Memahami isu air di sebalik pili bomba

Agak hangat pertikaman sosmed (kalau dulu pertikaman lidah) antara kerajaan dan pembangkang mengenai isu “pemberian” air pili bomba oleh seorang wakil rakyat di Kelantan kepada penduduk di kawasannya.

Satu pihak menyatakan sudah mendapat izin dari pihak bomba dan juga dari Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk menggunakan air tersebut, manakala satu pihak lagi berkeras menyatakan tidak ada keizinan dari pihak bomba.

Umum telah mengetahui bahawa masalah air di Kelantan sudah berkelanjutan selama lebih kurang 30 tahun. Apa pun alasan yang diberikan, pokoknya ialah kerajaan Kelantan gagal menyediakan perkhidmatan air yang sepatutnya kepada rakyat. Pokoknya juga ialah kerajaan pusat turut gagal menyelesaikan masalah air di Kelantan.

Kenapa gagal? Dan kenapa kerajaan Pusat mesti dipersalahkan sedangkan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, pengurusan air terletak di bawah bidang kuasa negeri?

Ini kerana kedua-dua kerajaan gagal kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam menjalankan kewajipan masing-masing. “Pengembalian” masalah mereka ialah kepada Perlembagaan Persekutuan yang dibuat oleh Lord Reid, bukannya kepada Allah dan Rasul-Nya sebagaimana yang diperintahkan di dalam Al-Quran. Inilah punca kepada masalah, dan punca kepada kegagalan mereka! Firman Allah (swt):

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ ۖ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih baik (bagimu) dan lebih baik pula akibatnya” [An-Nisa (4): 59].

Berdasarkan hukum Islam, air termasuk dalam kategori al-milkiyyah al-ammah (pemilikan umum) yang wajib dikelola oleh negara dan diberi secara percuma kepada rakyat. Rakyat bukan sahaja seharusnya mendapat air percuma, malah seharusnya mendapat air yang bersih (dirawat) dan secara berterusan. Tidak ada pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam Islam, kerana setiap pemerintah bertanggungjawab menjaga atau memelihara kesemua rakyatnya tanpa kecuali. Sabda Rasulullah (saw):

الإِمَامُ رَاعٍ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Setiap pemimpin adalah pemelihara dan akan dimintai pertanggungjawaban atas yang dipelihara (rakyat)nya” [HR. Muslim].

Dengan kata lain, menjadi tanggungjawab dan kewajipan pemerintah, tanpa memisahkan di antara kerajaan pusat atau kerajaan negeri, dalam memastikan setiap individu rakyat mendapat bekalan air bersih secukupnya dan secara percuma. Malangnya kedua-dua kerajaan pusat dan kerajaan negeri (Kelantan) pada hari ini saling menyalahkan antara satu sama lain dalam masalah air di Kelantan.

Hakikatnya Kelantan bukanlah tidak ada air, bukanlah tidak ada sungai atau tasik atau air bawah tanah, dan hakikatnya Malaysia bukanlah negara yang mempunyai masalah bekalan air. Jadi bagaimana mungkin penduduk Kelantan mempunyai masalah air? Jawapannya ialah kerana semua masalah ini sebenarnya berpunca daripada masalah politik yang mana pengurusan air oleh kedua-dua kerajaan tidak dilandaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, sebaliknya dilandaskan kepada perlembagaan ciptaan Lord Reid. Inilah asas kepada masalah yang sebenarnya!

Air merupakan pemilikan umum yang sangat jelas berdasarkan sabda Rasulullah (saw):

الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِى ثَلاَثٍ فِى الْمَاءِ وَالْكَلإِ وَالنَّارِ وَثَمَنُهُ حَرَامٌ

“Kaum Muslimin bersekutu dalam tiga perkara (iaitu air, padang ragut dan api, dan (mengambil) harganya adalah haram” [HR Ibnu Majah].

Ketiga-tiga perkara yang disebut dalam hadis di atas termasuk dalam pemilikan umum yang wajib dikelola oleh pemerintah dengan penuh amanah.

Malangnya pemerintah tidak menghiraukan hal ini dan mereka “berniaga” dengan rakyat dalam masalah air. Selain tidak berpegang kepada hukum Islam, kita tidak dapat menafikan bahawa faktor pengurusan yang korup, tidak profesional, pilih bulu, karenah birokrasi dan sebagainya, turut menjadi punca kepada masalah air Kelantan. Kerajaan negeri dilihat tidak mempunyai kesungguhan atau political will untuk menyelesaikan masalah ini.

Akal yang waras tidak dapat menerima fakta bahawa masalah sepenting air tidak dapat diselesaikan selama 30 tahun pemerintahan! Apatah lagi sebagai sebuah kerajaan yang mengaku menjalankan pemerintahan Islam, yang memberi gambaran seolah-olah Islam tidak mempunyai solusi untuk masalah pengurusan air. Padahal Islam adalah sebuah agama yang lengkap dan sempurna yang mengurus masalah dari masuk ke bilik air sehingga ke masalah memerintah dunia.

Kembali kepada penggunaan air dari pili bomba ini, apa yang perlu dilfahami ialah dalam keadaan orang ramai benar-benar memerlukan air, dan sekiranya sudah tidak ada sumber lain lagi untuk mendapatkan air sehingga perlu mengambilnya daripada pili bomba, maka atas sifatnya sebagai al-milikyyah al-ammah yang jika manusia tidak mendapatkannya, manusia boleh bersengketa dan boleh menjejaskan kehidupan mereka, maka dibenarkan untuk siapa pun memanfaatkan air tersebut, kerana hukum asal hak milik air adalah milik umum. Syaratnya ialah, siapa pun tidak boleh menjadikan air tersebut sebagai milik peribadinya atau menghalang orang lain daripada mengambil air dari sumber yang sama.

Justeru, perlu difahami bahawa isu yang perlu diselesaikan di sini sama ada oleh kerajaan pusat atau kerajaan negeri ialah bagaimana untuk membekalkan air bersih dengan secukupnya dan secara percuma kepada rakyat, bukan isu kebenaran Bomba atau kebenaran AKSB. Kewajipan pemerintah menurut Islam ialah menguruskan air untuk rakyat dan memastikan setiap rumah akan mendapatkan keperluan asas ini. Selagi keperluan dan hak rakyat tersebut tidak dipenuhi, maka selagi itulah pemerintah menanggung dosa, dan sebenarnya tidak layak pun untuk menjadi pemerintah.

Wallahu a’lam.