Memaku Dulang Paku Serpih….

Pembangkang tidak tahu memerintah

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak pakatan pembangkang yang disifatkannya tidak tahu memerintah negara ini. Beliau berkata, perkara itu terbukti apabila setiap parti yang menganggotai pakatan berkenaan mempunyai pandangan berbeza mengenai bagaimana caranya negara ini perlu ditadbirkan.

”Pembangkang belum tahu lagi macam mana hendak memerintah negara. Satu parti nak sekular, satu parti nak pemerintahan teokratik atau negara Islam dan satu lagi entah apa pendiriannya pun kita tidak tahu,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Menurut Perdana Menteri, pakatan itu juga tidak boleh dipercayai dan ini terbukti apabila ia tidak menunaikan janji yang dibuat kepada penduduk Kampung Buah Pala, Pulau Pinang.

”Saya nak tanya pembangkang, janji yang mereka buat. Siapa janji kepada penduduk Kampung Buah Pala kalau kami menang kamu akan tetap berada di sini selama-lamanya,” katanya.
Tambah Najib, sikap pakatan itu yang tidak mengotakan janjinya berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang akan menunaikan segala janjinya kepada rakyat.

”BN adalah institusi politik yang terlalu banyak berjasa kepada negara kerana berusaha mewujudkan perpaduan politik.

”Kita juga berusaha untuk menjadikan BN sebuah parti yang inklusif dan meraikan kepelbagaian mengikut acuan dan konsep 1Malaysia iaitu bersikap adil terhadap semua kaum.

”Kita juga harus mengingatkan diri kita dan juga generasi muda bahawa negara ini terkehadapan kerana wujud permuafakatan antara kaum,” katanya.

Sumber: Mingguan Malaysia, 13 September 2009.

UMNO dan Pakatan Rakyat: Memaku dulang, paku serpih…

Menghadapi saat kejatuhan dan kekalahannya, UMNO kini secara terbuka dan tanpa malu-malu lagi menunjukkan sikap defensif mereka terhadap pembangkang. Mungkin setelah sedar sokongan rakyat tidak lagi berpihak kepada mereka, lantaran terdedah dengan banyaknya keburukan dan kelemahan empayar yang mereka bina selama ini, isu koalisi politik dan juga “UMNO Parti Islam” mula menjadi taruhan baru walaupun terpaksa merisikokan kedudukan mereka di mata rakyat Malaysia yang majmuk dan semakin bijaksana ini. Setelah isu perkauman yang sering diperjudikan UMNO semenjak kekalahan de jure mereka dalam PRU12 lalu gagal mendapat sambutan, malah ditolak rakyat, kini mereka menghujam pakatan pembangkang dengan senjata paling basic yang mereka miliki iaitu mendedahkan isu pertentangan ideologi yang berlaku dalam Pakatan Rakyat.

Memang benar Pakatan Rakyat itu berjalan dalam mimpi mengharungi impian untuk memerintah kerajaan Malaysia. Hakikat bahawa mereka itu secara asasnya tidak boleh bersatu dan bergabung kerana pertentangan asas dalam ideologi politik ternyata tidak mahu diterima oleh ketiga-tiga pimpinan yang berada dalamnya. (rujuk SN Koalisi Politik). Bagi pendokong perjuangan Islam  seperti PAS di dalam pakatan tersebut, mereka harus segera sedar bahawa perbuatan berkompromi dengan parti kuffar itu adalah keharaman yang nyata di sisi Allah.  Tanpa mahu menjadikan Syariat dan Khilafah sebagai nota bene perjuangan mereka, maka adakah Pakatan Rakyat ini berbeza dengan parti yang memerintah sekarang ini di kaca mata Islam. Adakah kemenangan mereka kelak bakal memberi kemenangan kepada Islam dan umatnya?? Jangan mimpi…

Terlalu seronok mengumpat parti lawan dalam bulan puasa ini, UMNO terlupa bahawa sebagai sebuah parti sekular, mereka juga telah lama gagal menerapkan Islam di tanah Malaysia walaupun selama ini mendapat kekuasaan penuh dari umat. Mungkin agaknya mereka tidak takut dipersoalkan Allah di akhirat kelak kerana mereka fikir bahawa mereka akan terlepas kerana telah pun ‘menegakkan’ syiar Islam di Malaysia dengan mendirikan masjid-masjid di seluruh pelusuk negara dan memakmurkannya dengan hiasan dan majlis-majlis ibadah khusus. Atau agaknya mereka berfikir dengan meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara sudah cukup untuk melepaskan diri mereka dari tanggungjawab untuk melaksanakan Islam sepenuhnya. Agaknya mereka juga lupa bahawa keburukan diri mereka sendiri dan korupsi yang mereka lakukan selama bergelumang dengan “sahabat-sahabat” kufur dan mendokong perjuangan sekularisme itu sering terdedah sehingga meloyakan telinga yang mendengarnya dan menyakitkan mata yang memandangnya. Jikalau begini punya teruk layakkah UMNO dan BN memerintah umat???

Tidak malukah mereka (Muslim di dalam BN dan Pakatan Rakyat) di hadapan Allah? Tidakkah mereka sedar bahawa di sisi Islam mereka ini sama-sama bersaing menyokong sistem peninggalan British di bumi Malaysia ini sedangkan mereka berdua sepatutnya bersatu di bawah kepimpinan Islam. Mereka bukan sahaja telah merosakkan kemurnian agama Allah ini malah perjuangan mereka ini telah mendatangkan halangan yang cukup besar untuk umat Islam dan masyarakat Malaysia umumnya untuk bangkit ke arah kemajuan pemikiran dan penyatuan ummah menuju Khilafah.