Membetulkan Naratif ‘Melayu Ialah Islam’ Dan ‘Ketuanan Melayu’

Naratif ‘ketuanan Melayu’ dan ‘Melayu tak dapat dipisahkan dari Islam’ sering dimainkan oleh parti-parti politik demokrasi, lebih-lebih lagi di saat pilihan raya. Ia boleh dikatakan menu wajib setiap kali pilihan raya. Tujuannya bukanlah murni untuk Melayu atau Islam, tetapi untuk mendapatkan undi. Sentimen perkauman yang dibalut dengan Islam ini, ditambah dengan kempen-kempen yang menakutkan orang Melayu apabila bangsa lain berkuasa, biasanya memang akan mendapat tempat di hati pengundi-pengundi Melayu.

Di sebalik naratif tersebut, realitinya, apabila orang Melayu berkuasa, mereka jugalah yang sebenarnya memberi kuasa kepada bangsa lain, mengayakan bangsa lain, mengutamakan bangsa lain bahkan bergantung harap pada bangsa lain. Dalam masa yang sama, mereka jugalah yang menindas orang Melayu, meminggirkan orang Melayu dan merampas hak orang Melayu. Orang Melayu ditipu berkali-kali, dan mereka yang memegang kuasa sentiasa mengambil kesempatan di atas kelemahan orang Melayu untuk memastikan mereka kekal berkuasa.

Di tegah hiruk-pikuk PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan kali ini, sentimen yang sama terus dimainkan oleh parti-parti politik yang bertanding. Kenyataan-kenyataan seperi “Melayu-Islam mesti berkuasa”, “Melayu dengan Islam berpisah tiada”, bahkan sampai ke tahap “Melayu ialah Islam” kedengaran lantang di mana-mana ceramah dan tersebar begitu banyak di sosmed. Lebih ironi, ada yang menyifatkan kehebatan bangsa Melayu dan betapa rapatnya Melayu dengan Islam, sehingga orang Cina atau India yang masuk Islam disebut sebagai “masuk Melayu”.

Dalam masa yang sama, gagasan ketuanan Melayu yang dikaitkan dengan Islam terus-menerus dikobarkan. Tujuannya ialah mencipta naratif bahawa hanya parti aku sahajalah yang memperjuangkan Melayu dan Islam, yang wajib diundi oleh para pengundi Melayu-Islam. Sungguh malang apabila sentimen Melayu-Islam sebenarnya dijadikan agenda parti demi memenangi kerusi. Di saat pilihan raya mereka meniupkan semboyan Melayu-Islam, sedangkan semasa berkuasa, merekalah yang menindas orang Melayu dan meminggirkan Islam.

Sepintas lalu, sentimen perkauman yang dipakaikan baju Islam ini memang manis didengar. Melayu mana yang tidak mahu Melayu-Islam memerintah? Namun di sebalik kemanisan itu tersembunyi satu kekeliruan yang cukup mendasar – kekeliruan yang, jika dibiarkan mengakar, akan merosakkan kefahaman Islam dan menyempitkan agama ini sehingga dimuat ke dalam kotak sempit bernama bangsa.

Melayu Bukan Islam, Islam Bukan Melayu

Suka atau tidak, sedar atau tidak dan diakui atau tidak, Melayu dan Islam itu adalah dua yang berbeza yang tidak boleh disamakan. Melayu tidak sama dengan Islam dan Islam tidak sama dengan Melayu. Hakikatnya, Melayu ialah bangsa manakala Islam ialah ad-Deen (agama dan sistem).

Melayu ialah satu bangsa yang dikenali melalui keturunan, bahasa dan budaya. Manakala Islam pula ialah sistem hidup yang lengkap yang diturunkan Allah (swt) untuk seluruh manusia, tanpa mengira bangsa, warna kulit, keturunan mahupun sempadan geografi.

“Bangsa” itu merupakan ciptaan Allah agar manusia saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Manakala “Islam” pula ialah ad-Deen ciptaan Allah agar manusia beragama dengan agama yang benar, dan mengatur hidup dengannya, yang dengannya (Islam) manusia diikat dengan ikatan akidah yang akan mempersatukan mereka, dan menjadikan mereka sebagai umat yang satu. Menyamakan kedua-duanya bukan sekadar salah, bahkan merupakan percampuran kategori yang tidak kena dari akarnya. Firman Allah (swt):

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa” [Al-Hujurat (49): 13].

Ayat ini secara terang benderang menyatakan bahawa “bangsa” hanyalah tanda pengenalan, bukan tanda kemuliaan. Apa yang mengangkat darjat seseorang di sisi Allah bukan Melayunya, bukan Arabnya, bukan keturunannya, tetapi takwanya. Oleh itu, setiap Muslim wajib berjuang untuk meraih kemuliaan dengan meningkatkan ketakwaan, bukannya memperjuangkan bangsa untuk meraih kemuliaan.

Di sinilah terletak satu perbezaan yang amat ketara antara bangsa dan agama. Bangsa tidak mewakili agama, dan agama tidak mewakili bangsa. Keduanya tidak ada kaitan. Bangsa Arab tidak bermakna Muslim, bangsa Turki tidak bermakna Muslim, demikianlah dengan bangsa Melayu tidak bermakna Muslim. Tidak ada satu bangsa pun boleh mendakwa bahawa bangsanya mewakili Islam, atau dengan berbangsa tersebut, dia secara automatik ialah Muslim.

“Bangsa” itu bukan pilihan kita, kita tidak boleh memilih dan tidak boleh menukarnya sampai mati atau sampai kiamat. Tidak ada seorang pun manusia yang boleh memilih untuk dilahirkan sebagai bangsa Melayu, Arab, Cina atau India – ia ketetapan dan pilihan Allah semata-mata yang terletak di luar kuasa kita.

Sebaliknya agama itu adalah pilihan. Manusia dikurniakan akal dan diberi kebebasan untuk memilih antara beragama dengan benar atau salah, antara tunduk kepada Allah atau berpaling daripada-Nya, antara masuk syurga atau neraka. Justeru, sungguh tidak masuk akal untuk merasa mulia atau meletakkan kemuliaan pada sesuatu yang dia sendiri tidak pernah pilih dan tidak mampu ubah.

Sesungguhnya kemuliaan itu terletak pada apa yang seseorang itu pilih – apabila dia memilih untuk beriman dan tunduk kepada agama yang benar, tidak kira dia berbangsa apa sekalipun, maka dia akan mulia. Allah membuka pintu kemuliaan kepada seluruh manusia melalui pilihan iman, bukan mengunci kemuliaan itu di sebalik tembok keturunan yang tiada seorang pun mampu memilihnya. Maka bagaimana mungkin kita hendak menyamakan sesuatu yang terpaksa (bangsa) dengan sesuatu yang menuntut pilihan dan tanggungjawab (agama)?

Justeru, ungkapan bahawa Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan itu sangatlah terpesong. Hakikatnya, asal agama orang-orang Melayu bukanlah Islam pun, dan setelah masuk Islam sekali pun, berapa ramai orang Melayu yang telah keluar daripada Islam (murtad). Inilah realitinya, Melayu dan Islam itu boleh berpisah, dan ternyata telah banyak kali berpisah.

Rasulullah Bukan Pejuang Bangsa Atau Ketuanan Arab

Rasulullah (saw) sendiri menolak keras fanatik kebangsaan. Sabda Baginda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ  ولَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ على عَصَبِيَّةٍ و لَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ على عَصَبِيَّةٍ

“Bukan daripada kami orang yang menyeru kepada assabiyyah dan bukan daripada kami orang yang berbunuhan atas dasar assabiyyah dan bukan daripada kami orang yang mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Daud]

Jika demikian tegas larangan itu, bagaimana mungkin kita hendak menjadikan bangsa sebagai neraca perjuangan Islam?

Lihat sahaja kepada peribadi Rasulullah (saw) sendiri. Baginda merupakan seorang Arab, daripada suku Quraisy yang paling mulia keturunannya di Makkah. Kalaulah bangsa itu sesuatu yang wajar diperjuangkan, maka sudah tentu Baginda merupakan manusia yang paling layak memperjuangkannya kerana kemuliaan keturunan Baginda yang sudah maklum di Jazirah Arab pada waktu itu.

Namun sepanjang 23 tahun perjuangan Baginda, tidak pernah sekali pun Baginda menyeru kepada ketuanan Arab atau berjuang untuk mendaulatkan bangsa Arab ke atas bangsa lain. Baginda tidak datang untuk memuliakan Arab atau Quraisy; Baginda datang membawa Islam untuk seluruh manusia, dan memuliakan manusia dengan Islam.

Bahkan Baginda mengangkat seorang bekas hamba keturunan Habsyah berkulit hitam (Bilal) untuk melaungkan azan dari atas Kaabah, mengatasi para bangsawan Arab yang begitu berbangga dengan keturunan mereka. Inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) kepada kita – perjuangan Islam, bukan perjuangan bangsa, ketuanan Islam, bukan ketuanan Arab.

Jika Rasulullah (saw) yang berketurunan Arab yang paling mulia itu pun tidak memperjuangkan ketuanan Arab, kenapa dan atas dalil apakah kita pada hari ini mahu memperjuangkan ketuanan Melayu dan merasa mulia berketurunan Melayu? Sabda Rasulullah (saw):

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ، وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ، أَلَا لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى أَعْجَمِيٍّ، وَلَا لِأَعْجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلَّا بِالتَّقْوَى، كُلُّكُمْ لِآدَمَ، وَآدَمُ مِنْ تُرَابٍ

“Wahai sekalian manusia! Ketahuilah bahawa Tuhan kamu adalah Satu (Esa), dan bapa kamu (Adam) adalah satu. Ketahuilah, tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang bukan Arab (‘Ajam), dan tidak ada kelebihan bagi orang bukan Arab ke atas orang Arab. Begitu juga tidak ada kelebihan bagi orang yang berkulit merah (putih/cerah) ke atas yang berkulit hitam, dan tidak ada kelebihan bagi yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah, melainkan dengan takwa. Kamu semua berasal daripada Adam, dan Adam pula berasal daripada tanah” [HR Ahmad & al-Baihaqi].

Sabda Baginda yang lain:

مَنْ تَعَزَّى بِعَزَاءِ الْجَاهِلِيَّةِ، فَأَعِضُّوهُ بِأَيْرِ أَبِيهِ وَلَا تَكْنُوا

“Sesiapa yang berbangga-bangga dengan kebanggaan Jahiliah (perkauman, kabilah, keturunan), maka suruhlah dia menggigit kemaluan bapanya, dan janganlah kamu berkias (katakan secara jelas/terang)” [HR Imam Ahmad dan an-Nasa’i].

Demikianlah haram dan jijiknya perjuangan bangsa. Dilihat dari aspek sejarah, perjuangan bangsa juga tidak pernah membawa kebaikan kepada umat Islam, sebaliknya telah memecah-belahkan umat Islam, dan perjuangan sempit inilah yang sebenarnya telah meruntuhkan Daulah Islam – Daulah yang diasaskan pembinaannya oleh Rasulullah (saw) di Madinah. Hancurnya Khilafah di Turki pada tahun 1924 ialah kerana menguatnya perjuangan bangsa pada waktu itu sehingga orang-orang Turki dan Arab tidak lagi boleh bersatu walaupun sama-sama beragama Islam.

Fanatik kepada bangsa (nasionalisme) inilah yang dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh kafir Barat untuk meruntuhkan Daulah Islam dan mengoyakkan kesatuan kaum Muslimin kepada negara-bangsa yang kecil dan lemah, hingga sekarang. Racun nasionalisme yang disuntik oleh Barat ini masih aktif melemahkan tubuh umat Islam sehingga ke hari ini. Malangnya, parti-parti politik yang ada, yang seharusnya membuang racun ini dari dalam tubuh umat Islam, memilih untuk menambahkan lagi dos racun ini yang menjadikan umat ini terus lemah dan lupa akan Islam sebagai penawar yang ada pada mereka.

Di sinilah kita perlu berterus terang bahawa “ketuanan bangsa” bukanlah bahasa Islam. Islam tidak pernah mengajar, bahkan sebenarnya menolak, konsep ketuanan bangsa. Tidak ada, dan tidak boleh ada konsep ketuanan Melayu, ketuanan Turki, ketuanan Arab dan sebagainya. Jangan sesekali ditempelkan perjuangan Melayu sebagai perjuangan Islam. Perjuangan Melayu (assabiyyah) adalah hina dan haram, sebaliknya perjuangan Islam adalah mulia dan wajib…yang hak dan batil tidak boleh dicampurkan dan tidak akan pernah bercampur.

Perjuangan yang benar bukanlah untuk menaikkan bangsa-bangsa tertentu menjadi “tuan”, tetapi menjadikan hukum Allah sebagai hukum yang “dipertuankan” oleh semua bangsa.

Kesimpulan

Ingatlah wahai kaum Muslimin! Tanpa Islam, orang Melayu tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi Allah. Tetapi Islam, walaupun tanpa Melayu, tetap sempurna sebagai rahmat bagi sekalian alam. Maka, berhentilah memainkan naratif yang boleh mengelirukan umat Islam, berhentilah memperjuangkan bangsa, dan berhentilah mempertuankan bangsa, kerana kita akan terhina dengannya. Perbetulkan perjuangan hanya untuk Islam semata-mata nescaya Allah akan memuliakan kita dengannya.

Wallahu a’lam.