat apabila ‘bas’nya ditukar.

Rasulullah (saw) telah melakukan taghyir dalam masyarakat Arab jahiliah, dan seterusnya melakukan taghyir dalam sistem pemerintahan di Madinah. Masyarakat jahiliah diubah dari segi pemikiran, perasaan dan sistem yang digunapakai di tengah-tengah mereka. Negara Islam Madinah yang wujud betul-betul merupakan “negara baru” yang sama sekali berbeza dengan sebelumnya. Dengan perubahan secara taghyir inilah yang menjadikan masyarakat yang pada asalnya hidup dalam kerosakan sistem jahiliah bertukar menjadi masyarakat yang mulia, sejahtera, kuat dan menerajui kepimpinan dunia.

Justeru, tidak ada apa-apa yang boleh diharapkan dengan kerajaan PH melalui slogan “Malaysia Baharu”nya, yang hakikatnya hanya mengecat semula bas yang sudah nazak, yang mungkin berjaya menampakkan kecantikan bas tersebut, tetapi kesudahannya…semua orang dapat mengagak.

Umar Hussein

Pimpinan Pusat HTM