Mekanisme Pensyariatan Perceraian Penuh Hikmah
Oleh: Farisha Aris
Sebagaimana dinyatakan dalam penulisan sebelumnya, dalil-dalil syarak tidak menetapkan adanya ‘illat bagi talak, bermaksud tiada alasan khusus yang ditetapkan bagi perceraian. Walau bagaimanapun, pensyariatan talak dan mekanismenya dijelaskan dalam nas-nas syarak berkaitan perkahwinan dan implikasinya, supaya umat Islam mendapat pencerahan yang tepat.
Tujuan perkahwinan adalah membentuk keluarga dan mewujudkan ketenteraman. Jika ketenteraman ini terancam akibat pelbagai faktor sehingga hubungan suami isteri tidak lagi harmoni dan bahagia, perlu ada kaedah untuk kedua-dua pihak berpisah. Ini kerana mereka tidak boleh dipaksa mengekalkan ikatan perkahwinan. Allah SWT telah mensyariatkan talak, seperti firman-Nya: “Talak (yang dapat dirujuk) dua kali. Selepas itu boleh rujuk dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik.” [TMQ al-Baqarah (2): 229].
Islam mengarahkan suami isteri bergaul dengan baik dan bersabar memendam kebencian yang ada, kerana mungkin terdapat kebaikan dalam apa yang dibenci. Allah SWT berfirman: “Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” [TMQ an-Nisâ’([4): 19].
Islam juga memerintahkan suami menggunakan pelbagai langkah untuk mengurangkan sikap keras isteri akibat nusyûz. Allah SWT berfirman: “Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka.” [TMQ an-Nisâ’ (4): 34].
Demikianlah, Islam mengarahkan suami mengambil langkah yang penuh hikmah bagi menyelesaikan masalah suami isteri agar menghindarkan perceraian. Jika persengketaan berterusan, talak bukanlah langkah kedua. Islam memerintahkan agar masalah diselesaikan melalui orang tengah dari keluarga kedua belah pihak, agar wakil-wakil tersebut berusaha mewujudkan perdamaian di antara suami isteri itu semula. Allah SWT berfirman: “Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga perempuan. Jika kedua orang hakam itu bermaksud mengadakan perbaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [TMQ an-Nisâ’ (4): 350].
Jika kedua-dua orang hakam tersebut tidak mampu mendamaikan, maka saat itu tidak ada ruang lagi untuk mempertahankan kehidupan suami isteri di antara kedua-duanya selepas segala usaha telah dilakukan. Maka harus berlaku talak (perceraian) dengan harapan ketenangan dapat dicapai selepasnya dan masalah-masalah yang ada dapat diatasi dengan perceraian itu. Allah SWT berfirman: “Jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing dari limpahan karunia-Nya. Dan adalah Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Bijaksana.” [TMQ an-Nisâ’ (4): 130].
Walau bagaimanapun, talak memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk rujuk kembali, dan perpisahan bukan muktamad. Malah, Islam membenarkan rujuk dalam talak pertama dan kedua, serta selepas talak ketiga dengan mekanisme yang berbeza. Oleh itu, syarak menetapkan talak tiga kali. Allah SWT berfirman: “Talak (yang dapat dirujuk) dua kali. Selepas itu boleh rujuk dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik.” [TMQ al-Baqarah (2): 229].
Suami isteri diberi ruang untuk muhasabah dan bertakwa kepada Allah SWT. Oleh itu, Islam menetapkan masa ‘iddah selama tiga kali haid, iaitu lebih kurang tiga bulan lamanya atau selepas melahirkan. Suami wajib memberi nafkah dan tempat tinggal kepada isteri sepanjang ‘iddah dan tidak boleh mengusirnya, bagi memberi peluang rujuk. Dalam aspek ini, Allah SWT telah menerangkan mekanisme yang sangat jelas. Allah Allah SWT berfirman: “Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu mereka mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan cara yang ma`ruf, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang ma`ruf (pula). Janganlah kamu rujuki mereka untuk memberi kemudharatan, kerana dengan demikian kamu menganiaya mereka. Barangsiapa berbuat demikian, maka sungguh ia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri.” [TMQ al-Baqarah (2): 231].
Jika langkah-langkah ini tidak berkesan sehingga berlaku talak ketiga, maka perkahwinan tidak dapat dipertahankan lagi dan perpisahan berlaku secara sempurna. Talak ketiga bersifat muktamad. Selepas talak ketiga, rujuk hanya dibenarkan jika isteri berkahwin dan bercerai dari suami lain. Allah SWT berfirman: “Kemudian jika si suami mentalaknya (sesudah talak yang kedua), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya hingga dia berkahwin dengan suami yang lain” [TMQ al-Baqarah (2): 230].
Dengan ini, jelaslah mekanisme pensyariatan perceraian dalam Islam. Dengan paparan di atas, tampak jelas adanya hikmah yang nyata dan pandangan terperinci terhadap kehidupan yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita. Semua ini adalah dalam rangka menjamin kehidupan yang penuh kedamaian dan ketenteraman bagi mereka. Apabila kedamaian dan ketenteraman tersebut lenyap dan tidak ada lagi harapan untuk mengembalikannya, maka pemisahan antara suami isteri harus berlaku. Oleh itu Allah SWT menetapkan syariat tentang talak sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.