Membentengi Pemuda Daripada Liberalisme

Salah satu virus yang sangat berbahaya bagi para pemuda sekarang ini ialah penyakit liberalisme. Liberalisme bukan sahaja dapat membuatkan seseorang itu merasa ragu-ragu terhadap ajaran Islam bahkan jika tidak ada pemahaman Islam dengan sudut pandang yang benar, ia mampu membuatkan seseorang Muslim itu membenci Islam. Bagi mereka yang sudah teracun dengan idea serta pemikiran liberalisme, kekaguman dan pemujaan terhadap tokoh-tokoh serta peradaban Barat merupakan perkara yang biasa buat mereka.

Pelbagai idea-idea liberalisme yang cuba diserap masuk ke dalam pemikiran kaum Muslimin hari ini. Diantaranya:

  1. Semua agama sama.
  2. Umat Islam tidak boleh merasa mereka yang paling benar.
  3. Al-Quran hanyalah ajaran daripada budaya Arab sahaja.
  4. Muhammad hanya tokoh sejarah.
  5. Jangan campurkan agama dengan politik
  6. Hukum Islam sudah ketinggalan zaman.
  7. Syariat Islam tidak sesuai di Malaysia yang berbilang kaum.

Sebelum kita menyentuh kepada ‘action’ yang boleh kita lakukan, kita harus memahami dahulu sejarah munculnya pemikiran liberalisme ini. Idea liberalisme ini muncul kerana perasaan tidak puas hati masyarakat di Barat terhadap agama Kristian itu sendiri. Mereka berusaha membebaskan diri daripada doktrin agama Kristian yang ketika itu dimanipulasikan oleh pemerintah beraja di sana.  Dalam masalah ini, isunya kerana sejarah Kristian yang penuh dengan konflik, kandungan teks Bible yang mengandungi pelbagai kontradiksi antara satu sama lain dan teologi Kristian yang tidak berlandaskan rasional.

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa remaja dan anak muda merupakan aset yang sangat berharga bagi sesebuah negara. Justeru, mereka merupakan sasaran paling utama yang diinginkan oleh golongan liberal ini untuk menyebarkan pemahaman mereka. Maka antara cara yang sangat efektif bagi mencegah virus ini daripada terus disebar kepada remaja serta anak muda ialah seperti berikut :

  • Menanamkan pemahaman akidah yang kukuh kepada generasi muda melalui proses berfikir yang rasional dan bukan melalui pendoktrinan serta hafalan rukun Iman sahaja. Pemahaman serta proses berfikir secara rasional inilah yang mampu menjadikan seseorang itu mempunyai akidah yang kuat kerana mereka memahami sebab kenapa perlunya mereka menjadi Muslim dan mengapa Islam itu merupakan satu-satunya agama yang benar dan wajib dijadikan pegangan.
  • Memberikan penerangan Islam secara ideologi iaitu dengan menjelaskan peranan Islam dalam setiap aspek kehidupan manusia, bukannya sekadar amalan ritual dan individu semata-mata serta menunjukkan bagaimana Islam memainkan peranan dalam bermasyarakat dan bernegara. Golongan liberal sangat berusaha untuk menyudutkan Islam sebagai ajaran bagi individu dan ritual semata-mata sehingga kesannya dapat dilihat di hadapan mata kita sendiri. Contohnya sangat banyak seperti kata-kata seorang khatib yang menyatakan supaya tidak perlu berpolitik di dalam masjid, adanya pemahaman tentang tidak bolehnya syariat-syariat Islam itu diterapkan dalam negara berbilang kaum, ketika anak-anak muda wanita menganggap bertudung itu hanya sekadar berfesyen atau pilihan individu dan tidak boleh dipaksakan ke atas mereka untuk bertudung kerana ia seolah-olah melanggar hak asasi manusia.

Buktinya juga boleh dilihat melalui pernyataan Samuel Zwemmer dalam Konferens Misionaris di kota Jerussalem tahun 1935:

“Misi utama kita sebagai seorang Kristian bukan menghancurkan kaum Muslimin, namun mengeluarkan seorang Muslim daripada Islam agar menjadi seorang Muslim yang tidak berakhlak dan generasi baru yang jauh daripada Islam. (Yakni) generasi Muslim yang sesuai dengan kehendak kaum penjajah, generasi yang malas, dan hanya mengejar hawa nafsunya. Misi (ini) mempunyai dua tugasan iaitu menghancurkan peradaban lawan (Islam) dan membina kembali dalam bentuk peradaban Barat. Ini perlu dilakukan agar Muslim dapat berdiri pada barisan budaya Barat akhirnya muncul generasi Muslim yang memusuhi agamanya sendiri.”

Apa yang diinginkan peradaban Barat terhadap Islam sepertimana disampaikan secara jujur oleh Zwemmer inilah yang masih terus diupayakan hingga saat ini.

  • Anak muda perlu diberikan pendedahan tentang sejarah kegemilangan penerapan Islam dalam naungan negara Khilafah Islamiyah. Kaum liberal cuba menanamkan keraguan kepada generasi muda hari ini dengan memberikan gambaran yang buruk terhadap peradaban Islam di masa pemerintahan mereka dahulu. Walhal apa yang kaum liberal lakukan itu hanyalah sekadar olahan daripada pena-pena orientalis yang sudah mempunyai kebencian terhadap Islam. Seandainya remaja Muslim mempunyai gambaran yang sebenar terhadap keagungan peradaban Islam maka suntikan-suntikan liberal mampu dipatahkan dengan mudah.
  • Melakukan pembinaan yang bersifat tersusun, berstruktur dan sistematik kepada generasi muda sehingga terbentuk peribadi Islam dalam diri mereka. Inilah yang dilakukan Rasulullah SAW kepada para sahabat ketika dalam proses menegakkan Daulah Islam. Rasulullah SAW menjadikan rumah Arqam bin Abil Arqam sebagai madrasah untuk menyampaikan pemikiran-pemikiran Islam yang telah diwahyukan kepada Baginda SAW. Dengan adanya pemikiran Islam yang mantap, para sahabat mampu menjadi sosok tubuh yang merupakan pejuang Islam serta melawan pemikiran Arab Jahiliyiah ketika itu. Realitinya, anak muda ketika ini sangat ketandusan terhadap pemikiran-pemikiran Islam yang jernih melalui proses pembinaan yang tersusun.

InsyaAllah seandainya keempat-empat ‘action’ ini dilakukan, generasi muda kita akan mampu membentengi diri mereka daripada terkena virus yang bukan sahaja liberalisme, malah virus pemikiran-pemikiran Barat yang lain.

Wallahu a’lam.